ILMU PENDUKUNAN
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun
membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung
atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh, pawang.
Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan
pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.
Terdapat beberapa istilah untuk orang yang mengamalkan ilmu
perdukunan ini seperti kahin, ‘arraf,
rammal, munajjim atau ahli nujum, sahir
atau tukang sihir dan lain-lain. Bassam Salmah (2004:301) mengatakan bahawa al-kahin merupakan seseorang yang
mengkhabarkan sesuatu yang akan terjadi pada masa akan datang. Namun demikian,
ada juga yang mengatakan al-kahin
adalah individu yang memberitahu apa yang tersirat di dalam hati seseorang.
Istilah yang kedua yang berkaitan dengan perdukunan ialah ‘arraf. ‘Arraf dikatakan oleh Al-Baghawi dalam Bassam Salmah
(2004:302) sebagai orang yang mengaku tahu akan urusan-urusan tertentu melalui
cara yang tertentu dan mungkin juga mengetahui tempat sesuatu barang yang
hilang itu disorokkan.
CIRI-CIRI PENDUKUNAN
Pendukunan telah merebak masuk ke dalam masyarakat Melayu
sejak zaman dahulu lagi. Keadaan ini disebabkan oleh banyak ilmu-ilmu
pendukunan (kahanah) dikemas dengan kemasan agama, sehingga masyarakat Islam
banyak yang tertipu oleh para dukun. Menurut Niknik
M. Kuntarto et. al. (2010:168-172) terdapat beberapa ciri-ciri pendukunan seperti:
i.
Bertanya namanya, nama ayahnya dan nama ibunya untuk
dimanterai.
ii. Menanyakan hari dan waktu lahirnya sama ada siang atau
malam.
iii. Meminta salah satu benda (foto, kain, sapu tangan, baju)
sebagai syarat ritual.
iv. Adakalanya meminta binatang dengan sifat tertentu
v.
Membaca mantera-mantera yang tidak difahami.
vi. Kadang-kadang menyuruh orang sakit menyepi
tidak terkena sinar matahari.
vii. Kadang-kadang tidak boleh menyentuh air atau mandi pada
waktu tertentu.
viii. Memberi benda-benda yang harus ditanam.
ix. Kadang-kadang sudah tahu masalah sebelum pesakit sempat
memberitahu.
x.
Menulis ayat al-Quran dengan songsang.
xi. Membakar kemenyan.
xii. Memberikan ramalan ghaib tentang sesuatu sudah sedang
atau akan terjadi.
Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib
yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan
binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu
pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya. Di
Melaka, terdapat orang yang begitu arif tentang gajah, bergelar Penghulu Gajah.
Antaranya adalah Seri Wak Raja. Contoh petikan berkaitan dengan ini :
Sekalian orang pun melihat tahunya Seri
Wak Raja; gajah penakut jadi beraninya.
(Sulalatus Salatin : 209)
|
Terdapat juga golongan istana yang menggunakan dukun atau
ahli nujum terutama sebelum kedatangan Islam atau tahap-tahap awal
kemasukannya. Peranan ahli nujum agak berbeza dengan bomoh. Dia lebih kepada
membuat ramalan. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, keturunan raja Kedah yang
memerintah Siam meminta ahli nujumnya mencari pengganti raja Kedah setelah Raja
Bersiung hilang dalam perdu buluh betung. Ahli nujum itu melepaskan gajah sakti
untuk mencari raja yang baru.
Istilah lain bagi pendukun ialah rammal. Rammal ini merupakan kata akar bahasa
Arab iaitu raml yang diertikan sebagai pasir yang lembut. Rammal pula adalah
seorang tukang ramal yang akan menggaris-gariskan sesuatu di pasir untuk
mengetahui sesuatu perkara yang diminta oleh orang yang datang berjumpa
dengannya. Ilmu ini telah lama dikenali oleh masyarakat Arab dengan nama ilmu
raml. Munajjim atau juga disebut sebagai ahli nujum sudah pasti sinonim dengan
masyarakat Melayu. Nujum membawa erti bintang-bintang. Ahli nujum ini biasanya
akan meramal nasib seseorang menggunakan cara yang tertentu. Sebagai contohnya
dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah seperti berikut :
Maka segala ahlul nujum dan sasterawan pun melihat yang
di dalam nujum. Setelah sudah dilihatnya, maka masing-masing pun
menggerakkan kepalanya. Maka titah baginda, “Apa sebab kamu sekalian
mengerakkan kepalamu?” Maka sembah segala ahlul nujum dan sasterawan itu,
“ya Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun beribu-ribu ampun dan kurnia ke
bawah Duli Syah Alam; adapun patik anakanda ini terlalu amat bahagia
beroleh suami anak raja besar, dan anak cucu paduka anakanda inilah
akan raja datang kepada akhir zaman, akan menjadi raja besar. Maka duli
tuanku pun hendaklah segera memberi paduka anakanda bersuami, hendaklah
paduka anakanda ini ditaruhkan pada suatu pulau yang bernama Biram Dewa itu
dengan suatu mahligai dan dayang-dayang. Di sanalah paduka anakanda
bersuami raja besar itu.”
(Hikayat Hang Tuah: 5)
|
Berdasarkan petikan di
atas, hikayat ini menceritakan perihal Tuanku Syah Alam yang menggunakan
khidmat ahli nujum bagi menilik untung nasib anak gadisnya itu iaitu Tuan Puteri
Kemala Ratna Pelinggam. Melalui tilikan para ahli nujum, mereka mendapati
bahawa nasib anak gadisnya itu adalah beroleh keuntungan pada masa akan datang
melalui perkahwinannya dengan anak raja besar. Justeru, untuk beroleh
keuntungan tersebut ahli nujum menyarankan supaya Tuan Puteri Kemala Ratna
Pelinggam segera dikahwinkan dan diletakkan di sebuah pulau yang bernama Biram
Dewa dengan sebuah istana berserta dayang-dayang.
ILMU FIRASAT
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:412)
ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka iaitu anggota
badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Ilmu firasat
dapat dikatakan sebagai ilmu yang boleh menilik nasib seseorang. Sesiapa yang
mempelajari akan ilmu ini akan boleh membaca fikiran seseorang. Dalam Hikayat
Hang Tuah, terdapat beberapa peristiwa yang boleh dikaitkan tentang penggunaan
ilmu firasat. Antaranya ialah berdasarkan kepada peristiwa mimpin yang telah di
alami oleh Hang Mahmud.
“ Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan
turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah. Hang
Mahmud pun terkejut lalu bangun daripada tidur, lalu diribanya anaknya Hang
Tuah dan diangkatnya, maka diciumnya seluruh tubuh.
(Hikayat Hang Tuah : 23)
|
Hang Mahmud telah
bermimpi tentang bulan yang turun dari langit dan cahaya bulan tersebut telah
mengenai Hang Tuah. Melalui peristiwa tersebut, Hang Mahmud berpendapat bahawa
sesuatu akan berlaku kepada Hang Tuah. Dengan itu, beliau telah berpesan kepada
isterinya iaitu Dang Merdu agar sentiasa menjaga Hang Tuah. Hang Mahmud juga
berfikir bahawa Hang Tuah patut diberikan ajaran yang sempurna. Namun,
disebabkan keadaan di Kampung Sungai Duyung tidak mempunyai tempat pengajian
yang sesuai untuk Hang Tuah, maka Hang Mahmud berpendapat mereka haruslah
berpindah ke Bentan. Di Bentan, Hang Tuah telah diserahkan kepada seorang lebai
untuk diajarkan mengaji al-Quran.
“ … Maka dilihatnya seekor pelanduk putih, seperti
kambing besarnya, berhadapan dengan anjingnya. Maka oleh pelanduk itu
digigitnya akan anjing kedua itu. Maka anjing itu pun berteriak keduanya
lalu terjun ke dalam sungai itu. Maka pelanduk itu pun mengusir anjing
keduanya. … “ Ya Tuanku Syah Alam, ada patik dengar kata orang tua-tua
patik, jika ada pelanduk putih pada hutan atau barang tempat sekalipun,
baiklah tempat, patut diperbuat negeri; berdaulat negeri, tuanku.”
(Hikayat Hang Tuah : 64)
|
Selain itu, dalam
hikayat ini juga peristiwa yang berkaitan dengan ilmu firasat dapat di lihat
pada peristiwa penubuhan Kota Melaka. Pada ketika Tuanku Syah Alam sedang
berehat di bawah sepohon pokok, Hang Tuah telah mengkhabarkan kepada Tuanku
tentang Anjing pemburuannya yang telah dikalahkan oleh seekor pelnduk putih.
Tuanku Syah Alam tertarik dengan cerita yang disampaikan dan bertanya kepada
salah seorang pembesar tentang peristiwa tersebut. Pada pandangan pembesar,
menurut cerita yang di sampaikan oleh orang tua-tua, jika terdapat seekor
pelanduk putih, maka tempat itu amat sesuai untuk dibuka sebuah negeri.
Berdasarkan kepada peristiwa dan pendapat yang diberikan oleh pembesar, Tuanku
Syah Alam berfirasat, jika dibuka sebuah negeri, negeri tersebut akan maju dan
kuat.
… “ Apa juga dipakainya maka tiada lut kuparang?
Tetapi pada firasatku sebab kerisnya inilah maka ia tiada dapat ditentang
lawan dan tiada lut kuparang tubuhnya ini. Jikalau demikian, apa jua
kehendaknya? Baiklah kuperdayakan.”
(Hikayat Hang Tuah : 155)
|
Menerusi peristiwa yang
berlaku tentang rahsia Keris Taming Sari. Hang Tuah berfirasat bahawa jika
seseorang itu mempunyai keris Taming Sari, badannya tidak akan lut jika
ditikam. Dengan menggunakan kebijaksanaannya, Hang Tuah telah berjaya merampas
keris tersebut dari tangan Taming Sari. Dengan itu, dapat dikatakan bahawa,
untuk memperoleh keris Taming Sari tersebut. Firasat awal Hang Tuah tentang
keris tersebut sememangnya betul, kerana sepanjang beliau menggunakan keris
tersebut, beliau tidak pernah tercedera dalam pertarungan.
ILMU JAMPI
Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010), jampi bermaksud kata-kata tertentu yang diucapkan untuk
mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit dan lain-lain. Jampi
juga dikenali sebagai mantera. Masyarakat melayu telah lama mengamalkan jampi
dalam kehidupan seharian namun kebanyakkan orang zaman sekarang tidak percaya
pada jampi lagi. Mana Sikana (1996) menyatakan bahawa jampi serapah tidak hanya
sekadar penglahiran perasaan seperti puisi namun mempunyai hubungan dengan jiwa
dan kepercayaan. Jampi lebih kepada bacaan untuk memberI kesaktian terutama
dalam perubatan. Pawang, dukun dan sebagainya adalah pembaca jampi yang
merupakan golongan manusia yang
dikatakan luar biasa dan dikatakan perantaraan makhluk dengan Khaliq.
Mana Sikana (1996) telah mengelaskan jampi kepada tiga
jenis, iaitu jampi menolak syaitan. jampi tawar bisa dan jampi pendinding.
Menurut
Rushdi Raml (2003), jampi merujuk kepada bacaan-bacaan yang memiliki ciri-ciri
berdoa dan memohon perlindungan dan pertolongan yang dibacakan terhadap mereka
yang sakit dengan tujuan untuk merawat daripada penyakit yang menimpa mereka
seperti penyakit demam, disengat ular dan kala jengking,dirasuk syaitan dan
sebagainya Jampi biasanya disampaikan dalam bahasa banjar (Mana Sikana,
1996:65). Berikut merupakan contoh tiga jenis jampi menurut Mana Sikana :
Contoh
jampi di dalam Hikayat Hang Tuah :
Contoh
1:
Setelah Tun Tuah
melihat kelakuan Tun Teja itu, maka Tun Tuah pun fikir dalam hatinya, ‘Adapun
jika selaku ini juga kelakuan Tun Teja ini nescaya gilalah akan aku. Jika
demikian, baiklah kuperbuat suatu hikmat pembenci.’ setelah sudah Tun Tuah
fikir demikian itu, maka Tun Tuah pun membaca pustakanya, lalu ditiupnya ke
dalam karung itu. Maka Tun Teja pun bencikanlah hatinya akan Tun Tuah dan
jangankan melihat rupanya, menengar suaranya pun benci serta menutup akan
telinganya.
(Hikayat Hang
Tuah : 234)
Maksudnya:
Ayat di atas menunjukan
bahawa Hang Tuah menggunakan jampi bagi membuatkan Tun Teja membencinya. Hang
Tuah membacakan jampi tersebut supaya Tun Teja tidak suka padanya.
Setelah terkena jampi
tersebut Tun Teja membenci Hang Tuah dan akhirnya berkahwin dengan Raja Melaka
walaupun pernah menolak pinangan raja tersebut.
Contoh
2:
Sebermula maka Kertala Sari
pun masuk ke dalam. Maka dilihatnya oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu
banyak dengan alat senjatanya. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu
berjalan di tengah orang banyak itu. Maka ia pun pergi ke rumah seorang kaya.
Maka dicurinya harta yang kemas-kemas itu lalu dibawanya kembali dan bini
orang-orang kaya itu dicabulinya. Maka ia pun kembali ke tempatnya.
(Hikayat Hang Tuah : 375)
Maksudnya:
Hikayat Hang Tuah juga
menyelitkan ilmu jampi seperti petikan
di atas yang menunjukan Kertala Sari membaca jampi untuk membuatkan dirinya
tidak dilihat oleh pengawal-pengawal. Kertala Sari tetap boleh melakukan
rompakan walaupun banyak pengawal sedang mengawal. Pengawal-pengawal ini tidak
dapat melihat Kertala Sari kerana beliau menggunakan ilmu jampi untuk terus
merompak tanpa dikesan sehingga mendatangkan kemusykilan.
ILMU
PENGASIH
Pengasih bermaksud ilmu
pengasih, jampi (azimat,doa,guna-guna dan sebaginya) untuk mendatangkan atau
membangkitkan rasa kasih (Kamus Dewan Edisi Keempat: 2010,682). Menurut
Simorangkir (Mana Sikana,1996:70) Ilmu pengasih digunakan untuk mendapatkan
pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain seperti seorang
lelaki telah jatuh hati kepada seorang perempuan yang dikenalinya tetapi
perempuan tersebut menolak cintanya atau sengaja “jual mahal”.Oleh demikian,
lelaki tersebut boleh menggunakan ilmu pengasih untuk membuatkan perempuan
tersebut menyukainya. Ilmu pengasih boleh digunakan dengan pelbagi cara seperti
mencalik minyak, menjampi gambar, menjampi bendak dan sebagainya. Ilmu
pengasih juga digunakan untuk bertemu orang tertentu dengan tujuan yang baik
seperti ketika hendak temu duga pekerjaan, meminta pertolongan dan sebagainya. Contoh
jampi pengasih :
Contoh
ilmu pengasih dalam Hikayat Hang Tuah
Setelah Tun Tuah beroleh jebat itu, maka Tun
Tuah pun kembali ke rumahnya berbuat sesuatu guna pengasih namanya. Setelah
sudah diperbuat guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga membaca
pustakanya datang siang.
…“Pergilah bonda bawa guna ini kenakan pada barang
tempat Tun Teja duduk itu;apabila bonda bubuh guna ini maka bonda pulang.
(Hikayat Hang Tuah : 217)
Maksudnya
:
Ayat di atas jelas
menunjukan bahawa Hang Tuah menggunakan ilmu pengasih dengan meminta bondanya
mencalik minyak yang telah dijampi di tempat duduk Tun Teja. Tun Teja tidak
menerima Hang Tuah menyebabkan Hang Tuah menggunakan ilmu pengasih terhadap Tun
Teja. Setelah Tun Teja terkena ilmu ini,
Tun Teja terus memuja dan menyukai Hang Tuah sehingga sanggup mengikut Hang
Tuah pulang ke Melaka.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, masyarakat Melayu telah
lama mengamalkan ilmu-ilmu ini sepertimana
yang terdapat dalam karya agung
yang dibincangkan sebelum ini. Namun, tidak semua orang boleh mengamalkan ilmu-ilmu tersebut kerana hanya orang
yang tertentu sahaja
yang mempunyai kemahiran dalam mengamalkan ilmu-ilmu ini. Perkembangan
agama Islam di
Nusantara sedikit sebanyak mempengaruhi ilmu-ilmu tersebut.
Rujukan
1.Armansyah
(2008). Ramalan Imam Mahdi: Akankah ia datang pad 2015?. Bandung: Penerbit Serambi.
2.Bassam Salamah
(2004). Penampakan dari dunia lain. Jakarta: Penerbit Hikmah.
3.Kassim
Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah.
Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka
4.Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
5.Hasan Asy Sharqawi
(1994). Manhaj ilmiah Islami.
Indonesia: Gedung Gema Insani.
6.Haron Daud
(2009).Mantera dan unsur luar biasa dalam Masyarakat Melayu. Pulau
Pinang : Universiti Sains
Malaysia
7.Harun Mat
Piah (2006). Kitab Tib : Ilmu Perubatan Melayu.
Kuala Lumpur : Perpustakaan
Negara Malaysia
8.Mana Sikana
(1996). Falsafah dan Seni Kreatif Melayu.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
9.Mana Sikana et al. (2013). Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjung Malim :Universiti Pendidikan
Sultan Idris
10.Niknik M. Kuntarto,
Mira Rainavati
& Anna Ervita Dewi
(2010). Saatirah:
Man-women relationship. Indonesia: PT GramediaWidiasarana.
11. Rusdi Ramli
(2003). Azimat, jampi, sihir dan berubat.
Selangor: Intel Multimedia and Publication Sdn. Bhd.
12. Wolfang Bock SJ. (2007). Menafsir mimpi: Bahasa sandi Tuhan. Yogyakarta: Penerbit Kanisius.
mohon guna yg diatas
BalasPadamizin saya menggunakan nya
BalasPadam