ULASAN KARYA AGUNG PANTUN MELAYU : BINGKISAN PERMATA
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhEB_K5ZM6b9K8KKQDNY0S9qCEttNDT8Dn89AfOoqxJMiFof6nprEFyfYWfpQA0_mVU1WFZa0aI07i_HudTkPWNeZ26zhY0uUck85PBc8m1RkO46F44XmQNlHngpUPvTmc58V4N060ENdPD/s320/header+1abc.jpg)
Bingkisan Permata yang dikaji dan
diperkenalkan oleh Harun Mat Piah menghimpunkan lebih 4000 rangkap pantun,
puisi istimewa ciptaan orang Melayu. Buku ini memuatkan pelbagai jenis dan
bentuk pantun, yang meliputi tema dan isi yang luas serta pelbagai.Bingkisan
Permata merupakan tajuk kecil daripada judul koleksi pantun ini sesuai
dengan konsep bingkisan, iaitu bungkusan (barang kiriman, buah tangan) yang
biasanya disertai surat untuk disampaikan kepada orang yang dikasihi dan
dihormati. Permata merujuk kepada pantun yang menjadi warisan budaya
masyarakat Melayu, manakala penerima yang dimaksudkan ialah masyarakat atau
bangsa Melayu di seluruh Nusantara yang mewarisi tradisi ini.
Oleh
itu, sesuai dengan konsep bingkisan yang diketengahkan oleh karya
ini, buku ini telah dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu Bingkis
Pemula, Bingkis Bicara, Bingkis Kasih dan Bingkis Penutup. Bingkis
Pemula merupakan himpunan pantun dengan maksud memulakan bicara, majlis
atau warkah. Bingkis ini dimulai dengan “Awal Bismillah” yang merupakan kata
alu-aluan memulakan majlis; diikuti oleh pantun-pantun ringan yang membawa
maksud jenaka dan usik-mengusik. Bingkis Bicara pula mengetengahkan
tema-tema pantun yang agak berat, bermula tentang ‘Adat dan Etika’, ‘Budi dan
Adab’, ‘Agama dan Pengajaran’, ‘Peribahasa, Kiasan dan Ibarat’ dan kemudian
tentang ‘Perantauan dan Nasib’.
Pantun-pantun
yang mengangkat tema percintaan pula dihimpunkan dalam Bingkis Kasih.
Misalnya dalam ‘Cinta Bersemi’ ialah pantun yang membawa maksud usik-mengusik,
berkenalan dan berjanji, diikuti dengan ‘Hasrat Tercapai’ yang menggambarkan
kegembiraan dalam hidup berkasih dengan tercapainya cita-cita dan harapan para
kekasih, misalnya untuk sehidup semati dalam ikatan perkahwinan. Bab ini
diakhiri dengan tema ‘Kasih Terhalang’ dengan maksud harapan yang tidak
kesampaian, terhalang oleh peristiwa-peristiwa tertentu. Karya ini diakhiri
dengan Bingkis Penutup yang merupakan himpunan pantun sebagai penutup
pembicaraan.
Sebagai sebuah
karya agung, Bingkisan Permata menghimpunkan rakaman kebijaksanaan
masyarakat Melayu lama dalam membuat pengamatan yang tajam terhadap keadaan dan
perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Pantun-pantun yang tercipta
mengandungi pemikiran atau falsafahnya yang tersendiri dalam menjalankan
peranannya sebagai medium untuk berkomunikasi dan berhibur dan pada masa yang
sama mendidik khalayak pembaca dengan nilai-nilai yang positif.
Ciri-ciri Pantun Melayu
Pantun merupakan
satu puisi Melayu yang berangkap dan menggunakan bahasa-bahasa indah. Pantun
ialah karya puisi Melayu lama yang bukan sekadar sarat dengan makna tetapi juga
padat dengan nilai keindahannya (Mohd Rashid Md.Idris, 2011: 67). Pantun
merupakan warisan puisi Melayu tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak
lekang dek panas. Pantun pada kebiasaannya mempunyai empat rangkap, tetapi
pantun boleh mempunyai rangkap yang genap bermula daripada dua, empat, enam
sehingga empat belas. Setiap rangkap pantun terbahagi kepada dua bahagian,
iaitu bahagian pembayang pada separuh rangkap pertama, dan bahagian maksud pada
separuh rangkap kedua. Bagi pantun dua kerat pula, baris pertama adalah
pembayang dan baris kedua adalah maksud. Rima atau bunyi akhir di hujung baris
adalah sejajar. Setiap baris pantun mempunyai sembilan atau sepuluh suku kata
walaupun terdapat rangkap pantun yang mempunyai lapan sehingga dua belas suku
kata.
Pantun mementingkan keseimbangan bunyi antara rangkap pembayang dengan rangkap
maksud. Keindahan dalam pantun dilihat daripada aspek rima akhir serta
eufoninya. Eufoni merupakan kombinasi yang dianggap enak dan sedap didengar.
Kata-kata yang dipilih bagi mencipta pantun harus berima dan beralun. Selain
itu, dalam pantun Melayu juga mengandungi unsur emotif yang boleh membangkitkan
perasaan untuk menjadikan sesuatu pantun lebih berkesan dan bermakna. Melalui
bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang penting untuk
menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan dan menyedapkan
cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan hasrat yang seni
atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias.
Mesej dan Tema
Secara umumnya,
puisi Melayu bertujuan menyampaikan amanat dan perutusan yang bersifat
didaktik, membina dan membimbing masyarakat khalayaknya ke jalan kebenaran.
Pemilihan teks untuk pantun menekankan pentingnya aspek menyampaikan mesej dan
tema yang baik, sesuai dengan nilai dan tanggapan masyarakat Melayu. Aspek
mesej atau tema dianggap sebagai estetika dalaman atau unsur etika yang
dianggap penting dalam puitika sastera Melayu. Pemilihan pantun perlu
disesuaikan dengan tema dan mesej yang ingin disampaikan.
LATAR BELAKANG PENGKAJI
Harun Mat Piah
dilahirkan pada 14 November 1937 di Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak.
Pendidikan awalnya diterima dari sekolah Melayu sebelum melanjutkan pelajaran
ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dari tahun 1955 sehingga tahun
1957. Dengan mengikuti kelas-kelas persendirian di sekolah Inggeris, beliau
berjaya memperoleh sijil-sijil MCE (Malaysia Certificate of Education, 1961)
dan HSC (Higher Certificate of Education, 1966). Seterusnya beliau
melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Bahasa (1963), Maktab Perguruan Ilmu
Khas (1965) dalam bidang seni dan kraf tangan. Pada tahun 1967 beliau
memasuki Universiti Malaya dan tiga tahun kemudian memperoleh Ijazah Sarjana
Muda Sastera dalam bidang Linguistik.
Beliau menerima Biasiswa British Commonwealth Universities untuk melanjutkan
pengajian di School of Oriental and African Studies, Universiti London pada
tahun 1972 hingga 1975. Dalam tempoh tersebut beliau berpeluang membuat
penyelidikan di pusat-pusat manuskrip Melayu di Eropah Belanda, Perancis dan
Belgium, selain London, Cambridge dan Oxford di United Kingdom. Sekembalinya ke
tanah air, beliau bertugas sebagai pensyarah di Institut Bahasa, Kesusasteraan
dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1981 beliau
berjaya mendapat Ijazah Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia, menerusi
disertasinya, "Puisi Melayu Tradisional - Satu Pembicaraan Genre dan
Fungsi."
Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Institut Bahasa,
Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM); Ketua Jabatan Pengajian Melayu dan
Profesor Madya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau bersara pada
awal tahun 1990 untuk bertugas sebagai pensyarah kanan di Universiti Brunei
Darussalam dan kemudian sebagai Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu di
universiti tersebut seterusnya bersara dari jawatannya pada akhir tahun
1997. Kini beliau melibatkan diri dalam penerbitan karya agung bersama
Yayasan Karyawan Malaysia.
Sumbangan Harun Mat Piah dalam pengkajian dan penyelidikan sastera banyak
mengarah kepada sastera dan budaya Melayu tradisional. Buku-buku, makalah
dan kertas-kertas kerja persidangan yang dihasilkan adalah hasil daripada
penyelidikan-penyelidikan yang teliti dan bersifat akademik serta
sistematik bentuknya. Beliau adalah antara tokoh yang berwibawa dalam
kesusasteraan Melayu lama, khususnya puisi Melayu tradisional. Antara
karya beliau ialah Kesarjanaan Melayu (bersama Farid M. Onn)- 1976, Cerita-cerita
Panji Melayu (1980), Anthology of Asean Literature (1982), Gamelan
Malaysia(1982), Puisi Melayu Tradisional - Satu Pembicaraan Genre dan
Fungsi (1989) dan Kesusasteraan Melayu Tradisional (1993).
BINGKIS PEMULA
Bingkis Pemula merangkumi
pantun-pantun pembuka bicara. Selain itu, Bingkis Pemula juga turut
mengetengahkan pantun-pantun yang mengandungi tema yang ringan, iaitu pantun
jenaka, teka teki dan sindiran serta pantun kanak-kanak.
Pembuka bicara
Menurut
Harun Mat Piah (2001: xxvi) pantun pembuka bicara digunakan untuk memulakan
sesuatu bicara, majlis atau warkah. Pada zaman moden, pantun pembuka bicara
telah digunakan dalam majlis rasmi untuk mengucapkan selamat datang, kata
sanjungan dan pujian, ucapan terima kasih dan perpisahan (Mohd Rashid Md
Idris, 2011:159). Contohnya:
Sirih lipat
sirih pinang,
Sirih dari
Pulau Mutiara;
Pemanis kata
selamat datang,
Awal
Bismillah pembuka bicara.
Bingkisan Permata, 2001:13]
Pantun ini
sering digunakan pada sesuatu majlis rasmi pada masa kini
untuk meraikan jemputan atau hadirin yang hadir dan dimulai dengan
lafaz bismillah sebagai kata alu-aluan sebelum memulakan majlis tersebut.
Bukan lebah
sebarang lebah,
Lebah
bersarang di rumpun buluh;
Bukan sembah
sebarang sembah,
Sembah
menyusun sepuluh jari.
[Bingkisan Permata, 2001:13]
Pantun ini
digunakan oleh pembesar atau rakyat ketika sistem pemerintahan beraja pada
zaman dahulu. Lazimnya, sebelum menyampaikan sesuatu berita atau
perkhabaran pembesar atau rakyat jelata akan menjadikan pantun ini sebagai
pemula bicara sebelum mereka menyampaikan tujuan mereka yang sebenarnya. Hal
ini demikian kerana pada zaman dahulu raja merupakan ketua pemerintah yang
sangat disanjung dan dihormati oleh rakyat dan pantun ini digunakan untuk
memuliakan kedudukan sultan itu sendiri sebagai pemerintah yang berkuasa.
Jenaka
Memandangkan
masyarakat Melayu lama tidak mempunyai saluran atau media yang canggih untuk
menghiburkan hati setelah penat bekerja, maka pantun jenaka dijadikan sebagai
medium untuk mereka mengubat lara di hati dan juga melepaskan segala kelelahan
sama ada dari segi fizikal dan mental. Hal ini demikian kerana pantun tersebut
mengandungi unsur kelucuan yang dapat menimbulkan keriangan dalam
kehidupan seharian mereka. Contohnya:
Belimbing
manis rebah di tebang,
Kemiri tanam
berleret-leret;
Kambing
berbaris tengah padang,
Biri-biri
menghembus trompet
[Bingkisan Permata, 2001:56]
Jika lengang
dalam negeri,
Marilah kita
pergi ke kota;
Hairan
tercengang kucing berdiri,
Melihat tikus
naik kereta.
[Bingkisan
Permata, 2001:61]
Teka-Teki
Pada zaman dahulu
pantun teka-teki digunakan sebagai medium untuk menguji minda atau
kebijaksanaan mereka. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011:127) sifat yang
terkandung pada pantun teka teki yang memerlukan jawapan merupakan
jawapan adalah merupakan satu daripada alat untuk menggerakkan cara berfikir
secara spontan dan membina kemahiran berfikir dengan tepat. Lazimnya, teka teki
ini akan disampaikan kepada khalayak ramai dan keadaan tersebut akan
menimbulkan suasana riang dan seterusnya akan mengeratkan hubungan silaturrahim
sesama mereka. Contohnya:
Bawa kerakap
dengan batangnya,
Buat bekal
pergi ke bendang;
Cuba teka apa
binatangnya,
Berbunyi
seperti gong dan gendang.,
[Bingkisan Permata, 2001:55]
Orang Sunda
ke Pulau Barus,
Sarat
perahunya bermuat kopi;
Apakah benda
badannya kurus,
Digenyeh
kepala terbitlah api.
[Bingkisan
Permata, 2001:70]
Sindiran
Penggunaan pantun
adalah untuk menghindarkan kata-kata kasar dan tajam ketika menyindir
perbuatan atau sifat seseorang yang kurang baik atau salah. Hal ini demikian
kerana masyarakat Melayu kaya dengan kehalusan dan kesopanan ketika berbual dan
sering menyampaikan sesuatu mesej dengan cara terselindung. Menurut Nor
Hashimah Jalaluddin dalam Mohd Rashid Md Idris (2011:74) dalam masyarakat
Melayu perkara yang hendak disampaikan perlu dibicarakan dengan gaya yang sopan
dan tertutup, iaitu secara terselindung dengan menggunakan tutur kata yang
manis. Jika sindiran-sindiran tersebut disampaikan secara berterus terang akan
mewujudkan perasaan yang tidak harmonis seperti terkilan atau tersinggung dan
juga akan mewujudkan perasaan sakit hati yang akhirnya membawa perselisihan
faham. Penggunaan pantun akan meninggalkan kesan yang lebih tepat dan tajam
kepada seseorang yang disindir.
Apa guna
berkain batik,
Kalau tidak
memakai capal;
Apalah guna
beristeri cantik,
Kalau tak
pandai menumbuk sambal.
[Bingkisan Permata, 2001:55]
Pantun tersebut
menyampaikan sindirannya terhadap sikap orang perempuan yang telah berkahwin
yang hanya sibuk mencantikkan diri tetapi tidak pandai menguruskan rumah tangga
dengan sebaiknya.
Hingguk-hingguk
goyang-goyang,
Nasi lemak
gulai lembu;
Taruh janggut
tidak sembahyang,
Buat semak
bawah dagu.
[Bingkisan Permata, 2001:61]
Solat merupakan
amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah pada Hari Pembalasan kelak. Hal ini
demikian kerana solat merupakan tiang agama yang mampu mencegah manusia
daripada melakukan kemungkaran terhadap Allah S.W.T. Pantun ini sebenarnya
menyindir sikap orang lelaki yang menunjukkan perwatakan yang alim tetapi
sebenarnya tidak mengamalkan ajaran Islam dalam hidupnya.
Pantun Kanak-Kanak
Menurut Sulaiman
Masri, Abdullah Yusuf dan Mohd Ra’in Shaari (2006: 313) pantun
kanak-kanak digunakan memberi nasihat. Contohnya:
Ayun anak
ayun,
Ayun sampai
hujung serambi;
Bangun anak
bangun,
Jangan tidur
meninggi hari.
[Bingkisan Permata, 2001:19]
Burung
kenek-kenek,
Terbang dalam
hutan;
Pesan datuk
nenek,
Emak marah
jangan lawan.
[Bingkisan Permata, 2001:25]
Berdasarkan
pantun-pantun di atas jelaslah bahawa pantun kanak-kanak digunakan untuk
memberi nasihat dan juga untuk mendidik kanak-kanak untuk
menunjukkan sikap atau tingkah laku yang baik untuk menjadikan mereka insan
yang berakhlak mulia pada suatu masa nanti.
BINGKIS BICARA
Bingkis Bicara
merupakan sub topik kecil yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata. Bingkis
Bicara mengandungi perbicaraan mengenai tema-tema yang agak serius sesuai
dengan falsafah Melayu. Antara tema yang dibicarakan ialah tentang “ Adat dan
Etika”, “Budi dan Adab”, “Agama dan Pengajaran”, Peribahasa, Kiasan dan Ibarat”
serta “Perantauan dan Nasib”.
Agama dan Pengajaran
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010) agama bermaksud kepercayaan pada Tuhan dan
sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran serta perintah-Nya.
Konsep agama dalam pantun berdasarkan konteks masyarakat Melayu mempunyai
kaitan yang amat rapat dengan nilai dan akhlak Melayu-Islam. Menurut Ibnu
Manzur (1990:86) dalam Mohd Rashid Md Idris (2011), akhlak merupakan gambaran
dalaman manusia meliputi sifat diri mereka sendiri yang memberi makna tersendiri
sesuai dengan status mereka diciptakan sebagai makhluk.
Akhlak memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pembentukan peribadi
Muslim. Akhlak yang merupakan kelakuan bermoral merangkumi nilai-nilai seperti
merendah diri, benar, hormat-menghormati, adil dan saksama dan sebagainya.
Dalam masyarakat Melayu, mereka yang dianggap beretika, bermoral dan berakhlak
lazimnya akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Keseluruhan akhlak masyarakat
Melayu yang terdidik dengan adat dan agama itu akan membentuk konsep budi yang
menjadi sanjungan masyarakat Melayu sejak dahulu sehinggalah sekarang. Contoh
pantun berkaitan dengan akhlak yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:
Bawa aksin
terlalu indah,
Ombak
bersusun berlari-lari;
Jika berkata
yang tidak berfaedah,
Terlebih baik
mendiamkan diri.
[Bingkisan
Permata, 2001: 139]
Budi dan Adab
Budi bermaksud
akal atau kebijaksanaan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 212). Menurut Mohd
Rashid Md Idris (2011), budi dapat ditakrifkan sebagai sikap pemurah dan
berbuat baik kepada orang lain. Dalam masyarakat Melayu, budi merupakan nilai
yang terpuji. Amalan balas-membalas budi amat penting kerana ia dapat mewujudkan
semangat kerjasama, tolong-menolong, dan bantu-membantu untuk kebaikan. Dalam
masyarakat Melayu, kebanyakan pantun budi merujuk kepada kepentingan berbudi
dalam masyarakat. Antara pantun yang diketengahkan dalam Bingkisan Permata ialah:
Limau manis
dimakan manis,
Manis sekali
rasa isinya;
Dilihat manis
dipandang manis,
Manis sekali
hati budinya.
[Bingkisan
Permata, 2001: 91]
Di samping itu, banyak juga pantun Melayu yang memaparkan penghargaan
masyarakat Melayu terhadap budi atau mengenang budi. Dalam masyarakat Melayu,
mereka sangat menghargai orang yang berbudi. Menjadi kelaziman orang yang
berbudi akan sentiasa dikenang, diingati, dan disebut selalu walaupun
kadang-kala individu yang berbudi itu telah meninggal dunia. Contohnya dapat
dilihat melalui pantun tersebut:
Ambil tali
panjang sedepa,
Makan manggis
dengan bijinya;
Sampai mati
takkan lupa,
Kerana manis
hati budinya.
[Bingkisan
Permata, 2001: 97]
Perkataan adab
diambil daripada bahasa Arab “addaba” yang bermaksud mengajarkan adab (Asmawati
Suhid, 2009:13). Manakala menurut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 7),
adab ialah tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi
pekerti yang halus, kesopanan atau cara seseorang berkelakuan dalam situasi
tertentu. Menurut Rosenthal (1992) adab merupakan istilah yang lebih luas
kerana ia memasukkan perkara etika, moral, kelakuan dan adat istiadat, sebagai
tambahan kepada perkara pembelajaran. Berdasarkan huraian tersebut, adab boleh
juga dikaitkan dengan kesopanan dan ketertiban.
Pantun dalam masyarakat Melayu banyak memerihalkan perlakuan atau tingkah laku
seseorang yang dinilai dari segi baik dan buruk. Perilaku yang baik merujuk
kepada perilaku yang tertib dan sopan seperti memberi salam ketika bertemu,
menghormati ibu bapa dan orang tua, membongkokkan badan ketika lalu di depan
orang tua dan banyak lagi. Kesempurnaan budi dan adab sangat dipentingkan dalam
kehidupan. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab adalah inti peradaban kepada
bangsa. Adab dan sopan juga adalah kecantikan budi pekerti yang terpuji yang
sangat disanjung sejak dahulu hingga sekarang. Contoh pantun yang berkait
dengan adab ialah:
Apa guna asam
paya,
Kalau tidak
menggulai ikan;
Apa guna
lagak dan gaya,
Kalau bahasa
tidak dihiraukan.
[Bingkisan
Permata, 2001: 101]
Tanah baik
negerinya besar,
Banyak orang
pergi mari;
Ramah baik
lagi penyabar,
Banyaklah
orang mesra di hati.
[Bingkisan
Permata, 2001: 175]
Adat dan Etika
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010), adat didefinisikan sebagai peraturan yang
sudah diamalkan sejak dahulu kala dalam suatu masyarakat sehingga menjadi hukuman
atau peraturan yang harus dipatuhi. Menurut Hashim Haji Musa (2002), etika
ditakrifkan sebagai kod dan peraturan yang mengatur cara hidup dan tindak
tanduk sesebuah masyarakat atau organisasi. Adat sangat sinonim dalam
masyarakat Melayu kerana ia sering diaplikasikan dalam aktiviti seharian. Dalam
masyarakat Melayu, adat dihormati, dijunjung, dan disanjung tinggi. Pelanggaran
adat Melayu dianggap sebagai perbuatan sumbang dan dicemuh oleh anggota
masyarakat (Mohd Rashid Md Idris, 2011: 218). Dalam Bingkisan Permata jelas
terakam nilai ini, misalnya:
Menanam
kelapa di Pulau Bukum,
Tinggi sedepa
sudah berbuah;
Adat bermula
dengan hukum,
Hukum
bersandar di kitab Allah.
[Bingkisan
Permata, 2001: 89]
Berbuah lebat
pohon mempelam,
Rasanya manis
dimakan sedap;
Bersebarlah
adat seluruh alam,
Adat pusaka
berpedoman kitab.
[Bingkisan
Permata, 2001: 80]
Walaupun budaya menekankan kepentingan memelihara adat, namun tidak semestinya
masyarakat Melayu perlu bersikap menuruti tanpa memikirkan baik buruknya.
Malah, undang-undang adat yang lapuk dan tidak relevan lagi wajar diperbaharui
demi kepentingan masyarakat Melayu seluruhnya (Mohd Rashid Md Idris, 2011:
218). Jelaslah bahawa adat Melayu boleh dijadikan panduan yang boleh dipatuhi
namun adat ini perlulah disesuaikan mengikut situasi sosial ataupun relevan
dengan zaman. Antara pantun adat istiadat yang terdapat dalam karya Bingkisan
Permata ialah:
Orang Padang
mencuci benang,
Dilipat maka
dipertiga;
Kalau
direntang hanya panjang,
Elok
singkatkan sekadar berguna.
[Bingkisan
Permata, 2001: 91]
Selain itu juga, pantun kategori ini lazimnya dijadikan perantaraan dalam
majlis-majlis adat istiadat orang Melayu, misalnya majlis merisik, pertunangan,
perkahwinan (akad nikah) atau dalam pembukaan sesuatu upacara tertentu.
Contohnya dapat dilihat melalui pantun tersebut:
Masuk
gelunggung berpelita,
Anak terkukur
di tebing tinggi;
Alangkah baik
untung kita,
Sirih
berlipat datang sendiri.
[Bingkisan
Permata, 2001: 89]
Perantauan dan Nasib
Masyarakat Melayu
sering dikaitkan dengan kegiatan merantau dan berdagang. Buktinya, pada hari
ini kita dapat melihat masyarakat Melayu bertebaran sehingga ke pelosok dunia.
Kegiatan merantau dan berdagang mempunyai pelbagai tujuan, antaranya ialah
untuk mengembara, berdagang (berniaga), membawa diri kerana kecewa, berkhidmat
kepada raja, mencari rezeki, perkahwinan, menyebarkan agama dan sebagainya
(Mohd Rashid Md Idris, 2011: 219). Contoh pantun yang terdapat dalam karyaBingkisan
Permata ialah:
Masak nasi
dibuat bubur,
Bubur
dicampur dengan gula;
Hati duka
patut dihibur,
Supaya jangan
menjadi gila.
[Bingkisan
Permata, 2001: 259]
Bengis
sungguh orang pangkalan,
Lalu-lalang
perahu dilarang;
Menangis
dagang sepanjang jalan,
Mengenang
nasib di negeri orang.
[Bingkisan
Permata, 2001: 244]
Biasanya dalam masyarakat Melayu, nilai ini merupakan satu ungkapan untuk
memberi peringatan kepada individu supaya pandai membawa diri, baik hati, suka
menolong dan menabur jasa dan tidak sombong supaya mereka dikasihi semasa hidup
serta diingati setelah meninggal dunia. Contoh nilai ini dapat dilihat dalam
pantun-pantun berikut:
Pisang kelat
digonggong helang,
Jatuh ke
lubuk Inderagiri;
Jikalau
berdagang di rantau orang,
Baik-baik
membawa diri.
[Bingkisan
Permata, 2001: 263]
BINGKIS KASIH
Bingkis Kasih merupakan
sub-topik ketiga yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata yang
membicarakan mengenai percintaan dalam tahap-tahap yang umum yang terjalin
sesama manusia, iaitu antara golongan muda-mudi ataupun pasangan suami isteri.
Bahagian ini membicarakan mengenai cinta dan kasih sayang yang dapat
diklasifikasikan kepada berkenalan dan usik-mengusik, berkasih, bersetia dan
kepuasan berkasih, cemburu dan bercerai, serta kegagalan dan penyesalan yang
selari dengan Melayu. Terdapat tiga tema di dalam bab ini, iaitu ‘Cinta yang
Bersemi’, ‘Hasrat Tercapai’ dan ‘Kasih Terhalang’. Pantun kasih sayang ini
melibatkan percintaan dua orang kekasih yang bermula daripada titik perkenalan
sehinggalah membawa perpisahan dan semua ini berkait rapat dengan soal hati dan
perasaan serta fitrah seorang manusia yang ingin disayangi dan menyayangi orang
lain.
Cinta Bersemi
Bercinta
merupakan saat paling manis dalam pengalaman hidup seseorang. Melalui
perkenalan seperti inilah timbulnya bibit-bibit kemesraan untuk memahami isi
hati masing-masing. Ketika itu, janji setia dilafazkan sebagai bukti cinta
abadi, usik mengusik dan senda gurau ditimbulkan untuk mencari kesesuaian dan
kesefahaman antara mereka hingga kadang kala ada yang merajuk dan minta
dipujuk. Luahan perasaan sebegini disampaikan oleh pasangan kekasih itu melalui
pelbagai cara.
Dalam konteks falsafah, cinta merupakan sifat baik yang mewarisi semua
kebaikan, perasaan belas kasih dan kasih sayang. Pantun ini berkisar mengenai
sikap masyarakat yang suka mengusik (bergurau), terutamanya golongan lelaki
yang suka mengusik wanita. Selain itu, bahagian ini turut menceritakan mengenai
saat awal perkenalan di antara pasangan kekasih dan juga janji-janji yang
dibina ketika sedang bercinta, termasuklah sanggup bersumpah setia. Pantun ini
juga berkisar mengenai hal-hal perasaan dan hati naluri manusia seperti rayuan,
kerinduan, kasih sayang dan sebagainya, contohnya seperti pantun di bawah:
Dipanah oleh
Indera Sakti,
Burung Dewata
di pohon keranji;
kerana sama
menaruh hati,
di ekor mata
kita berjanji.
[Bingkisan Permata, 2001:310]
Pantun di atas membawa maksud pasangan kekasih yang saling menyayangi, telah
berjanji untuk setia, dan mungkin untuk sehidup semati. Dalam percintaan juga,
manusia sanggup bersumpah demi membuktikan cinta mereka terhadap pasangan
masing-masing, sehinggakan ada yang sanggup bersumpah menggunakan kalam Allah
S.W.T. Contohnya seperti pantun di bawah:
Tun Teja
Ratna Benggala,
pandai
membelah lada sulah;
jikakau tuan
belum percaya,
mari
bersumpah kalam Allah.
[Bingkisan Permata, 2001:373]
Pantun tersebut
menggambarkan bahawa ada yang sanggup bermain-main dengan kalam Allah seperti
bersumpah, menjunjung dan mempersendakan al-Quran. Apalagi bersumpah soal
setia, ada orang yang sanggup berkorban segala-galanya demi mempertahankan
hubungan cintanya (seolah-olah sanggup membelah dada untuk membuktikan
kesetiaannya) dan menghadapi sebarang rintangan yang melanda untuk beroleh
kepercayaan kekasih hatinya. Contohnya:
Pergi ke
pasar membeli bawal,
beli mangga
di Kampung Bali;
ibarat adinda
barang dijual,
sebut
harganya boleh kubeli.
[Bingkisan Permata, 2001:351]
Pantun di atas
menggambarkan apabila sedang bercinta, semuanya akan kelihatan indah, manis dan
menarik di mata masing-masing. Segala kekurangan yang ada pada setiap pasangan
seolah-olah terlindung oleh rasa sayang dan segala rintangan yang datang dapat
diatasi dengan sebaik-baiknya. Rangkap pantun ‘ibarat adinda barang dijual,
sebut harganya boleh kubeli’ menunjukkan sang arjuna sanggup melakukan apa
sahaja untuk mendapatkan kekasih hatinya walaupun sukar.
Hasrat Tercapai
Pantun hasrat
tercapai menggambarkan riak kegembiraan dalam hidup berkasih sayang dan
tercapainya cita-cita dan harapan para kekasih, misalnya untuk sehidup semati
dalam ikatan perkahwinan yang diredhai Allah. Semua orang berhasrat untuk
sehidup semati dengan orang yang dicintainya dan kegembiraan akan terukir di
wajah apabila segala impian dan harapan menjadi kenyataan.
Laksamana
berempat di atas pentas,
cukup berlima
dengan gurunya;
bagai dakwat
dengan kertas,
sudah
berjumpa dengan jodohnya.
[Bingkisan Permata, 2001:415]
Pantun di atas
menggambarkan seseorang yang telah bertemu dengan jodohnya. Apabila sudah
bertemu dan yakin dengan perasaan masing-masing, pasangan tersebut pasti akan
menuju kepada ikatan yang diredhai, iaitu ikatan perkahwinan bagi mencapai
hasrat untuk hidup bersama dan bahagia. Sesungguhnya, setiap makhluk telah
diciptakan secara berpasang-pasangan, dan kita sebagai umat perlu yakin dengan
urusan Allah.
Kasih Terhalang
Sungguhpun
pengalaman bercinta cukup manis dan indah, tetapi adakalanya ianya berakhir
juga dengan kegagalan. Kegagalan dalam percintaan amat pedih dirasakan oleh
mereka yang mengalaminya. Dalam sesebuah perhubungan, tidak semuanya akan
berakhir dengan kegembiraan. Hal ini (perpisahan) disebabkan oleh beberapa
halangan yang timbul seperti halangan daripada keluarga, perubahan hati,
terpaksa berpisah sementara ataupun berpisah buat selama-lamanya. Kisah
percintaan yang menceritakan mengenai harapan dan kasih yang diingini, tetapi
tidak tercapai (terputus di tengah jalan) akibat sikap tidak setia pasangan diungkapkan
dalam pantun di bawah:
Ruak-ruak
burung di kali,
papan dirapat
sampaian kain;
awak juga
membuang diri,
sebab
mendapat muda yang lain.
[Bingkisan Permata, 2001:466]
Pantun di atas
berkisar mengenai kegagalan hubungan yang dikatakan berpunca daripada perubahan
hati salah seorang daripada pasangan itu. Perubahan hati itu diungkap dengan
begitu indah sekali melalui kiasan rangkai kata sudah mendapat muda yang baru.
Halangan sementara pula seperti terpaksa berpisah untuk satu tempoh waktu
tertentu, dan ini mungkin disebabkan oleh tuntutan kerja atau tugas yang
penting, contohnya seperti pantun di bawah:
Apa khabar
nasi di daun,
nasi di dalam
bagai nak basi;
apa khabar
tinggal setahun,
tinggal
semalam bagai nak mati.
[Bingkisan
Permata, 2001:458]
Dalam pantun di
atas, perpisahan yang terjadi walaupun seketika semenangnya amat sukar bagi
insan yang sedang bercinta. Hidup berjauhan tanpa pasangan boleh menyebabkan
rindu yang berpanjangan.
BINGKIS PENUTUP
Bingkis Penutup merupakan
sub-topik terakhir dalam karya Pantun Melayu: Bingkisan Permata. Bingkis
Penutup telah dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Tanggapan dan
Renungan, Salam Perpisahan danHarapan.
Tanggapan dan
Renungan
Bahagian ini
mengetengahkan himpunan pantun berkaitan pengalaman dan etika dalam menjalani
kehidupan bermasyarakat. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) menyatakan
etika merujuk kepada prinsip moral atau nilai-nilai akhlak yang menjadi
pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Masyarakat merupakan istilah
yang digunakan untuk menerangkan komuniti manusia yang tinggal
bersama-sama. Etika kehidupan bermasyarakat diketengahkan dalam bahagian
ini bagi memberikan panduan dan pengajaran kepada khalayak pembaca agar
mengamalkan nilai-nilai positif dan akhlak yang mulia dalam apa-apa jua aspek
kehidupan.
Pantun digunakan
oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap
sesuatu dengan menggunakan bahasa yang berselindung atau dengan kata lain
secara tidak berterus terang. Melalui pantun, masyarakat Melayu dapat
menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap
sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan
berlakunya pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka.
Ambil bertih
dari hulu,
Isi mari di
dalam balang;
Bersihkan
halaman kita dahulu,
Baru
bersihkan halaman orang.
[Bingkisan Permata, 2001: 541]
Pantun di atas
merupakan kritikan sosial terhadap orang yang suka mengkritik kesilapan orang
lain sedangkan diri sendiri melakukan kesilapan yang sama. Terdapat beberapa
peribahasa Melayu yang merujuk kepada sikap ini, misalnya ‘bagai ketam mengajar
anaknya berjalan betul’ - menyuruh orang lain membetulkan kesilapan tetapi diri
sendiri juga silap, ‘bicarakan rumput di halaman orang, di halaman sendiri
rumput sampai ke kaki tangga’ - cacat cela orang lain nampak, cacat cela
sendiri tidak kelihatan dan ‘bintang di langit boleh dibilang, tetapi arang di
mukanya tak sedar’. Falsafah yang tersirat di sebalik pantun tersebut membawa
amanat dan peringatan tentang peri pentingnya seseorang melihat dan menilai
kelemahan diri sendiri sebelum sibuk membetulkan kesilapan orang lain.
Kecil-kecil
kacang pelisa,
Pandai
melilit di pagar orang;
Tengok kecil
mulutnya bisa,
Pandai
menyakit hati orang.
[Bingkisan
Permata, 2001: 568]
Pantun di atas mengkritik salah satu sikap buruk yang ada pada manusia, iaitu
tidak pandai menjaga tutur kata. Za’ba (1950, dalam Mohd Rashid Md.Idris, 2011:
197) menyatakan bahawa masyarakat Melayu yang dianggap beradat mestilah berbudi
bahasa dan baik tutur katanya. Masyarakat Melayu memandang tinggi terhadap budi
pekerti yang mulia, sopan santun dan sifat lemah-lembut terutamanya terhadap
kaum wanita. Gadis atau wanita yang bersikap kasar dan bermulut celopar
dianggap kurang ajar dan sangat menyakitkan hati. Bagi masyarakat Melayu, nilai
budi bahasa lebih disanjung tinggi berbanding kecantikan wajah. Seseorang yang
memiliki paras yang cantik jelita jika tidak berbudi bahasa tidaklah dipandang
orang. Jelaslah budi bahasa itu sendiri mampu menandingi kecantikan dalam erti
kata memenangi hati seseorang seperti dalam pantun di bawah:
Anak teruna
menanam betik,
Buah cempedak
dalam raga;
Apalah guna
berwajah cantik,
Kalau kurang
budi bahasa.
[Bingkisan
Permata, 2001: 100]
Nilai-nilai
kejiranan turut diketengahkan dalam bahagian ini. Pelbagai aspek kejiranan
telah ditonjolkan dalam pantun Melayu, antaranya ialah nilai tolong-menolong.
Ribut-ribut
bawa pukat,
Melihat
gelung di Selat Jawa;
Kita hidup
tanda muafakat,
Tolong-menolong
tanda sejiwa.
[Bingkisan
Permata, 2001: 578]
Pantun di atas memberikan gambaran kehidupan masyarakat Melayu dahulu yang
saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kegiatan ini dapat memupuk cara
hidup yang baik, bertimbang rasa dan sikap prihatin untuk melahirkan masyarakat
yang lebih makmur (Mohd Rashid Md.Idris, 2011: 215). Nilai tolong-menolong sememangnya
lazim diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisi, contohnya dalam kenduri
perkahwinan. Mereka bergotong-royong membuat persiapan dan tidak lokek
menyumbangkan wang, masa dan tenaga. Keadaan ini turut digambarkan dalam
peribahasa Melayu ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘bagai aur
dengan tebing’.
Masyarakat Melayu
juga mengutamakan nilai perpaduan. Bagi masyarakat Melayu, ‘cubit paha kanan,
paha kiri terasa sakit juga’ – turut bersama-sama merasakan kesusahan dan
penderitaan yang dihadapi oleh anggota keluarga atau masyarakat. Masyarakat
Melayu pada zaman dahulu mempunyai hubungan yang mesra dengan jiran tetangga
dan menjauhi sikap ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.
Nilai perpaduan terungkap dalam pantun berikut:
Kalau ke
bukit sama mendaki,
Kalau ke laut
sama berenang;
Kalau kita
bersatu hati,
Kerja yang
berat menjadi senang.
[Bingkisan
Permata, 2001: 543]
Keluarga adalah satu daripada institusi penting dalam masyarakat selain
daripada ekonomi, pendidikan, politik dan agama. Usaha mewujudkan masyarakat
yang harmoni perlulah bermula dari rumah, iaitu melalui hubungan kekeluargaan.
Masyarakat Melayu tradisi mempunyai hubungan kekeluargaan yang baik dan erat.
Pada masa dahulu, kebanyakan keluarga tinggal berdekatan dengan sanak saudara.
Oleh itu, jalinan hubungan kekeluargaan sangat erat.
Dapat seekor
ikan tenggalan,
Lalu ditaruh
di atas peti;
Saudara-mara
dapat berkenalan,
Bertambah
mesra kasih di hati.
[Bingkisan
Permata, 2001: 543]
Pantun juga digunakan sebagai medium untuk berhibur. Pada zaman dahulu,
masyarakat Melayu akan berhibur dengan melafazkan pantun-pantun bersifat jenaka
atau mengusik setelah lelah bekerja dan pada waktu lapang. Pantun juga
dijadikan sebagai lirik dalam lagu-lagu Melayu lama seperti lagu Melayu asli,
keroncong, dondang sayang, zapin, ghazal, canggung, seloka dan sebagainya.
Contohnya Pantun Cik Busu Pandai Membilang Malam versi Terengganu.
Kata Cik Busu
pandai membilang malam:
Malam ini
malam kese-se
Parang
dewangsa
Hendak
memarang gunung sebuah
Kata Cik Busu
pandai berkata
Kata sepatah
tiada berubah.
Kata Cik Busu
pandai membilang malam:
Malam ini
malam kedua-we
Dua di kayu
anak
Mari disumpit
dengan sumpitan
Orang berdua
berdukung anak
Macam gunung
bersahutan.
[Bingkisan
Permata, 2001: 586]
Salam Perpisahan
Selain berfungsi
untuk mendidik dan memberikan pengajaran, pantun juga digunakan untuk
menzahirkan dan meluahkan perasaan suka, gembira dan sedih. Bahagian ini
menghimpunkan pantun perpisahan – pantun ucapan selamat tinggal, pantun memohon
kemaafan dan harapan bertemu lagi serta pantun akhir majlis.
Hari ini
merendang jagung,
Hari esok
merendang serai;
Hari ini kita
berkampung,
Hari esok
kita bercerai.
Hari ini
merendang serai,
Hari esok
merendang ringgi;
Hari ini kita
bercerai,
Ada umur
bertemu lagi.
[Bingkisan
Permata, 2001: 606]
Pantun tersebut
menggambarkan hakikat kehidupan yang sentiasa berputar dan akan dilalui oleh
manusia, iaitu perpisahan. Setiap sesuatu yang bermula akan ada pengakhirannya.
Begitu juga dengan pertemuan, pasti ada titik perpisahannya. Hanya doa dan
harapan diluahkan moga akan adanya pertemuan pada masa akan datang.
Hinggap mari
di pohon remunia,
Jauh dari
pohon meranti;
Kami mencabut
sedak rebana,
Majlis
berpantun mohon berhenti.
[Bingkisan
Permata, 2001: 606]
Pantun ini menggambarkan kesopanan yang menjadi amalan masyarakat Melayu.
Pantun digunakan untuk mengakhiri majlis dengan ungkapan meminta izin sebagai
tanda menghormati tetamu yang menghadiri majlis tersebut. Pada akhir atau
penghujung sesuatu majlis, pantun digunakan bagi melahirkan ucapan terima kasih
dan penghargaan kepada mereka yang terlibat. Permohonan maaf juga disampaikan
sekiranya terdapat tutur kata atau perbuatan yang menyinggung hati dan
perasaan. Penggunaan kata-kata yang indah dalam menyampaikan perasaan akan
memberikan kesan yang mendalam kepada orang yang menerimanya. Hal ini jelas
menunjukkan bahawa masyarakat Melayu amat mementingkan budi bahasa dalam apa
jua keadaan.
Kalau ada
jarum yang patah,
Jangan disimpan
di dalam peti;
Kalau ada
silap dan salah,
Jangan
disimpan di dalam hati.
[Bingkisan
Permata, 2001: 607]
Harapan
Bahagian ini
menghimpunkan pantun-pantun yang menggambarkan harapan seseorang agar hak
miliknya dikembalikan dalam keadaan yang baik dan sempurna. Dalam konteks Bingkisan
Permata, pantun ini diletakkan pada bahagian pengakhiran berkemungkinan bagi
menyampaikan harapan pengkaji agar khazanah pantun Melayu dipelihara dengan
baik dan tidak dirosakkan nilai keindahannya.
Bunga
anggerik di atas pagar,
Pagar
bersasak dengan pintunya;
Jangan
tercabik jangan terbakar,
Jangan rosak
barang suatunya.
[Bingkisan
Permata, 2001: 609]
KESIMPULAN
Pantun adalah
karya agung Melayu yang mencerminkan nilai-nilai hidup dan sosial masyarakat
Melayu. Keagungan itu bukan sahaja dalam falsafah, pegangan, tema dan maksud
yang disampaikan, tetapi juga dalam rangkap kata-kata yang menjadi wadah nilai
dan tanggapan itu. Kata-kata yang terdapat dalam pantun adalah padat, bernas,
tepat dan berkesan. Pantun bersifat fungsional, iaitu bukan sahaja bertujuan
untuk mendidik dan membimbing tetapi juga untuk menghiburkan khalayak yang
mendengar.
ULASAN KITAB
SULALATUS SALATIN
Sulalatus Salatin
yang juga dikenali sebagai Sejarah Melayu merupakan kitab hasil kepengarangan
Tun Sri Lanang. Karya ini menceritakan zaman kesultanan Melayu melaka yang
dikatakan dibawa dari Goa. Goa yang selama ini dianggap di India, sebenarnya
merupakan suatu tempat yang terletak di Sulawesi Indonesia. Karya ini telah
dikarang oleh Tun Sri Lanang ketika beliau menjadi Bendahara Paduka Johor
antara tahun 1580 hingga 1615. Tun Sri Lanang telah dilahirkan di Bukit
Seluyut, Johor pada tahun 1565. Sulalatus Salatin mengandungi 15 bab. Permulaan
bab dibincangkan dengan jurai keturunan raja Melaka sehingga pembentukan Melaka
ataupun sesudah pembukaan Melaka. Pembahagian perbincangan Sulalatus Salatin
terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu sebelum pembukaan kota Melaka [ mengandungi
4 bab] dan selepas pembukaan kota Melaka [ mengandungi 11 bab ].
Karya Sejarah Melayu ini mempunyai banyak versi. Karya agung ini mengutarakan pelbagai falsafah dan etika di dalamnya, iaitu tujuh falsafah. Antaranya ialah ketaatan kepada pemerintah, keadilan, waad, nilai dan etika, adat, keberanian, dan kekuasaan. Dalam karya ini, falsafah ketaatan dirujuk kepada beberapa orang tokoh yang disebut dalam karya ini, antaranya ialah Demang Lebar Daun, Hang Tuah, Bendahara Paduka Raja, Hang Nadim dan Bendahara Seri Maharaja. Demang Lebar Daun seorang yang taat apabila membenarkan puterinya berkahwin dengan Seri Tribuana. Hang Tuah pula terlalu taat kepada sultan sehinggakan rela menerima hukuman bunuh dari sultan setelah difitnah berkelakuan sumbang dengan dayang. Hang Tuah rela dihukum biarpun beliau tidak bersalah. Baginda Paduka Raja dikatakan taat kepada sultan apabila akur dan tidak memprotes apabila anaknya, Tun Besar dibunuh oleh anak sultan apabila bola sepak raganya terkena destar anakanda sultan lalu terjatuh ke tanah. Berpegang kepada prinsip “adat Melayu tidak pernah derhaka” maka Baginda Paduka Raja menerima perkara tersebut meskipun anaknya mati dibunuh. Kesimpulan yang dapat dibuat dari falsafah ketaatan ini, konsep ketaatan yang diamalkan terlalu keterlaluan dan terlalu mengagung-agungkan sultan biarpun tindakan sultan tersebut adalah salah dan melampau. Misalnya, keengganan Bendahara Seri Maharaja mempersembahkan puterinya kepada Sultan Mahmud telah menunjukkan ciri penderhakaan kepada sultan. Bendahara Seri Maharaja berpeluang untuk membantah hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas beliau sekeluarga. Beliau ketika itu dalam posisi sangat kukuh dari segi politik dan ekonomi sebaliknya beliau melarang para pengikutnya daripada memberontak. Mungkin peristiwa ini menabalkan beliau sebagai seorang yang taat kepada sultan.
Falsafah kedua yang dibentangkan adalah Waad. Waad merupakan kontrak sosialdi antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Jika waad ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti menghidapi penyakit kedal. Oleh itu, wujudnya perkara tulah dan daulat. Saya melihat waad ini sebagai suatu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dan rakyat. Terkandung pelbagai perjanjian yang bertimbal balik. Contohnya, rakyat tidak boleh menderhaka kepada raja dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyat. Rakyat tidak boleh menderhaka dan perlu taat kepada raja. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat tunduk patuh kepada raja dan sekiranya tidak patuh, mereka akan ditimpa bencana.
Falsafah ketiga
yang diutarakan ialah falsafah keadilan. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah
wujudkan undang-undang untuk mengelakkan menteri melakukan kesilapan. Ganjaran
kepada kesilapan adalah hukuman. Dalam kitab ini, tidak banyak yang ditonjolkan
mengenai sikap raja yang adil. Ketidakadilan raja juga dengan beraninya
ditonjolkan oleh Tun Sri Lanang. Beliau patut dipuji kerana tidak hanya
amenceritakan kebaikan sahaja, malah turut menceritakan kezaliman raja terhadap
rakyat dan pembesar-pembesarnya. Terdapat banyak peristiwa yang mempamerkan
ketidakadilan raja.
Falsafah keempat yang ditonjolkan telah dalam pembentangan adalah falsafah adat. Adat merupakan peraturan yang diamalkan sejak turun – temurun. Adat perlu dipatuhi. Dalam Kitab ini terdapat banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan diraja dan golongan rakyat. Ada antaranya masih digunapakai dan ada juga di antaranya diubahsuai supaya sesuai dengan peredaran masa.
Falsafah kelima yang ditunjukkan adalah falsafah kekuasaan. Kitab ini terlalu banyak menceritakan kekuasaan raja. Raja sangat berpengaruh dari segala sudut. Raja berkuasa menitahkan apa sahaja kepada rakyat da rakyat perlu menunaikannya jika tidak mahu dihukum. Kuasa raja sebagai kuasa mutlak terlalu banyak menindas golongan rakyat. Kandungan kitab ini mempamerkan sikap raja yang kejam dan sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan sesuatu. Raja pada zaman dahulu terlalu berkuasa sehingga bertindak zalim di luar batas kemanusiaan. Justeru, tidak hairanlah mengapa rakyat begitu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan buruk rupa.
Falsafah keempat yang ditonjolkan telah dalam pembentangan adalah falsafah adat. Adat merupakan peraturan yang diamalkan sejak turun – temurun. Adat perlu dipatuhi. Dalam Kitab ini terdapat banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan diraja dan golongan rakyat. Ada antaranya masih digunapakai dan ada juga di antaranya diubahsuai supaya sesuai dengan peredaran masa.
Falsafah kelima yang ditunjukkan adalah falsafah kekuasaan. Kitab ini terlalu banyak menceritakan kekuasaan raja. Raja sangat berpengaruh dari segala sudut. Raja berkuasa menitahkan apa sahaja kepada rakyat da rakyat perlu menunaikannya jika tidak mahu dihukum. Kuasa raja sebagai kuasa mutlak terlalu banyak menindas golongan rakyat. Kandungan kitab ini mempamerkan sikap raja yang kejam dan sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan sesuatu. Raja pada zaman dahulu terlalu berkuasa sehingga bertindak zalim di luar batas kemanusiaan. Justeru, tidak hairanlah mengapa rakyat begitu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan buruk rupa.
Falsafah keenam
yang ditonjolkan dalam pembentangan ialah keberanian. Keberanian raja merujuk
kepada keberaniannya menjajah dan mentakluk negeri lain untuk meluaskan
pengaruh jajahannya. Dalam kitab ini, turut diceritakan mengenai sikap
keberanian yang ditonjolkan oleh golongan rakyat biasa seperti Badang. Kitab
ini banyak menonjolkan ketokohan keberanian Hang Tuah. Hang Tuah digambarkan
sebagai seseorang yang sangat hebat. Perkara ini seperti sengaja ditonjolkan
untuk menunjukkan kehebatan orang Melayu pada waktu tersebut.
Falsafah ketujuh
yang ditonjolkan ialah nilai dan etika. Etika dan nilai yang digarap dalam
kitab ini diwarisi rakyat. Selain itu, kitab ini juga menggariskan tugas-tugas
raja dan pembesar dan peranan-peranan rakyat. Raja juga sebagai bayangan tuhan
atau payung kepada rakyat. Justeru, taat dan setia perlu ditumpahkan kepada
raja sepenuhnya. Kesimpulannya, secara keseluruhan dapat dilihat betapa karya
agung ini bersifat sejagat dan menyeluruh. Namun, terdapat unsur-unsur mitos
yang seakan-akan tidak masuk akal di dalam kitab ini. Kekuasaan yang
ditonjolkan oleh raja secara melampau dan juga kezaliman raja menunjukkan
betapa tidak adilnya raja pada suatu ketika dahulu. Dalam kitab ini juga
ditonjolkan secara melampau ketaatan kepada raja. Justeru, pepatah “adat Melayu
tidak menderhaka’ begitu terserap dalam masyarakat Melayu pada suatu ketika
dahulu.
ULASAN HIKAYAT
ABDULLAH
Hikayat Abdullah
merupakan biografi atau penceritaan pengalaman hidup Munsyi Abdullah atau nama
sebenarnya Abdullah Bin Abdul Kadir. Hikayat ini mengandungi segala hal yang
berlaku pada diri Munsyi Abdullah dan masyarakat selat pada masa pemerintahan
Inggeris dan peralihan kuasa Inggeris kepada Belanda di Melaka. Hikayat ini
merupakan dokumentasi sejarah yang berlatar belakangkan peristiwa-peristiwa
yang berlaku pada abad ke -19 yang diceritakan mengikut perspektif beliau yang
hidup pada zaman tersebut.. Turut diceritakan dalam hikayat ini mengenai kisah
pembukaan Singapura dan pembangunannya pada awal abad ke -19.
Dalam hikayat ini, Munsyi Abdullah telah mengkritik gaya hidup dan kepercayaan masyarakat yang berbilang kaumdi Melaka pada masa itu yang terdiri daripada empat kapitan, iaitu Keling, Cina, Nasrani, dan Melayu. Masyarakat pada zaman tersebut begitu taksub dengan kepercayaan tahyul terutamanya masyarakat Melayu yang begitu mempercayai penanggal dan polong. Perkara ini diceritakan dengan teliti tentang asal-usul makhluk-makhluk ini serta cara untuk membunuhnya. Dalam hikayat ini, beberapa kali Munsyi Abdullah menyatakan kebencian beliau terhadap kepercayaaan karut-marut masyarakat Melayu pada ketika itu. Hikayat ini boleh dikatakan sebagai dokumentasi Abdullah. Munsyi Abdullah telah telah membawa pembaca bertemu dengan tokoh-tokoh sejarah seperti Farquhar, Lord Minto dan Crawford. Hikayat ini telah menceritakan peribadi mereka mengikut pandangan Munsyi Abdullah yang berdampingan dengan mereka. Tokoh-tokoh ini digambarkan sebagai baik dan disanjungi oleh Munsyi Abdullah.
Penceritaan hikayat ini jelas menunjukkan Munsyi Abdullah seorang yang gigih menuntut ilmu. Munsyi Abdullah berketurunan peranakan Arab-India yang berjaya menguasai bahasa Melayu , bahasa Tamil, Hindustan, Inggeris dan Cina. Penguasaan beberapa bahasa ini menunjukkan kegigihan Munsyi Abdullah mempelajari bahasa.Munsyi Abdullah juga mengkritik sikap masyarakat Melayu yang malas mempelajari bahasa Melayu. Perkara ini membuktikan betapa Munsyi Abdullah melakukan pelbagai kritikan sosial dalam hikayatnya. Terdapat beberapa falsafah yang terkandung dalam Hikayat Abdullah.
Falsafah ketuhanan adalah mengenai kebencian karut dan tahyul masyarakat Melayu yang membelakangkan kuasa Allah S.w.t. Abdullah berfikiran rasional dan realistik dan tidak mempercayai bomoh, dukun dan pawang. Beliau juga mengkritik kepercayaan orang Melayu yang tidak mempercayai ilmu falak dan tidak mempercayai bahawa bumi ini bulat. Beliau juga mengkritik orang Melayu yang mempercayai peristiwa gerhana bulan disebabkan bulan dimakan oleh Rauf (ular). Musnsyi Abdullah menyeru masyarakat supaya memandang sesuatu itu secara rasional dan berpegang kepada kuasa Allah. Perkara ini membuktikan,daalm karya ini Munsyi Abdullah amat menekankan aspek ketuhanan dalam karyanya.
Falsafah kedua
ialah falsafah keadilan. Falsafah keadilan yang dikemukakan adalah berkaitan
dengan kes Syed Yasin, keskezaliman Sultan, keadilan Farquha yang sedia
membantu golongan bawahan yang kesusahan. Beliau menyeru dan menuntut
kesamarataan dalam gagasannya yang terkandung dalam karya.
Falsafah ketiga
yang dikemukakan ialah falsafah kebenaran. Munsyi Abdullah menyatakan perkara
kebenaran dalam hikayatnya. Apa yangdiceritakan merupakan perkara yang
betul-betul berlaku dan diamalkan sehingga ke hari ini seperti kepercayaan
tahyul oleh masyarakat Melayu.
Falsafah keempat
ialah falsafah keindahan. Keindahan yang dimaksudkan dari segi bahasa, adat dan
pemikiran yang diutarakan dalam hikayat. Hikayat Abdullah membawa perubahan
tema, plot, dan jalan cerita seperti karya-karya yang ditulis dalam zamannya.
Beliau telah menjadikan pengalaman beliausebagai bahan penulisan. Perkara ini
menjadikan karya beliau bersifat realiti dan tidakdiselitkan dengan
cerita-cerita dongeng seperti karya-karya lain yang ditulis dalam zamannya.
Beliau menyelitkan pantun, syair dan kiasan untuk menyampai kan sesuatu
pemikirannya. Selain itu, terdapat banyak kosa kata baharu dan penggunaan
teknik dialog dalam karya ini. Boleh dikatakan bahawa hikayat ini sebagai
permulaan karya Melayu moden yang boleh diibaratkan seangkatan ASAS 50 yang
lahir seratus tahun selepas kelahiran hikayat ini. Jelas menunjukkan pemikiran
Munsyi Abdullah tidak dibatasi oleh masa.
Falsafah
seterusnya ialah falsafah etika yang terkandung dalam hikayat ini. Undang-undang
Singapura dikatakan sebagai hasil kebijaksanaan Raffles. Falsafah etika ini
dikaitkan dengan penceritaan kisah Tuan Bangoor yang begitu mementingkan nilai
kebersihan. Adat menggunakan keris juga dikatakan sebagai falsafah.
Falsafah
pemikiran juga ditonjolkan dalam Hikayat Hang Tuah. Pemikiran Munsyi Abdullah
yang jauh ke depan dan bersifat revolusioner. Beliau juga dianggap sebagai
tokoh yang menerajui perkembangan sastera moden di tanah Melayu pada ketika
itu. Selain itu, perlu juga ditelusuri betapa Munsyi Abdullah ini begitu teruja
dan terpegun dengan orang asing yang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu.
RUJUKAN.
Abdullah Hassan,
Aripin Said & Ainon Mohd (2005). Koleksi pantun untuk majlis
perkahwinan dan persandingan Melayu. Kuala Lumpur: PTS Litera Utama.
Aminudin Mansor
(2013). Adab baik akhlak cantik. Diperoleh pada April 28, 2013 daripada
www.utusan.com.my.
Harun Mat Piah
(2001). Pantun Melayu: bingkisan permata. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan
dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah (2009).
Diperoleh pada April 30, 2013 daripada www.dbp.gov.my.
Kamus dewan edisi
keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Ali Majod
(2006). Pantun kasih sayang. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd.
Mohd Rashid Md
Idris (2011). Nilai Melayu dalam pantun. Tanjong Malim: Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Rosli
Saludin (2006). Bahasa dalam pantun dan keistimewaannya [versi
elektronik]. Diperoleh pada April 30, 2013 daripada www.scribd.com.
Sulaiman Masri,
Abdullah Yusuf dan Mohd Ra’in Shaari (2006). Bahasa Melayu
dimensi pengajaran dan pembelajaran.
Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Zainal Abidin
Borhan (1984). Kumpulan pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan