1. Hikayat Hang
Tuah
Analisis Hikayat Hang
Tuah
Hikayat Hang Tuah
hidup sebagai sebuah hasil sastera Melayu lama dan mempunyai keindahannya.
Pengarang Hikayat Hang Tuah telah mengambil watak Hang Tuah dari manusia
sejarah Hang Tuah dan ketika membina watak ini, ia disenyawakan dengan aspirasi
dan perasaan, sifat dan keadaan-keadaan dalam masyarakat Melayu zamannya.
Hikayat Hang Tuah menggambarkan zamannya dan watak-watak dalam Hikayat Hang
Tuah adalah model-model manusia zamannya.
Tema kesetiaan,
kesanggupan dan kejayaan umat Melayu disenyawakan dengan semesra-mesranya dalam
watak Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah adalah sebuah roman sejarah bercorak
kebangsaan yang mempunyai seni dalam erti ia menyuarakan perasaan dan
kesanggupan bangsa Melayu zamannya. Penyuaraan kesetiaan, kesanggupan dan
kedayaan bangsa Melayu adalah dalam bentuk sindiran atau kiasan. Sindiran dan
kiasan di sini adalah untuk membaiki, memberi moral dan alasan kepada sesuatu
kejadian.
Hikayat Hang Tuah
dikarang berdasarkan watak Hang Tuah yang pernah menjadi hulubalang Melaka. Hal
ini adalah untuk membina kembali moral dan menyemaikan semangat ialah dengan
menghidupkan seluas-luasnya alam pengembaraan. Kegigihan Hang Tuah merupakan
satu seni yang indah. Kejayaan pengarang Hikayat Hang Tuah ialah dalam
menggambar Hang Tuah sebagai Adiwira Melayu. Sifat kewiraan ini digunakan pada
masa bangsa Melayu lemah moralnya dan bagi memulihkan kembali moral tersebut
ialah dengan menanam kepercayaan dan pegangan bahawa pada suatu masa dahulu
bangsa Melayu gagah, setia dan punya kesanggupan. Cara ini merupakan satu seni
sastera yang dapat kita samakan dengan konsep ‘sastera untuk masyarakat’. Pada
satu situasi, kita dapati Hang Tuah dengan sejarah kepahlawanannya, pada
situasi yang satu lagi, kita dapati keadaan moral bangsa Melayu lumpuh.
Pengarang menggunakan watak Hang Tuah untuk menebus keadaan ini.
Jika kita menilai Hikayat Hang Tuah dari kaca mata kita sekarang dan menggunakan konsep sekarang untuk perkara yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, kita mungkin berakhir dengan kegagalan. Konsep keadilan, konsep kesetiaan, soal nyata dan khayal berlainan sekali antara dahulu dengan sekarang. Jikalau kita hendak memahami dan menilai Hikayat Hang Tuah dengan sewajarnya, mestilah kita fahami konsep berikut, dengan latar belakang zamannya:
Konsep kesetiaan dan
pandangan rakyat terhadap raja yang memerintah
Konsep khayalan yang
berasaskan masyarakat zaman Hang Tuah dan bukan konsep khayalan dalam abad dua
puluh.
Setiap hikayat lama
menggambarkan kebahagiaan untuk heronya pada penghujung cerita. Keistimewaan
hikayat Hang Tuah ialah Hang Tuah, Raja Melaka dan Bendahara Paduka Raja
dikekalkan dan tidak ditamatkan riwayat mereka. Berbalik kepada gambaran
kejayaan dan kesanggupan bangsa Melayu, kita dapati bahawa dalam simbolisnya
hero-hero kejayaan zaman Melaka dan kebesaran Melayu ini tidak akan lenyap dari
sejarah. Mematikan mereka adalah mematikan sejarah kejayaan dan kegemilangan
bangsa Melayu pada suatu masa dahulu. Mereka merupakan lambang perjuangan
Melayu dan mungkin manusia sebagai Hang Tuah sudah mati, namun bangsa Melayu
yang dilambangkan dalam sifat Hang Tuah akan terus hidup.
Pemikiran Pengarang
Hikayat Hang Tuah
Pengarang Hikayat Hang
Tuah mempunyai idealisme untuk mengangkat martabat bangsa Melayu setinggi
mungkin. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang banyak menceritakan kebudayaan
dan sosial masyarakat Melayu yang membawa pengertian yang luas merangkumi segala
hal berkaitan dengan masyarakat termasuklah sistem sosial, struktur sosial,
bentuk kepercayaan, perhubungan antara anggota masyarakat dan strategi fikasi
sosial, kepercayaan dan agama. Watak-watak yang diceritakan dalam Hikayat Hang
Tuah seperti watak Hang Tuah, Hang Jebat, Tun Teja menunjukkan keasliaannya dan
menggambarkan watak-watak bangsa Melayu yang mewakili zamannya. Dalam teks ini,
watak Hang Tuah membawa lambang kesempurnaan bangsa Melayu yang dapat dijadikan
sebagai contoh oleh generasi yang terkemudian. Hal ini demikian kerana, setiap
perlakuan serta perbuatan Hang Tuah melambangkan keperibadian bangsa Melayu itu
sendiri.
Menurut Hasan Ahmad
(1997), penonjolan jati diri Melayu menerusi watak Hang Tuah bersesuaian dengan
kehendak atau ciri-ciri karya tersebut yang dianggap oleh kebanyakan sarjana
sebagai salah sebuah karya agung bagi bangsa Melayu. Hal ini ternyata sekali
jika kita merujuk mengenai persoalan pengorbanan untuk raja, agama serta bangsa
seperti yang telah ditunjukkan melalui watak Hang Tuah dalam hikayat ini. Dalam
hikayat ini dipaparkan bagaimana Melaka dan Majapahit yang merupakan dua bangsa
yang mewakili bangsa Melayu dan Jawa bersaing sesama sendiri demi mempamerkan
kejaguhan dan keagungan bangsa masing-masing. Dalam Hikayat Hang Tuah juga
turut digambarkan bahawa masyarakat Melayu yang diwakili Hang Tuah sering
disaingi serta diancam dengan penampilan watak negatif Jawa. Pahlawan-pahlawan
Jawa sering mencuba untuk menggugat kedudukan kerajaan Melayu Melaka dan
mencabar kepahlawan Hang Tuah. Ketika Hang Tuah berada di Majapahit, dapat
dikesan penegasan dan penonjolan istilah Melayu atau bangsa Melayu, misalnya:
“ Maka kata Patih
Gajah Mada, bukan engkau sekalian aku hendak menyuruh mengalahkan negeri.
Engkau hendak kusuruhkan mencuba hulubalang Melayu yang datang itu…”
( Hikayat Hang Tuah,
hlm. 115 )
Sehubungan itu,
penampilan Hang Tuah bukan sekadar untuk menyedapkan penceritaan tetapi
pengarang berhasrat untuk menjadikan watak tersebut sebagai lambang keagungan
bangsa Melayu. Hal ini dapat dilihat pengulangan istilah Melayu dalam Hikayat
Hang Tuah seperti berikut:
“Maka Tun Tuah
melompat menyalahkan tikam penjurit itu, seraya katanya, ‘Akulah hulubalang
Raja Melaka, syahdan akulah yang bernama Laksamana, hulubalang pada Tanah
Melayu;…”
( Hikayat Hang Tuah,
hlm. 155 )
Dalam hal ini, jelas watak Hang Tuah mewakili bangsa serta negara atau kerajaannya, iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan bangsa Melayu.
2. Sulalatus
Salatin
Analisis Sulalatus
Salatin
Aspek budaya,
perpaduan dan mobiliti jelas dapat dilihat dalam karya agung Sulalatus Salatin
ini. Dalam karya ini, banyak aspek kebudayaan dapat dilihat, iaitu budaya dalam
mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerabat diraja. Seperti
yang kita sedia maklum, karya ini sarat dengan kisah pembesar yang berkuasa dan
telah menetapkan pelbagai peraturan yang perlu dipatuhi oleh rakyat jelata. Sebagai
contoh, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, raja telah menyediakan peraturan,
iaitu larangan untuk mengamalkan gaya hidup masyarakat pembesar dalam kalangan
rakyat. Pada suatu ketika dahulu, warna kuning merupakan warna diraja daripada
aspek pakaian, peralatan dan perhiasan. Oleh hal yang demikian, rakyat
biasa tidak dibenarkan untuk menggunakan warna kuning dalam kehidupan seharian
mereka. Selain itu, rakyat juga tidak dibenarkan memiliki keris sebagai
senjata. Dengan berkuatkuasanya undang-undang ini, maka ia diaplikasikan dalam
kehidupan seharian bagi menghormati taraf raja sebagai pembesar dan pemimpin.
Selain itu, aspek
perpaduan juga adalah satu elemen penting dalam penulisan karya Sulalatus
Salatin ini. Hal ini demikian kerana, masyarakat terdahulu sangat mementingkan
perpaduan dalam kalangan mereka. Mereka percaya bahawa dengan wujudnya
perpaduan, mereka akan hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni. Karya
ini banyak menceritakan perpaduan antara penduduk tempatan dan penduduk luar
sebagai contoh hubungan antara negeri Melaka dengan Sulawesi yang terjalin
akibat daripada hubungan diplomatik. Selain daripada itu, dapat dilihat
juga berlakunya hubungan antara Melaka dengan Siam dan kedua-dua hubungan
diplomatik ini berupaya menaikkan imej kerajaan Melayu Melaka. Secara tidak
langsung, dengan wujudnya hubungan dan perpaduan Melaka dengan kedua-dua negeri
tersebut, empayar Melaka dapat diluaskan lagi.
Berdasarkan karya ini
juga, kita dapat melihat bahawa terdapatnya aspek mobiliti yang berlaku melalui
perkahwinan. Sebagai contoh, puteri Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir
iaitu Tun Fatimah yang telah berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah dan seterusnya
diangkat menjadi Raja Perempuan Besar Melaka. Oleh hal yang demikian, dapat
disimpulkan bahawa dengan adanya perkahwinan sebegini, taraf atau kedudukan
seseorang telah diangkat kepada keududukan yang lebih tinggi. Selain itu,
mobiliti ini juga dapat dilihat melalui pembukaan negeri yang telah memberikan
perubahan yang sangat mendadak. Sebagai contoh, Raja Iskandar Syah yang
telah membuka Melaka berdasarkan peristiwa pelanduk putih telah mendapatkan
kerjasama daripada semua rakyat jelata untuk membuka negeri di tempat tersebut.
Melalui kerjasama yang dapat dilihat dalam kalangan rakyat ketika itu, dapat
dibuktikan bahawa telah terbinanya pembangunan modal insan kesan daripada
mobiliti tersebut.
Kekuatan Pengarangan
dalam Sulalatus Salatin
Terdapat beberapa
kekuatan pengarangan yang dapat dilihat sewaktu mengkaji Hikayat Sejarah Melayu
ini. Antaranya ialah seperti berikut:
Penggunaan banyak
perbandingan melampau (Hiperbola)
Berdasarkan Hikayat
Sejarah Melayu, pengarang menggunakan unsur hiperbola yang dilihat begitu
menarik perhatian pembaca. Unsur ini adakalanya dilihat sebagai sesuatu yang
tidak logik tetapi unsur yang menarik itu dapat melihat bagaimana pengarang
berjaya mengaplikasikan unsur-unsur persekitaran dalam karya penulisan mereka.
Keadaan ini dapat dilihat seperti dalam contoh yang berikut:
“Daripada kebanyakan
ra’yat berjalan itu segala hutan belantara pun habis menjadi padang, bumi pun
bergetar seperti gempa, gunung-gunung pun bergerak, runtuh kemuncaknya. Maka,
segala bukit yang tinggi-tinggi itu pun habis menjadi rata, segala sungai yang besar-besar
pun menjadi kering, jadi darat.”
(Sulalatus Salatin,
1997: 15)
Pengulasan yang
mendalam tentang sesuatu perkara
Sesuatu yang jarang
dapat dilihat pada penulis zaman sekarang ialah dapat mengupas sesuatu perkara
secara mendalam terutama sekali mengenai salasilah keturunan sesebuah keluarga
tersebut. Keadaan ini dapat dilihat seperti dalam contoh yang berikut:
“....umur baginda di
atas kerajaan tiga ratus lima puluh lima tahun lamanya Raja Iskandar. Maka Raja
Arasythun Syah pun berpindahlah dari negeri yang fana ke negeri yang baqa.
Maka, anakanda Raja Afdhuslah naik raja dalam negeri Hindi. ‘Umur baginda atas
kerajaan seratus dua puluh tahun. Setelah sudah baginda hilang maka Raja
Askainat namaya naik raja; umur baginda di atas kerajaan tiga tahun. Setelah
itu baginda..........”
(Sulalatus
Salatin, 1997 :8)
Mempamerkan unsur
moral kepada pembaca
Melalui Hikayat
Sejarah Melayu ini, terdapat pelbagai unsur nilai dan pengajaran yang dapat
diperoleh. Nilai-nilai murni secara tidak langsung akan dapat memberi kesan
kepada pembaca. Mana tidaknya, pembaca yang mengkaji dan menghayati hikayat ini
secara tidak langsung akan membandingkan watak-watak yang digarap pengarang
dengan diri mereka sendiri. Secara tidak langsung, sedikit sebanyak nilai-nilai
positif dan pengajaran dapat diserap ke dalam diri pembaca. Keadaan ini dapat
dilihat seperti dalam contoh di bawah:
“Hai anakku, jangan
berbanyak tama’ kamu akan segala arta orang, dan jangan kamu ingin akan isteri
anak hamba kamu-kamu kedua ini, muafakat dua bersaudara dan jangan kamu
bersalahan dua bersaudara.”
(Sulalatus Salatin, 1997: 48)
Menekankan aspek agama
Dalam aspek agama
pula, kita dapat melihat bagaimana pengarang cuba menerapkan aspek agama ke
dalam diri pembaca. Keadaan ini dapat dilihat dalam watak seorang fakir yang cuba
menjejak seseorang yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw dalam mimpinya.
Fakir ini cuba mengikut petunjuk yang disampaikan dalam mimpinya untuk
mengislamkan pemimpin dan penduduk berdasarkan mimpinya tersebut. Keadaan ini
dapat dilihat seperti pada situasi berikut:
“Setelah esok hari
maka fakir itu pun naiklah ke darat membawa Qur’an. Maka disuruhnya baca pada
orang isi negeri Fansuri, seorang pun tiada dapat membaca dia. Maka kata fakir
itu dalam hatinya, “Bukan negeri ini yang seperti sabda nabi kita, Muhammad Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam.”
(Sulalatus
Salatin, 1997:5)
Rujukan:
4. Buku: Dr. Seri
Lanang Jaya bin Hj. Rohani et al (2013). Modul KRB3063: Penghayatan
Karya Agung Melayu. Tanjong Malim. Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
SALASILAH DAN KEBUDAYAAN MASYARAKAT BUGIS DALAM I LA GALIGO
BAB
1
PENDAHULUAN
1.0 Latar Belakang Kajian
Kajian ini mengandungi empat bab yang akan membincangkan
beberapa aspek kajian yang ditentukan. Bab pertama merupakan bab pendahuluan
yang memuatkan beberapa aspek seperti latar belakang kajian, tujuan kajian, bidang
kajian, bahan kajian, metodologi kajian dan konsep-konsep penting yang
berkaitan dengan kajian. Bab dua pula berkaitan dengan latar belakang bahan
kajian iaitu karya agung I La Galigo. Bab dua ini akan mengupas tentang sinopsis
berkaitan dengan karya tersebut.
Bab tiga
pula akan membincangkan tentang dapatan kajian yang merangkumi salasilah Bugis
dan kebudayaan orang Bugis. Dalam aspek salasilah Bugis tersebut juga
dihuraikan tentang pertalian atau salasilah yang terdapat dalam karya agung
tersebut. Pada aspek kebudayaan pula dibahagikan kepada dua aspek seperti
kepercayaan, permainan dan adat perkahwinan orang Bugis, Pada bab empat pula
hanya memuatkan rumusan untuk keseluruhan kajian yang dilakukan.
1.1 Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan bagi mengupas dua objektif utama
iaitu:
1.
Menghuraikan
salasilah Bugis berdasarkan karya agung I La Galigo dan sumber lain.
2.
Mengupas
kebudayaan masyarakat Bugis berdasarkan karya agung I La Galigo dan sumber
lain.
1.2
Bidang Kajian
Dalam kajian ini, pengkhususan bidang kajian yang dikaji
ialah berkaitan dengan masyarakat orang Bugis. terdapat hanya dua bidang kajian
yang akan dikaji. Bidang tersebut mencakupi dua aspek yang lain iaitu berkaitan
dengan salasilah orang Bugis dan adat perkahwinan orang Bugis yang terdapat
dalam karya agung I La Galigo dan juga berdasarkan sumber yang lain. Dalam
bidang kajian ini hanya akan mengupas tentang salasilah masyarakat orang Bugis
dengan mengupas asal usul masyarakat orang Bugis berdasarkan sumber karya agung
yang dikaji dan juga melalui sumber sokongan yang lain. Kajian terhadap adat
prkahwinan pula akn difokuskan kepada beberapa perkara seperti adat resam
perkahwinan, pakaian pengantin, juadah perkahwinan, amalan dan kepercayaan dan
pantang larang perkahwinan masyarakat Bugis.
1.3 Bahan Kajian
Bahan kajian yang digunakan untuk menjalankan kajian ini
ialah sebuah karya agung Melayu iaitu I La Galigo iaitu Cerita Bugis Kuno hasil
karya R.A Kern dan diterjemahkan oleh La Side dan Sagimun M.D. Kajian ini
melibatkan penelitian dari bab satu hingga bab tiga puluh sembilan karya agung
tersebut. Data kajian akan dipetik daripada karya agung tersebut dan disokong
dengan sumber yang lain untuk tujuan kupasan atau huraian. Petikan data pula
hanya melibatkan data yang berkaitan dengan tujuan atau objektif kajian yang
dijalankan. Selain itu, terdapat bahan-bahan rujukan lain yang mendai bahan
kajian seperti buku dan video yang berkaitan dengan objektif kajian yang ingin
dicapai.
1.4 Kaedah Kajian
Kajian ini dijalankan dengan menggunakan dua kaedah yang
berbeza iaitu kaedah kepustakaan dan kaedah analisis dokumen. Kaedah
kepustakaan digunakan untuk mencari bahan-bahan sokongan termasuk karya agung
yang digunakan sebagai bahan kajian. Tambahan lagi, kaedah kepustakaan
digunakan untuk menganalisis bahan lain yang berkaitan dengan aspek kajian yang
dikaji. Kaedah analisis dokumen pula digunakan untuk mencari data yang
berkaitan dengan tajuk atau objektif kajian yang ingin dicapai. Analisis
dokumen ini dilakukan terhadap bahan kajian yang digunakan iaitu karya agung I
La Galigo. Analisi dokumen ini digunakan untuk mencari data yang berkaitan
dengan aspek atau objektif kajian yang ingin dicapai. Setiap data yang
diperolehi akan dikeluarkan dan menjadi dapatan kajian.
1.5 Batasan Kajian
Kajian yang dilakukan ini hanya berfokus kepada sebuah
karya agung yang dipilih iaitu I La Galigo karya R.A Kern (terjemahan L.A Side
& Sagimun M.D). Namun, setiap data yang diperoleh daripada karya ini akan
disokong dengan hujah atau pendapat daripada sumber lain bertujuan untuk
tambahan huraian atau ulasan kepada data yang diperoleh. Kajian ini juga
melibatkan keseluruhan bab yang terdapat dalam karya agung tersebut iaitu dari
bab satu hingga bab tiga puluh sembilan. Kajian ini juga hanya melibatkan
penelitian terhadap aspek salasilah dan kebudayaan yang berkaitan dengan
masayarakat Bugis.
1.6
Kepentingan Kajian
Kajian ini banyak mendatangkan manfaat kepada pelbagai
pihak yang membacanya. Tujuan utama kajian ini dilakukan ialah untuk
mendapatkan kupasan atau dapatan kajian yang ingin dicapai melalui dua objektif
kajian yang telah ditetapkan. Selain itu, secara umumnya kajian ini dapat
memberikan manfaat kepada diri pengkaji sendiri kerana pengkaji merupakan seorang
yang berasa dari kaum atau etnik yang lain. Jadi, kajian ini dijadikan sebagai
satu bahan rujukan untuk pengkaji lebih memahami tentang salasilah dan kebudayaan
yang berkaitan dengan masyarakat Bugis.
Selain
itu, kajian ini juga penting kepada orang lain untuk lebih memahami tentang
masyarakat orang lain selain daripada kebudayaan masyarakat sendiri. Pembaca
kajian ini juga akan lebih mendalami tentang setiap aspek yang akan dikupas
melalui kajian ini. Tambahan pula, masyarakat Bugis sendiri mendapat manfaat
daripada kajian ini kerana mungkin terdapat aspek kajian yang tidak pernah
dibaca atau diketahui oleh masyarakat tersebut.
BAB
2
LATAR
BELAKANG BAHAN KAJIAN
2.0 Latar Belakang Karya
Karya sastera I La Galigo ini bukan hanya dinikmati
sebagai bentuk dialektik antara teks dengan pembacanya. Karya ini juga
berfungsi untuk menjadi sebahagian daripada penyampaian keadaan sesebuah
masyarakat pada masa lampau dengan perubahan dari pertemuan kebudayaan. Hal
inilah yang dicerminkan oleh karya ini yang juga merupakan sebuah karya kuno Bugis
yang berbentuk epik yang ditulis pada abad ke-13. Pada masa ini juga karya ini
dianggap sebagai kitab sakral untuk orang Bugis kerana karya ini merupakan
karya sastera mitos (Nurhayati Rahman et
al, 1999:183). Bahkan sampai sekarang terdapat masyarakat Bugis yang masih
percaya kepada karya ini. Contohnya, masyarakat To Lotang di Amparita, Kabupaten
Sindereng Rappang masih merupakan penganut sisa-sisa kepercayaan lama orang Bugis
seperti yang tergambar dalam karya ini (Nurhayati Rahman et al, 1999:183-184). Namun, kini karya ini dijadikan sebagai salah
satu daripada dua puluh buah karya agung Melayu dan dijadikan rujukan dan bahan
bacaan.
2.1 Sinopsis I La Galigo
Epik ini dimulakan dengan penciptaan dunia yang pada
ketika itu dunia ini dianggap kosong (mrujuk kepada Sulawesi Selatan). Raja Di
Langit, La Patiganna, mengadakan suatu perbicangan keluarga daripada beberapa
kerajaan termasuklah Senrijawa dan Peretiwi dari alam ghaib. Dalam mesyuarat
ini, mereka sepakat untuk melantik anak lelakinya yang tertua, La Toge’ langi’
menjadi Raja Alekawa (Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. La Toge’ langi’
kemudiannya berkahwin dengan sepupunya, We Nyili’timo yang merupakan anak
kepada Guru ri Selleng, Raja alam ghaib. Namun begitu, sebelum Batara Guru
diisytiharkan sebagai raja di bumi, beliau perlu melalui suatu tempoh ujian
selama 40 hari 40 malam. Tidak lama kemudiannya, beliau turun ke bumi,
dikatakan turun di Ussu’, sebuah daerah di Luwu’ dan terletak di Teluk Bone.
Pengganti Batara Guru iaitu La Tiuleng, anak kepada Batara Guru kemudiannya menjadi
pengganti beliau dengan gelaran Batara Lattu’. Beliau kemudiannya memperoleh
dua orang anak kembar iaitu Lawe atau La Ma’dukelleng atau Sawerigading (Putera
Ware’) dan kembarnya, seorang anak perempuan bernama We Tenriyabeng. Kedua-dua
kembar itu tidak membesar bersama. Sawerigading pada mulanya menganggap We
Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya, ingin berkahwin
dengannya. Tetapi disebabkan ini adalah suatu larangan, beliau meninggalkan
Luwu’ dengan menuju ke Cina dan bersumpah tidak akan kembali. Dalam
perjalanannya ke Cina, beliau diserang dan telah berjaya mengalahkan beberapa
pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio iaitu Setia Bonga. Di Cina, beliau
mengahwini Datu Cina iaitu We Cudai. Sawerigading dalam La Galigo digambarkan sebagai
seorang kapten kapal yang gagah dan beliau pernah melawati beberapa tempat
seperto Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan
Jawa Ritengnga (mungkin Jawa Timur dan Tengah), Sunra Rilau’ dan Sunra Riaja
(mungkin Sunda Timur dan Sunda Barat) dan Melaka. Beliau juga dikhabarkan oleh
masyarakat Bugis, melawat syurga dan alam ghaib. Pengikut-pengikutnya terdiri
daripada saudara-mara dari serata rantau dan rombongannya sering didahului oleh
kehadiran tetamu yang luar biasa seperti orang bunian, orang berkulit hitam dan
orang berambut di dada.
Menjadi manusia atau penghuni Dunia Tengah, adalah saat
yang paling menyulitkan dalam riwayat hidup Batara Guru. Hal ini membawa erti
bahawa beliau kehilangan hak-hak istimewanya sebagai seorang dewa, sebagai
putera sulung dan pangeran mahkota dari Sang Penentu Nasib yang menguasai seisi
alam. Namun begitu, ketahanan Batara Guru menjalani nasibnya sebagai manusia
pertama di bumi yang kosong, akhirnya memberi pulangan yang sangat indah sehingga
hasratnya untuk kembali ke langit dilupakan. Hal ini juga bermakna, hasratnya
untuk kembali menjadi dewa dan menikmati keistimewaan yang pernah menjadi
miliknya dilupakan sama sekali. Pada akhir kisah panjang ini, Batara Guru
kembali juga ke langit dan menggantikan kedudukan Patotoqe’ sebagai penguasa
tertinggi. Namun begitu, hal ini terjadi setelah empat generasi keturunan
Batara Guru sudah menjelajah ke seluruh dunia, Bumi dipenuhi dengan manusia dan
keturunan para dewa sudah berpindah naik ke Kayangan dan ada yang kekal di
Bumi. Episod akhir Sureq Galigo memperlihatkan perkahwinan Dunia Atas dan Dunia
Bawah untuk melahirkan penghuni Dunia Tengah, diwarnai dengan penyatuan
keluarga besar anak cucu Batara Guru. Mereka yang tersebar sampai ke Cina, yang
menetap di Langit dan Dunia Bawah Tanah, kesemuanya datang berkumpul.
Sawerigading yang berjaya memenuhi Bumi dengan kelahiran anak cucunya tidak
lagi dikutuk jika kembali ke tanah asalnya. Patotoqe’ kemudiannya menutup pintu
langit dan tidak lagi dibuka untuk manusia. Dengan ini, terputuslah hubungan
antara langit dan dunia. Dengan selesainya misi menyebarkan manusia dan
memenuhi dunia dengan kehidupan, maka dianggap lengkaplah kisah Sureq
Galigo.
(Sumber:
divapress.com-online.com, 2012)
2.2 I La Galigo di Malaysia dan Riau
Kisah Sawerigading cukup terkenal dalam kalangan
keturunan Bugis dan Makassar di Malaysia. Penceritaan tersebut dibawa sendiri
oleh Bugis yang bermigrasi ke Malaysia. Terdapat juga unsur Melayu dan Arab
yang serap sama. Pada abad ke-15, Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mansur
Syah diserang oleh Keraing Semerluki dari Makassar. Semerluki yang disebut ini
berkemungkinan adalah Karaeng Tunilabu Ri Suriwa, putera pertama kerajaan
Tallo’, iaitu nama sebenarnya ialah Sumange’rukka’ dan beliau berniat untuk
menyerang Melaka, Banda dan Manggarai. Perhubungan yang jelas muncul selepas
abad ke-15. Pada tahun 1667, Belanda memaksa pemerintah Goa untuk mengaku kalah
dengan menandatangani Perjanjian Bungaya. Dalam perjuangan tersebut, Goa
dibantu oleh Arung Matoa dari Wajo’.
Pada tahun berikutnya, kubu Tosora dimusnahkan oleh
Belanda dan sekutunya La Tenritta’ arung Palakka dari Bone. Hal ini menyebabkan
ramai Bugis dan Makassar bermigrasi ke tempat lain. Contohnya, serombongan Bugis
tiba di Selangor di bawah pimpinan Daeng Lakkani. Pada tahun 1681, seramai 150
orang Bugis menetap di Kedah. Manakala sekitar abad ke-18, Daeng Matokko’ dari
Paneki, iaitu sebuah daerah di Wajo’ menetap di Johor. Sekitar tahun 1714, dan
juga 1716, adik beliau, iaitu La Ma’dukelleng, juga ke Johor. La Ma’dukelleng
juga digelar sebagai ketua lanun oleh Belanda. Walaubagaimanapun, keturunan Opu
Tenriburong memainkan peranan penting apabila mereka membuat penempatan di
Kuala Selangor dan Klang. Keturunan ini juga turut dimahkotakan sebagai Sultan
selangor dan Sultan Johor. Malahan, kelima-lima anak Opu Tenriburong memainkan
peranan yang penting dalam sejarah di kawasan tersebut. Daeng Merewah menjadi
Yang Di Pertuan Riau. Daeng Parani
berkahwin dengan puteri-puteri Johor, Kedah, dan juga Selangor.
BAB
3
DAPATAN
KAJIAN
3.0 Salasilah Bugis
Setelah dibaca dan dianalisis, salasilah Bugis dalam I la
Galigo tidak dinyatakan dengan nyata tetapi dapat dikenal pasti melalui
penceritaan dalam setiap bab yang akhirnya menjadikan karya agung ini menjadi
sebuah cerita yang lengkap. Salasilah ini dimulakan dengan Raja di Langit iaitu
La Patiganna, mengadakan suatu perbicangan keluarga daripada beberapa kerajaan
termasuklah Senrijawa dan Peretiwi dari alam ghaib. Dalam mesyuarat ini, mereka
sepakat untuk melantik anak lelakinya yang tertua, La Toge’ langi’ menjadi Raja
Alekawa (Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. La Toge’ langi’ kemudiannya
berkahwin dengan sepupunya, We Nyili’timo yang merupakan anak kepada Guru ri
Selleng, Raja alam ghaib.
Bukti 1:
“
Yang Dipertuan di Langit memutuskan akan mencipta Dunis Tengah. Untuk itu
dikirimnya ke bawah salah seorang puteranya, Batar Guru-tempatnya dalam urutan
bersaudara tidak tentu-yang menciptakan Dunia Tengah, bumi kta, yang Tak Ada
menjadikannya sesuatu yang berguna. Di bumi, di Luwu, Batara Guru bersatu
dengan We nyili timo...”
(I La Galigo: 1993)
Pengganti Batara Guru iaitu La Tiuleng, anak kepada
Batara Guru kemudiannya menjadi pengganti beliau dengan gelaran Batara Lattu’.
Beliau kemudiannya memperoleh dua orang anak kembar iaitu Lawe atau La
Ma’dukelleng atau Sawerigading (Putera Ware’) dan kembarnya, seorang anak
perempuan bernama We Tenriyabeng. Kedua-dua kembar itu tidak membesar bersama.
Sawerigading pada mulanya menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan
darah dengannya, ingin berkahwin dengannya. Tetapi disebabkan ini adalah suatu
larangan, beliau meninggalkan Luwu’ dengan menuju ke Cina dan bersumpah tidak
akan kembali. Di Cina, beliau mengahwini Datu Cina iaitu We Cudai. Perkawinan
dengan We Cudai telah menyebabkan pasangan tersebut melahirkan seorang anak
yang bernama La Galigo. Secara kesimpulannya, terdapat tujuh generasi yang
terkandung dalam salasilah Bugis yang terkandung dalam karya ini. Namun, hanya
generasi yang pertama, keempat dan kelima yang dinyatakan dalam karya ini.
Generari pertama ialah generasi Yang Dipertuan di Langit, generasi keempat
ialah generasi Sawerigading dan generasi yang kelima ialah generasi I La
Galigo. Hal ini dinntakan dalam karya yang dikaji seperti di bawah ini:
Bukti 2:
“Perjalanan
hidup keturunan mereka sampai generari yang ketujuh dengan menghitung Yang
Dipertuan di Langit sebagai generasi pertama, diikuti dengan saksama. Dalam
urutan ini Sawerigading yang banyak disebut-sebut kemudian adalah generasi yang
keempat dan I La Galigo dari yang kelima”
(I La Galigo:1993)
Rajah
1: Ringkasan Salasilah La Galigo
3.1 Kebudayaan Masyarakat Bugis dalam I La
Galigo
Dalam kajian ini, kebudayaan masyarakat Bugis yang dikaji
ialah merangkumi adat perkahwinan, makanan, permainan dan seni bina yang
digunakan oleh masyarakat Bugis. Dalam karya ini, hanya adat perkahwinan yang
banyak dinyatakan namun setiap adat tersebut tidak juga dihuraikan secar
mendalam. Jadi, untuk menyokong atau menghuraikan lagi tentang kebudayaan dalam
karya ini, bahan atau rujukan lain digunakan.
3.2 Adat Perkahwinan dalam I La Galigo
Terdapat lima aspek yang dapat dikenal pasti dalam karya
ini yang berkaitan dengan adat perkahwinan masyarakat Bugis. Aspek-aspek
tersebut ialah adat resam perkahwinan, pakaian pengantin, juadah perkahwinan,
amalan dan kepercayaan dan pantang larang dalam adat perkahwinan. Dalam adat
resam perkahwinan, terdapat upacara mandi suci yang dilakukan kepada pengantin.
Namun, dalam karya ini tidak dinyatakan tujuan upacara tersebut dilakukan.
Menurut Christian Pelras (1996:157) mengatakan bahawa upacara tersebut yang
juga dkenali sebagai appasili bunting
dianggap sebagai upacara pembersihan diri secara lahir dan batin dan untuk
dihindarkan daripada bahaya (lihat lampiran 1). Terdapat beberapa petikan yang
menyebut sebagai mandi suci dalam I La Galigo seperti di bawah ini:
Bukti 3:
“Pesta perkahwinan We Tenribalobo dilanjutkan.
Upacara permandian suci pun berlangsung.”
(I La Galigo, 1993:347)
Bukti 4:
“Di
Mario pengantin wanita dimandikan dengan suatu upacara, hal ini diulangi pada
keesokan harinya. Bersamaan dengan itu We Tenridio melakukan mandi suci. We
Tenriawaru diberi berpakaian secara tertentu dan kemudian masuk.”
(I La Galigo, 1993:366)
Bukti 5:
“Pesta
perayaan dan upacara-upacara perkahwinan We Tenribalobo dijalankan terus.
Keesokan harinya dengan upacara air mandi dibawakan kepadanya. Cakkeralangi
tanpa terlihat turun dari kayangan di dalam istana manurungitu, hanya ada
terdengar suara gemersik, ia tiba pada saat upacara bersiram sedang
berlangsung. Terpukau oleh kecantikan We Tenribalobo ia menyatakan kepada
temannya keinginannya untuk kawin dengan We Tenribalobo.”
(I La Galigo, 1993:352-353)
Selain
itu, dalam adat perkahwinan masyarakat Bugis, mereka sangat menitikberatkan
pasangan yang akan berkahwin dengan anak mereka. Hal ini juga dinyatakan dalam
karya ini namun tidak dijelaskan secara langsung tentang adat tersebut
sebaliknya karya ini hanya menyebut tentang perkahwinan seharusnya sama
keturunan atau atau darah yang sama. Hal ini dijelaskan lagi oleh Christian
Pelras (1996:154-157) yang mengatakan bahawa pasangan berkahwin yang paling
baik ialah perkahwinan antara sepupu sebelah ibu dan bapa adalah pasangan yang
baik. Perkahwinan antara orang lain sangat dielakkan walaupun sesama masyarakat
Bugis. Beliau menambahkan lagi bahawa perkahwinan antara sepupu pertama sangat
jarang namun hal ini boleh berlaku jika golongan tersebut berasal dari golongan
bangsawan atau “berdarah putih” seperti yang dinyatakan dalam I La Galigo ini:
Bukti 6:
“La Sengngemponga ingin memperoleh kepastian apakah La
Tenripale, tunangan We Tenribalobo, berdarah putih. Jikalau seandainya hal itu
tidak demikian, maka ia akan membunuh La Tenripale.”
(I La Galigo, 1993:350)
Seterusnya,
dari segi pakaian juga turut dinyatakan dalam karya ini namun seperi aspek lain
juga tidak ada penerangan yang jelas dinyatakan dalam karya ini. Dalam karya
ini dinyatakan bahawa pakaian yang dipakai oleh pengantin merupakan pakaian
yang mahal dan diturunkan dari kayangan. Pakaian pengantin Bugis ini sebenarnya
dikenali sebagai pakaian bodo atau tokko. Baju ini biasanya berlengan
pendek dan berkain nipis. Di samping itu, baju ini juga dilengkapkan dengan
kain sutera dan digunakan semasa upacara persandingan (Christian Pelras,
1996:155). Pernyataan pakaian pengantin ini dapat dilihat melalui pernyataan
yang terdapat dalam karya yang dikaji seperti di bawah ini:
Bukti 7:
“Sawerigading menyuruh menyembelih kerbau-kerbau,
keluarga dan handai-taulan datang berkumpul, dayang-dayang memakaikan We
Tenribalobo pakaian-pakaian yang mahal.”
(I La Galigo, 1993:351)
Tidak lengkap jika setiap
majlis tidak ada juadah atau jamuan yang dihidangkan kepada tetamu yang datang
bertandang. Jadi, dalam majlis
perkahwinan masyarakat Bugis juga ada menyediakan juadah atau hidangan kepada
tetamu yang datang bertandang. Hal ini dapat dibuktikan melalui hasil analisis
karya yang dikaji. Dalam karya yang dikaji juga ada menyatakan bahawa tetamu
yang datang pada majlis perkahwinan disajikan dengan pelbagai jenis hidangan.
Contoh pernyataan tersebut dapat kita lihat pada contoh petikan tersebut:
Bukti 8:
“Sawerigading menitahkan kepada La Pananrang untuk
menyembelih kerbau-kerbau untuk suatu upacara jamuan makan.”
(I La Galigo, 1993:345)
Bukti 9:
“...orang-orang bumi sangat kagum kepada tarian-tarian orang-orang
kayangan itu dan mereka menikmati makanan kayangan”
(I La Galigo, 1993:347)
Namun, pada masa kini masayarakat Bugis akan menyediakan
pelbagai jenis juadah atau makanan tradisional mereka. Makanan tradisonal
masyarakat Bugis seperti nasu buku
iaitu sejenis nasi sup. Selain itu, terdapat juga makanan lain seperti pisang
ombong. Sudah tentu juadah tradisional seperti ini akan dihidangkan pada majlis
keramaian. Banyak lagi makanan masyarakat Bugis yang dihidangkan di majlis
keramaian mereka (lihat lampiran 2).
Seterusnya, dalam adat perkahwinan masyarakat Bugis juga
mempunyai amalan atau kepercayaan tertentu. Salah satu amalan yang dinyatakan
dalam karya yang dikaji ialah amalan mempersembahkan sebuah tarian yang
dikenali sebagai bissu. Namun, dalam
teks yang dikaji, penulis tidak menyatakan tujuan amalan tersebut dilakukan.
Christian Pelras (1996:158) menyatakan bahawa bissu ini dipersembahkan pada majlis persandingan sebagai salah
satu alat komunikasi dengan pengantin lelaki untuk memastikan mereka orang
bangsawan dan diberikan hormat dengan kedua-dua belah tangan. Semasa tarian ini
dilakukan, pengantin lelaki akan memegang hujung tocang atau lowalo yang diperbuat daripada kain
putih dan dipintal bersama bagi menunjukkan bentuk pelangi yang melambangkan
hubungan dengan surga untuk mewakili rumah pengantin. Pernyataan kewujudan bissu ini dapat dilihat melalui
pernyataan di bawah ini:
Bukti 10:
“I la Galigo bersuka hati melihat keindahan-keindahan
istana itu. Sawerigading dan keluarganya berkeliling. Bissu-bissu dari kayangan
melakukan upacara-upacara. We Tenribalobo dibimbing ke bilik bintang tiga.
Malam pun tiba dan pelita-pelita pun dinyalakan. La Pananrang menyuruh
menyembelih kerbau-kerbau untuk pesta jamuan makan.”
(I La Galigo, 1993:345)
Satu lagi aspek yang dikaji dalam
adat perkahwinan masyarakat Bugis iaitu pantang larang yang diamalkan semasa
berlangsungnya adat perkahwinan tersebut. Dalam teks yang dikaji juga ada
menyatakan tentang beberapa pantang larang yang harus dipatuhi. Contohnya,
dalam proses lamaran, kedua-dua pengantin akan bertanyakan tentang asal usul
dahulu sebelum berkahwin. Hal ini berlaku kerana masyarakat Bugis lebih
mementingkan perkahwinan perkawinan yang mempunyai pertalian darah sendiri
seperti sepupu. Perkahwinan dengan pihak lain walaupun sesama kaum juga
dielakkan (Christian Pelras, 1996:154). Pantang larang ini dapat dilihat
melalui bukti di bawah ini:
Bukti 11:
“I
We Mamung mengingatkan bahwa apabila ada seorang calon yang datang dari
seberang lautan, maka harus ditanyakan tentang asal-usulnya.”
(I La Galigo, 1993:223)
Melalui
analisis adat perkahwinan masyarakat Bugis ini pengkaji dapat menyimpulkan
beberapa nilai yang berkaitan dengan masyarakat Bugis. Nilai pertama ialah
nilai ketelitian dalam kehidupan mereka. Nilai ini dapat dilihat melalui ketelitan
kedua-dua pengantin untuk mengetahui asal-usul pasangan mereka sebelum
berkahwinan. Hal ini bertujuan untuk menjamin masa depan perkahwinan yang
diinginkan oleh mereka. Kita dapat lihat bahawa masyarakat ini sangat memilih
dalam mencari pasangan hidup sehinggakan tidak menerima orang lain selain yang
mempunyai pertalian darah dengan mereka.
Seterusnya,
masyarakat ini juga mempunyai nilai hormat-menghormati antara satu sama lain.
Nilai ini tercermin daripada adat sebelum, semasa atau selepas perkahwinan.
Jika sebelum perkahwinan, mereka akan datang melamar dan jika gadis tersebut
belum berpunya mereka akan meneruskan kepada tahap yang seterusnya dan
sebaliknya. Jadi, di sini kita dapat lihat bahawa nilai hormat terpancar dalam
masyarakat ini baik ibu bapa gadis tersebut yang menghormati keputusan anak
mereka dan ibu bapa pihak lelaki yang menerima baik terhadap lamaran yang tidak
berjaya.
3.3
Seni bina dalam Ila Galigo
Penelitian terhadap teks kajian menunjukkan bahawa tidak
ada seni bina khas yang diterangkan dalam karya yang dikaji. Hanya beberapa
pernyataan yang menyebut tentang istana dalam karya yang dikaji. Seni bina
istana juga tidak diterangkan secara mendalam dalam karya yang dikaji. Selain
itu, seni bina rumah masyarakat Bugis tidak ada dinyatakan di dalam teks yang
dikaji. Terdapat beberapa pernyataan dalam karya yang dikaji yang ada menyebut
tentang seni bina istana seperti bukti di bawah ini:
Bukti 12:
“Sawerigading
dan Simpuanglette sambil berpegangan tangan berjalan pulang ke balairung”
(I La Galigo: 1993:226)
Bukti 13:
“Setelah itu kembalilah mereka ke I La Welenreng; akan
ketiga pejabat wanita istana itu mereka pun kembali ke istana”
(I La Galigo:1993:226)
Jika kita lihat kedua-dua pernyataan di atas hanya
menyebut tentang istana dan balairung sahaja. Tidak dinyatakan dengan jelas
tentang reka bentuk yang terdapat di dalam istana. Selain itu, seni bina rumah
masayarakat Bugis juga tidak dinyatakan langsung dalam karya yang dikaji. Jika
kita lihat, masyarakat Bugis mempunyai seni bina rumah yang unik dan tersendiri
yang melambangkan maksud atau falsafah tertentu. Myrtha Soeroto (2003:32)
menyatakan bahawa rumah tradisonal masyarakat Bugis mempunyai prinsip tertentu iaitu
prinsip rumah panggung yang mempunyai tiga bahgian utama rumah iaitu rakkeang (loteng), ale bola (badan rumah) dan awa
bola (kolong rumah). Reka bentuk dan gambar rumah lihat di lampiran 3.
Masyarakat Bugis juga mempunyai adat seperti kaum lain
yang memerlukan sesuatu amalan atau upacara sebelum mendirikan rumah atau
membuka sesuatu tempat baharu. Upacara-upacara tersebut dibahagikan kepada
empat upacara iaitu upacara makkrawa bola
(sebelum mendirikan rumah), mappatettang
bola (semasa mendirikan rumah), menrebola
baru (saat rumah siap dipakai) dan maccera
bola (saat rumah berusia satu tahun). Pernyataan perasmian tempat baharu
ini terdapat dalam teks yang dikaji bertujuan untuk menghargai setiap apa yang
diturunkan dari langit. Pernyataan tersebut seperti bukti di bawah ini:
Bukti 14:
“…
Saweriganding mengatakan kepada puwa’ matowa supaya disapukan darah ayam jantan
tertentu pada tangga agung istana dsb; …”
(I La Galigo, 1993:254)
Secara
keseluruhannya pengkaji dapat menyimpulkan bahawa dalam seni bina masyarakat
orang Bugis juga terselit nilai yang diterapkan dalam diri mereka. Contohnya,
dalam binaan rumah, masyarakat ini sangat mementingkan nilai kesabaran dalam
diri mereka. Contohnya, dalam pembinaan rumah sahaja mereka telah menetapkan
bahagian-bahagian rumah yang tertentu mengikut prinsip yang telah mereka
tetapkan. Melalui contoh ini kita dapat melihat bahawa masyarakat ini tidak
terburu-buru dalam membina rumah kerana mereka sedar bahawa rumah ini merupakan
tempat kediaman yang memerlukan kesabaran dalam proses pembinaan.
Selain
itu, melalui seni bina ini juga pengkaji dapat menyimpulkan bahawa masyarakat
ini mempunyai nilai keselamatan yang tinggi dalam diri mereka. Dalam aspek ini
mereka sangat percaya bahawa sebelum mendirikan rumah, mereka harus melakukan
beberapa upacara yang merangkumi sebelum, semasa dan selepas pembinaan rumah.
Jadi, demi memastikan tidak ada sebarang bahaya atau perkara yang buruk menimpa
mereka, mereka tetap melakukan upacara tersebut demi keselamatan mereka.
3.4
Budaya Sabung Ayam dalam I La Galigo
Hasil analisis teks juga mendapati bahawa permainan atau
adat menyabung ayam merupakan adat yang menebal diceritakan dalam karya yang
dikaji. Dalam karya ini, tokoh utama iaitu Sawerigading merupakan seorang
penggemar sabung ayam. Dari bukti ini kita dapat tahu bahawa budaya sabung ayam
ini telah melekat lama dalam kebudayaan masyarakat Bugis. Sabung ayam ini juga
dikenali sebagai massaung manuk. Jika
dahulu permainan ini dilakukan oleh golongan raja-raja dan bangsa Bugis untuk
memeriahkan pada waktu pagi atau petang untuk memeriahkan pesta-pesta adat
seperti pelantikan raja, perkahwinan dan pesta keramaian yang lain (Fawwaz Mughny,
2011). Terdapat beberapa pernyataan yang dapat dianalisis yang menunjukkan
permainan atau adat sabung ayam ini telah wujud dalam karya yang dikaji:
Bukti 15:
“
… I La Galigo dan tekman-temannya
bersuka ria di gelanggang sabung ayam”.
( I La Galigo, 1993:366)
Bukti 16:
“…ia
mendengar bahwa di Sunrariaja sedang diadakan sabung ayam secara
besar-besaran,…”
(I La Galigo, 1993:384)
Bukti 17:
“…
kedua orang lai-lai bersaudara itu ( Aji Laide dan La Mappanganro) pergi ke gelanggang adu ayam untuk bersenang-senang
dengan mengadu ayam jantan”.
( I La Galigo, 1993:884)
Walaupun
sebahagian masyarakat Bugis menganggap bahawa permainan ini bertentangan dengan
nilai kemanusiaan dan keagamaan, namun bagi segelintir masyarakat Bugis
mengatakan bahawa permainan ini mempunyai nilai-nilai yang berguna dalam
kehidupan mereka. Menurut mereka, permainan ini mampu memupuk nilai-nilai seperti kerja keras,
kreativiti dan nilai kesukanan. Nilai kerja keras ini dapat dilihat melalui
cara membela ayam taruhan dengan baik berbanding dengan ayam yang bukan dijadikan
sebagai ayam untuk disabung. Selain itu, nilai ini juga dapat dilihat melalui
si tukang sabung untuk melatih ayam sabungannya untuk menjadi hebat apabila
disabung kelak. Nilai kreativiti pula dapat digambarkan melalui cara-cara si
tukang sabung untuk memilih yang baik untuk disabung dan cara mereka
menggunakan taji untuk memastikan ayam sabungan mereka menang.
Terakhirnya, nilai kesukanan dapat dilihat apabila semua si tukang sabung
mengamalkan permainan yang jujur dan menerima kekalahan ayam yang disabung
(Departmen Pendidikan & Kebudayaan,1980).
3.5
Pakaian dalam I La Galigo
Masayarakat Bugs juga mempunyai kebudayaan tersendiri
dari segi pakaian tradisional. Dalam teks yang dikaji ada menerangkan tentang
pakaian tradisional yang dipakai oleh masyarakat Bugis dalam I La Galigo.
Namun, dalam teks yang dikaji banyak menerangkan tentang pakaian yang digunakan
dalam upacara perkahwinan. Pakaian yang digunakan oleh masyarakat Bugis dalam
karya yang dikaji digambarkan sebagai pakaian yang mahal-mahal. Contoh
pernyataan yang dijumpai di dalam teks yang menunjukkan bahawa masyarakat Bugis
ini memakai pakaian yang mahal-mahal seperti bukti pernyataan di bawah ini:
Bukti 18:
“Sawerigading menyuruh menyembelih kerbau-kerbau,
keluarga dan handai-taulan datang berkumpul, dayang-dayang memakaikan We
Tenribalobo pakaian-pakaian yang mahal.”
(I La Galigo, 1993:351)
Namun,
jika kita lihat pada masa kini, pakaian tradisonanal masyarakat Bugis ialah
baju bodo yang dipakai oleh setiap
lapisan masyarakat Bugis. Baju ini berbentuk segi empat dan tidak berlengan dan
kain yang digunakan untuk membuat baju ini ialah kain yang jarang. Namun, baju bodo ini mempunyai etika tersendiri
untuk diguna atau dipakai oleh masyarakat orang Bugis. Etika yang dimaksudkan
di sini ialah setiap baju yang diwakili oleh pelbagai warna akan dipakai oleh
orang Bugis mengikut umur. Terdapat enam warna yang digunakan untuk
menghasilkan baju bodo yang akan
dipakai mengikut lingkungan umur (lihat lampiran 4 untuk gambar baju).
Pemakaian baju bodo atau baju tokko ini dibahagikan mengikut usia dan
juga darjat. Berikut merupakan pengagihan warna baju bodo atau baju tokko
dalam masyarakat Bugis menurut Lembaga Seni Budaya Teluk Bone (2008):
Warna
|
Makna
|
Jingga
|
Dipakai oleh
kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun.
|
Jingga dan merah
|
Dipakai oleh gadis berumur 10-14
tahun.
|
Merah
|
Dipakai oleh
wanita berumur 17-25 tahun.
|
Putih
|
Dipakai oleh para inang dan dukun.
|
Hijau
|
Khas untuk
wanita berketurunan bangsawan.
|
Ungu
|
Dipakai oleh wanita janda.
|
Jadual 1: Warna Baju
Bodo Dan Pemakainya.
Jadi,
melalui pembahagian warna baju tradisional tersebut ita dapat lihat bahawa
masyarakat Bugis juga sangat mementingkan nilai-nilai dalam etika berpakaian.
Pembahagian warna baju bodo ini
menunjukkan bahawa terterap nilai mementingkan nilai kedarjatan dalam
masyarakat Bugis. Melalui pemakaian warna baju tersebut kita dapat mengenal
pasti bahawa si pemakai tersebut berada dalam golongan tertentu. Selain itu,
nilai yang dapat dilihat melalui pemakaian masyarakat Bugis ini juga dapat
memperlihatkan nilai kehormatan. Contohnya, jika kita melihat sesorang yang
memakai baju bodo yang berwarna ungu, sudah pasti kita akan tahu bahawa orang
tersebut ialah wanita yang janda dan kita boleh mengawal pertuturan atau pergaulan
dengan orang tersebut dan begitu juga sebaliknya dengan si pemakai yang lain.
BAB
4
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, kajian ini banyak mendedahkan
tentang kehidupan, adat dan kebudayaan masyarakat Bugis bermula dari adat
perkahwinan sehinggalah ke adat permainan yang diamalkan oleh masyarakat Bugis.
Jika dilihat melalui analisis data, dapat disimpulkan bahawa karya agung I La
Galigo banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat Bugis pada masa kini walupun tidak
sepenuhnya dek kerana perubahan pemodenan dan ajaran agama dan pembangunan
sosial yang terjadi dalam masyarakat ini.
Namun,
satu keindahan atau keseronokan apabila dapat mendalami adat, budaya dan nilai
yang tertanam serta diamalkan oleh masyarakat ini pada masa dahulu dan kini.
Kita dapat lebih memahami dan juga menghormati budaya mereka walaupun berlainan
dari segi adat atau kepercayaan. Malah kajian ini juga dapat membantu pemuda
atau remaja pada masa akan datang untuk lebih memahami kebudayaan masyarakat
ini demi mengelakkan sesetengah budaya, nilai atau adat pupus diteah oleh
kemajuan atau pemodenan zaman. Kesimpulannya, kajian ini sangat menyeronokkan
dan agar dapat mendatangkan manfaat dan dijadikan rujukan kepada pembaca kepada
kajian ini.
”Sagala-sagala tongeng iyapa
nasagala tallepi mannessa’e(Macca-macca tongeng iayapa natentu amaccangenna
engkapa maddupa rigau’na)”
(Maksudnya: Orang itu benar-benar pintar jika ia dapat membuktikan dengan kerja nyata atas kepintaran atau ilmu yang diketahuinya itu.)
Rujukan
Christian Pelras
(1996). The Bugis. United Kingdom:
Blackwell Publisher Incoporation Sdn. Bhd.
Departement
Pendidikan dan Kebudayaan (1980). Permainan
rakyat suku Bugis Makasar di Sulawesi Selatan. Ujung Pandang: Pendidikan
dan Kebudayaan.
Dul Abdul Rahman
(2012). La Galigo diperoleh daripada divapress.com-online.com pada 15 April
2014.
Fawwaz Mughny
(2011). Massaung, tradisi sabung ayam
masyrakat Bugis diperoleh daripada http://portalBugis.wordpress.com. pada
15 April 2014.
Lembaga Seni Budaya
Teluk Bone (2008). Baju bodo/baju tokko.
Mohd Rashid Mohd
Idris (2004). Analisis wacana cerpe dari perspektif struktur maklumat dan
struktur tema. Kuala Lumpur: ACH Communications Sdn. Bhd.
Myrtha Soeroto
(2003). Bugis Makasar. Jakarta: PT
(Persero) Penerbitan dan Percetakan Balai Pustaka.
Nurhayati Rahman
& Sri Sukesi Adiwimarta (1999). Antologi
sastra daerah Nusantara: Cerita rakyat suara rakyat. Indonesia: Yayasan
Obor Indonesia.
R.A. Kern (1999). I La Galigo (terjemahan La Side &
Sagimun M.D). Indonesia: Gadjah Mada University Press.
Seri Lanang Jaya,
Abd. Rahman bin Napiah, Mohd. Rashid Mohd Idris & Naffi Mat (2013).
Penghayatan karya agung. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan
Idris.
Thomas Wiyasa
Bratawijaya (2006). Upacara perkahwinan adat Jawa. Jakarta: Pustaka Sinar
Harapan.
Abstrak
Oleh: Mohd Alif Bin Sapri
Universiti Pendidikan Sultan Idris
alifsapri90@gmail.com
Munshi Abdullah dalam buku-buku Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah turut membuat kritikan yang pedas terhadap orang Melayu pada penghujung abad ke-19. Beliau menegur kelemahan orang Melayu, sikap malas mereka, kurangnya ilmu pengetahuan di kalangan mereka, cara hidup mereka, sehinggalah episod perpecahan di kalangan mereka. Abdullah tidak sahaja mengkritik tetapi memberikan cadangan bagaimana kehidupan orang Melayu dapat diperbaiki. Munsyi Abdullah memberikan pandangan bagaimana mahu mengeluarkan orang Melayu daripada kelemahan mereka. Abdullah turun ke lapangan, belayar ke negeri-negeri Melayu, melawan ombak, mengharungi ancaman lanun dan perang saudara bagi mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu ketika itu. Kisah Pelayaran Abdullah bukan sekadar catatan perjalanan tetapi juga dimuatkan keinsafan dan nasihat tentang nasib orang Melayu. Abdullah menjadi pengkritik bangsa yang berterus-terang dan konstruktif. Malangnya hari ini ada di kalangan orang Melayu sendiri, mereka yang duduk dalam keselesaan dan kemewahan, yang tidak pernah merasa kesusahan dan penderitaan rakyat, mahu menjadi juara bagi pihak rakyat.
Nama sebenar Abdullah Munsyi ialah Abdullah bin Abdul Kadir. Beliau dilahirkan di Kampung Masjid yang juga disebut Kampung Pali oleh orang –orang keling pada tahun 1976 dan meninngal di Jeddah pada tahun 1854. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat adik- beradik seibu sebapa. Ketiga- tiga abangnya telah meninggal sewaktu kecil iaitu semasa berumur setahun, dua tahun dan tiga tahun. Semasa kecil Abdullah sering sakit terutama selepas usianya menjangkau empat bulan. Lantaran kesihatannya yang tidak pernah memuaskan dan ibu bapanya dikatakan tidak serasi membelanya, Abdullah dijual kepada orang lain beberapa kali. Hal demikian menyebabkan kesihatan ibunya terjejas dan menyebabkan dia tidak dapat menyusuinya. Lantaran itu, Abdullah disusui oleh orang lain. Riwayat hidup Abdullah dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu iaitu sewaktu kecil, sehingga Abdullah belajar mengaji di Melaka kira-kira usia 7 tahun. Peringkat kedua sewaktu Abdullah mula bekerja sebagai guru agama, guru bahasa, jurutulis Tuan Raffles dan masih berulang alik ke Melaka. Abdullah Munsyi berasal daripada keturunan Arab dan India serta keluarga yang terpelajar. Bapa Abdullah merupakan seorang yang sangat mementingkan pelajaran. Dia amat bimbang dengan kebolehan Abdullah mengaji dan membaca kerana pada usia 7 tahun Abdullah masih belum dapat menghabiskan satu juz mengaji al- Quran. Abdullah sering memprotes dengan tindakan bapanya itu kerana dia tidak dapat bermain seperti kanak- kanak yang lain namun tidak dipedulikan oleh bapanya. Walaupun Abdullah anak tunggal ibu bapanya, namun dia tidak pernah dimanjakan oleh kedua ibu bapanya. Bapanya tidak pernah memuji perbuatan Abdullah walaupun perkara tersebut memuaskan hatinya.
Abdullah juga merupakan seorang yang pandai dan cepat dalam memahami pelajaran yang diajar oleh gurunya. Beliau juga pandai dalam mengaji al- Quran melebihi kepandaian rakan- rakannya yang lain. Disebabkan kepandaian yang dimiliki tersebut, beliau dijadikan sebagai khalifah di tempat mengaji. Gelaran “Munsyi” yang membawa makna “guru” itu diperoleh sewaktu dia berusia sebelas tahun. Beliau juga mendapat gelaran ‘munsyi’ sewaktu mengajar bahasa Melayu kepada askar- askar Kerajaan Inggeris berbangsa India di Melaka. Selain menjadi guru bahasa, Abdullah Munsyi juga menjadi guru agama, penterjemah, wartawan dan jurutulis kepada pemerintah Inggeris. Pada usia yang muda itu, beliau menerima upah menulis surat dan menyalin naskah al- Quran dan melayakkan beliau menjadi guru dan mengajar pelajaran agama kepada askar- askar Islam di Melaka.
Abdullah mempunyai minat yang mendalam dalam bidang bahasa. Beliau juga mempelajari bahasa Tamil dan bahasa Arab selain daripada mempelajari bahasa Melayu. Abdullah juga mempelajari bahasa Inggeris daripada paderi- paderi Inggeris. Beliau merupakan seorang yang gigih dalam mempelajari seuatu ilmu. Dia telah mendalami al- Quran dengan seorang yang berbangsa Arab dan mendalami bahasa Melayu dengan seorang yang juga berbangsa Arab. Semasa berusia 27 tahun, Abdullah telah mengajarkan bahasa Melayu kepada Tuan Milne yang merupakan seorang paderi Inggeris yang datang ke Melaka. Selain itu, Abdullah juga belajar dengan Tuan Doktor Marrison yang pandai berbahasa Cina. Abdullah telah belajar menggunakan alat cap huruf dengan Tuan Medhurst dan Tuan Thomsen ketika menjadi guru bahasa. Buku yang pertama yang dicap dengan menggunakan alat ini ialah Sepuluh Hukuman yang Diberikan Allah kepada Nabi Musa dan Vocabulary Melayu- Inggeris.
Selain itu, Abdullah juga telah mengikuti pelajaran di maktab yang telah didirikan oleh Tuan Milne yang diberikan nama Anglo Chinese College. Beliau juga telah berusaha untuk mendorong orang lain untuk bersama- sama belajar di maktab tersebut. Namun, mereka tidak menghiraukan ajakan Abdullah, malah mereka menggelarkan Abdullah sebagai “Abdullah Paderi” bagi menyakiti hati Abdullah. Walaupun begitu, beliau tetap dengan pendiriannya untuk terus belajar. Abdullah Munsyi telah mendirikan rumah tangga sewaktu beliau berusia 34 tahun iaitu setelah lebih kurang tujuh tahun dia belajar dan bekerja dengan orang- orang Inggeris. Beliau kemudian telah dikurniakan seorang cahaya mata setelah beberapa tahun mendirikan rumah tangga.
Abdullah meneruskan kerjanya mengajar bahasa Melayu kepada Tuan Thomsen dan orang Inggeris yang lain disamping menterjemahkan Injil Matius ke dalam bahasa Melayu. Tuan Thomsen telah dilantik menjadi pengetua Anglo Chinese College apabila Tuan Milne meninggal dunia. Abdullah pernah diberi kepercayaan untuk memangku tugas Pengetua Anglo- Chinese College setelah pengetua kolej ketika itu pulang ke England untuk menghantar isterinya. Abdullah telah memulakan hidupnya di Singapura setelah pembukaan Singapura. Beliau telah bekerja sebagai jurutulis dan jurubahasa kepada Tuan Raffles. Selain itu, beliau juga bertanggungjawab menulis undang- undang di Singapura atas arahan daripada Tuan Raffles terutama undang- undang tentang judi dan arak. Abdullah juga menjadi jurubahasa kepada saudagar- saudagar dari Inggeris dan Cina. Abdullah tidak membawa isterinya untuk tinggal di Singapura bersama- sama beliau. Isteri beliau tetap menetap di Melaka dan Abdullah akan pulang 6 bulan sekali untuk berjumpa isteri dan anaknya.
Selain itu, Abdullah juga dipertanggungjawabkan untuk mengumpul bahan- bahan sastera Melayu lama seperti kitab- kitab, hikayat- hikayat, dan syair- syair untuk dibawa pulang oleh Tuan Raffles ke England. Sewaktu di Singapura telah berlaku kejadian kebakaran. Pada ketika itu, Abdullah masih menetap di pulau tersebut dan beliau telah merakamkan pengalaman ketika berlakunya bencana kebakaran tersebut dalam karyanya yang berjudul Syair Singapura Terbakar. Abdullah telah mengarang sebuah kitab ringkas yang bertajuk Dewa ul- Kulub yang bererti “Ubat Hati” sebagai pengubat hatinya yang sedih kerana kematian anaknya. Sewaktu bekerja dengan Tuan North iaitu semasa berusia 42 tahun, Abdullah telah pergi ke Pahang, Terengganu dan Kelantan. Berdasarkan catatan pengalaman perjalanan beliau inilah yang telah menghasilkan karya unggulnya yang berjudul Kisah Pelayaran Abdullah.
Walaupun dilahirkan di Malaysia, beliau banyak menghabiskan masa di Singapura. Abdullah Munsyi digelar “Bapa Kesusasteraan Melayu Moden” berdasarkan hasil karya pentingnya. Beliau merupakan seorang yang gemar mengembara dan beliau telah berjaya menghasilkan karya yang hebat seperti Kisah Pelayaran Abdullah dan Hikayat Abdullah hasil daripada pengamatan dan pemerhatiannya semasa pengembaraan. Beliau juga dibesarkan dalam zaman peralihan dan pertembungan kebudayaan Barat dan kebudayaan Melayu.
Abdullah membandingkan kedua- dua cara pemikiran iaitu semangat perubahan, kemajuan dan dinamisme Barat dengan kelembapan pemikiran dan cara hidup orang Melayu yang statik serta tidak mampu membebaskan diri daripada belenggu adat istiadat yang kolot. Pada waktu itu sedang berlaku keruntuhan kuasa politik golongan bangsawan Melayu dan kebangkitan pengaruh asing terutama Inggeris dan hal ehwal pentadbiran negeri- negeri Melayu. Peristiwa pergolakan inilah yang dicatatkan dalam kedua- dua karyanya. Hikayat Abdullah juga telah karya sejarah yang penting tentang sejarah social dan politik di Singapura dan Melaka. Banyak pembaharuan yang telah dibawa oleh Abdullah Munsyi dalam Sastera Melayu. Antaranya ialah menjadi penulis Melayu pertama yang memperkenalkan banyak autobiografi dalam tulisannya.
Beliau juga telah membawa pembaharuan dari segi isi dan bentuk penulisan dengan menggunakan pengalaman dan pemerhatiannya dalam masyarakat dan meninggalkan kisah dongeng dan mitos seperti yang terdapat dalam karya sastera Melayu tradisional lain. Selain keberaniannya mengkritik raja- raja Melayu, golongan pembesar Melayu dan susunan masyarakat Melayu dalam zaman serta adat istiadat serta kebiasaan orang Melayu, ketokohan beliau terserlah sebagai pelopor pembaharuan dalam bidang kesusasteraan Melayu terutamanya dari segi minat dan kesungguhannya mendalami bahasa Melayu. Tujuan beliau melakukan semua perkara berikut adalah untuk menyedarkan bangsa , berilmu, sentiasa mengejar kemajuan moden serta bersifat dinamik. Malah beliau sendiri telah mempelajari pelbagai bahasa dan cabang ilmu seperti bahasa Tamil, Arab, Inggeris, Hindi dan ilmu Matematik. beliau dianggap sasterawan moden berdasarkan karya- karya yang telah dihasilkannya. Hal ini telah diakui oleh Professor Ismail Hussein seperti berikut :
“Abdullah Munshi adalah sasterawan moden Melayu pertama yang menulis untuk alat cetak dan beliau yang pertama menyoal dan mengkritik sikap- sikap feudalismen yang telah mejadi dasar kebudayaan Melayu berabad-abad.”
2.0 Objektif Kajian
Kajian ini cuba meninjau mengenai pengalaman Abdullah Musnsyi dalam hikayat Abdullah dan yang dikarang sendiri olehnya. Secara ringkasnya, objektif kajian ini adalah seperti berikut:
· Mengenal pasti pandangan Abdullah Munsyi terhadap bangsa Melayu dalam hikayat Abdullah.
· Menganalisis kritikan Abdullah Munsyi terhadap bangsa Melayu dalam hikayat Abdullah.
3.0 Persoalan Kajian
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan ini, persoalan kajian yang telah timbul ekoran daripada kajian terhadap buku Hikayat Abdullah ini dapat dilihat seperti berikut:
· Bagaimanakah kehidupan bangsa Melayu semasa Abdullah Munsyi mengembara untuk menulis Hikayat ini.
· Bagaimanakah sikap orang melayu pada masa itu mengikut pandangan Abdullah Munsyi.
4.0 Kepentingan Kajian
Menerusi telahan yang telah dibuat terhadap buku Hikayat Abdullah ini, dapat dilihat bahawa terdapat pelbagai perkara yang dicatat dalam hikayat Abdullah Mushi tentang sikap Orang Melayu yang dilihat sepanjang pengembaraannya, diantaranya, Abdullah Munshi pernah mengkritik orang lelaki melayu kelantan yang bersikap pemalas, hanya duduk di wakaf- wakaf sedangkan wanitanya yang mengangkat barang- barang yang berat, nyata apa yang dinyatakan Mushi Abdullah suatu ketika dahulu berada dalam sikap segelintir orang- orang lelaki melayu masakini, tidak perlu dihidang bukti, nyata, ia dapat dilihat dengan jelas..
Abdullah Mushi juga dikritik kerana rapat dengan penjajah, mungkin inilah yang menyebabkan dia dikecam hebat, beliau juga dikatakan ingin keluar dari agama islam kerana beliau telah bertindak menterjemahkan bible kedalam Bahasa Melayu, namun ramai pemikir hari ini menyifatkan Abdullah Mushi berfikiran 'lain dari yang lain' sewaktu zamannya, beliau juga telah mengkritik keras golongan yang menyatakannya begitu yang turut dicatatkan didalam hikayatnya.
Analisis yang dilakukan ini boleh dikatakan sangat penting oleh kerana disini kita dapat mengetahui bagaimana kehidupan orang melayu pada ketika itu dan bagaimana pula sikap orang melayu pada masa itu mengikut pandangan Abdullah Munsyi.
5.0 Metodologi Kajian
Metodologi kajian menjelaskan bentuk rangka kerja untuk menjalankan sesuatu kajian. Metodologi kajian merupakan bahagian penting yang digunakan untuk memastikan kajian yang dijalan menggunakan kaedah, prosedur atau cara yang betul. Selain itu, metologi kajian ini juga boleh digunakan untuk memastikan objektif kajian dapat dicapai berdasarkan data dan sumber yang sah dan boleh dipercayai (Mohd Najib Abdul Ghaffar, 1999).
Perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam kertas kerja ini ialah terdiri daripada kaedah menjalankan kajian, kaedah pengumpulan data dan penganalisisan data.
6.0 Dapatan Kajian
Menurut Sulaiman Masri (2006), dalam bahagian dapatan kajian, bahagian ini melaporkan keputusan atau dapatan daripada analisis data yang telah dikutip dalam kajiannya. Pada bahagian ini, pengkaji akan memberi tumpuan kepada analisis dapatan kajian, iaitu membincangkan analisis kajian berdasarkan persoalan kajian yang telah dikemukakan dalam bahagian 3.0 diatas. Pengkaji akan memetik beberapa petikan dalam Hikayat Abdullah yang mengkritik bangsa Melayu semasa zaman hayatnya.
6.1 Pandangan dan Kritikan Abdullah Munsyi terhadap Orang Melayu dalam Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah
Hikayat Abdullah merupakan sebuah hikayat yang berkisarkan kisah pengembaraan Abdullah Munsyi. Hikayat Abdullah ini selesai dikarang pada tahun 1845 dan pertama kali diterbitkan pada tahun 1849. Bagi Hikayat Abdullah yang diterbitkan dalam bahasa rumi telah diterbitkan pada tahun 1907 sebagai kegunaan teks di sekolah- sekolah Melayu. Hikayat yang dihasilkan oleh Abdullah Munsyi ini berkisar tentang realisme dan tidak seperti karya- karya klasik sastera Melayu yang yang kebiasaannya mengandungi unsur fantasi dan cerita legenda. Karya ini juga dikelaskan sebagai autobiografi Abdullah dan mengandungi pandangan peribadi tentang masyarakat Singapura dan Melaka pada awal abad ke 19. Selain itu, dalam hikayat ini juga menceritakan sekilas mengenai zaman kanak- kanak Abdullah Munsyi di Melakadan pengalamannya sendiri seperti pembedahan yang dilakukan terhadapnya oleh seorang ahli bedah Inggeris.
Kisah Pelayaran Abdullah merupakan sebuah karya sastera Melayu yang diterbitkan pada tahun 1938 di Singapura. Karya ini juga dianggap sebagai teks sastera Melayu pertama yang diterbitkan secara komersil. Karya ini menceritakan pelayaran dari Singapura ke Kelantan bersama- sama temannya, Grandpre dan Baba Ko An untuk menyerahkan surat dari Sir George Bonham yang merupakan Gabenor Negeri- Negeri Selat kepada Sultan Kelantan. Karya tersebut merangkumi pengalaman beliau mengenai kehidupan orang Melayu yang dilihat ketika singgah di Pahang dan Terengganu serta perkara yang dialami beliau semasa berada di Kelantan. Karya ini juga mengandungi nasihat- nasihat yang diberikan kepada raja- raja Melayu dan juga perbandingan antara sistem pemerintahan Inggeris dan sistem pemerintahan tradisional Melayu.
Berdasarkan kepada karyanya iaitu Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah, beliau banyak mengkritik mengenai sikap orang Melayu pada ketika itu. Abdullah bukanlah membenci orang- orang Melayu pada ketika itu, tetapi sikap yang mereka miliki yang menyebabkan beliau tidak bersetuju dengan pandangan dan perlakuan mereka. Pengalamannya yang bergaul dengan orang Melayu yang suka mengabaikan bahasa Melayu menyedarkan beliau betapa pentingnya mempelajari bahasa Melayu dengan mendalam sebelum mempelajari bahasa orang lain. Hal ini dapat dilihat jelas dalam Kisah Pelayaran Abdullah. Beliau menghargai hikayat- hikayat lama dan sikap ini diperlihatkan dengan usahanya mencari dan membaca hikayat- hikayat tersebut. Gambaran rasa sayang terhadap hikayat tersebut dapat dilihat sewaktu mendapat khabar kapal yang dinaiki Raffles yang membawa kitab dan hikayat lama terbakar. Tergambar betapa kecewanya dia apabila segala khazanah Melayu, kitab dan hikayat lama itu musnah.
Maka apabila aku mendengar khabar yang demikian itu, terbanglah arwahku sebab terkenangkan sekalian kitab- kitab Melayu dan lain- lain daripada beberapa zaman…
Beliau juga berasa kurang senang dengan sikap orang Melayu yang tidak mahu mempelajari ilmu baru seperti yang terkandung dalam Hikayat Abdullah pada halaman 257 dan 258:
Maka jikalau kiranya kukhabarkan sekalian itu (tentang ilmu- ilmu baru seperti kemajuan elektrik) kepada orang- orang Melayu nescaya ditutup telinganya serta menampar mukaku, katanya, “Terlalu besar bohong.”
Pada halaman 120 juga ada dinyatakan:
…bukanlah berguna kepada kamu sekalian ilmu kira- kira itu? Maka jikalau tidak tahu kira- kira kelak, bagaimana engkau hendak berniada jual beli? Dan lagi pula beberapa banyak nasihat yang kuberi, tiada juga mereka itu endahkan.
Walaupun berbagai usaha yang dilakukan oleh Abdullah untuk cuba menyedarkan orang Melayu tentang pentingnya ilmu- ilmu baru dalam kemajuan hidup, namun segala usaha beliau hanya sia- sia malah beliau telah ditempelak serta dipulaukan oleh orang- orang Melayu kerana sikapnya itu serta hubungan baik yang ditunjukkan dengan orang- orang Inggeris.
Selain itu, pengalamannya yang dirakam dalam Kisah Pelayaran Abdullah juga menggambarkan sikapnya yang tidak suka kepada budaya raja Melayu seperti apabila lalu di kampung raja tidak boleh berpayung, memakai kasut dan berpakaian kuning. Beliau juga sangat akrab dengan orang-orang Inggeris pada ketika itu dan menyebabkan beliau sering membandingkan kelebihan orang Inggeris berbanding orang Melayu. Abdullah juga sering mengeji perbuatan orang Melayu walaupun berkaitan dengan sultan seperti katanya:
Bahawa sesungguhnya adalah pada fikiranku, maka nyatalah kebodohan dan kekurangan fikiran sultan itu: maka alangkah baik dan besar tolongan Tuan Raffles itu hendak mengajarkan anak- anak mereka itu supaya kemudian kelak ia boleh mengerti dan menadapat beberapa kepandaian dan hikmat akan menambahkan akal dan pengetahuan.
Abdullah berfikiran bahawa perkara tersebut hanyalan sesuatu yang sia- sia kerana terdapat hal yang dilarang tetapi dibenarkan pula seperti orang berjudi di hadapan istana raja dan menghisap candu. Pengalaman melihat orang menghisap candu juga dicatatkan dalam Kisah Pelayarannya.
Maka lalu saya kata, “Janganlah Tengku minum, kerana ia itu mendatangkan beberapa celaka dan kebinasaan, dan kerugian adanya.” Maka jawabnya, “Itu betul tuan; tetapi sudah menjadi adat kepada saya, tiada boleh saya buangkan.”
Dalam catatan Kisah Pelayaran Abdullah juga, dia dikatakan mengkritik sikap raja- raja Melayu. Beliau membicarakan mengenai kezaliman raja, kehendaknya yang tidak boleh dihalang dan dilarang, serta pantang larang yang tidak boleh dilanggar oleh rakyat. Kezaliman raja menjadikan rakyat berasa takut untuk melakukan apa saja yang dapat memajukan diri mereka seperti takut untuk membuat rumah, takut untuk menambah ilmu, takut untuk mencari harta dan takut untuk melakukan perkara yang menyalahi adat kerana akan dihukum oleh orang- orang raja. Kenyataan ini dapat dilihat dalam Kisah Pelayaran Abdullah pada halaman 88.
Dan lagi dijauhkan Allah berdekatan raja- raja; kerana orang yang hampir kepada raja itu seperti bersahabat- sahabat dengan ular yang bias; makasalah sedikit dipagutnya biji mata.
Hal ini juga dapat dilihat dalam hikayat Abdullah yang menyentuh tentang kehendak raja yang tidak boleh dihalang yang dapat dilihat pada halaman 86:
Dan lagi, kalau ada berharta dan anak perempuan yang baik- baik, jikalau berkenan raja, diambilnya juga; tiada boleh ditahankan atau tiada diberi, disuruhnya tikam mati- mati sahaja.
Abdullah bukan sahaja membenci perangai raja pada ketika itu, malah fizikal raja juga dituliskan dengan segala kebodohannya. Hal ini dapat dilihat dalam Hikayat Abdullah yang menggambarkan kehodohan Sultan Hussain pada halaman 238:
…tubuhnya tambun…kelihatan empat persegi…pendeknya…tiada ketahuan rupa…kepalanya kecil…lehernya tenggelam…mukanya lebar…matanya juling…mulutnya luas…perutnya gendut berlipat-lipat…suaranya garau…dimana ia duduk ia berdengkur…bila berkata menengking- nengking…tiada kuasa membawa dirinya.
Kebodohan raja ini digambarkan ketika Sultan Hussain menyerahkan Singapura serta perintahnya kepada Inggeris dan semasa raja- raja Melayu menolak tawaran Tuan Raffles untuk mengajar anak- anak baginda.
Orang- orang Melayu pada ketika itu dikatakan terlalu memuliakan adat tradisi yang diturunkan oleh nenek moyang mereka. Oleh hal demikain, mereka tidak mehu menerima pembahruan terutama yang dibawa oleh Inggeris. Masyarakat Melayu pada ketika itu juga dikatakan malas. Golongan raja juga langsung tidak memberikan galakan supaya rakyat berusaha dan belajar untuk maju. Pandangan ini banyak dikisarkan dalam Kisah Pelayaran Abdullah yang memperlihatkan kritikan yang hebat dilemparkan kepada orang- orang Melayu. Orang Melayu dikatakan pemalas, lalai dan pengotor.
Selain itu, bahasa percakapan mereka juga dikatakan terlalu buruk serta pakaian dan rumah mereka dikatakan buruk dan tidak sempurna. Abdullah berharap agar orang- orang Melayu akan maju ke hadapan dengan mempelajari ilmu- ilmu baru yang dibawa oleh Inggeris. Dengan ini dapat meninggalkan sedikit demi sedikit fahaman kolot yang dipegang oleh mereka. Abdullah juga ada menyatakan mengenai rasa kurang senangnya mengenai sikap orang Melayu yang dengki serta iri hati. Menurut beliau, sikap dengki inilah yang akan menghalang untuk mencapai kemajuan dalam apa jua bidang sekalipun.
Abdullah juga mengemukakan pandangan beliau terhadap orang Melayu yang mempunyai kepercayaan terhadap hal- hal yang ganjil. Contohnya cerita untuk merobohkan kota Melaka ini tersebar luas. Mereka percaya kota itu dijaga oleh penunggu atau hantu syaitan dan siapa yang memecahkannya akan menerima bala. Dia juga mengecam kepercayaan orang Melayu pada hal- hal yang dianggap karut seperti kepercayaan orang Melayu tentang kejadian bumi, gerhana matahari dan bulan. Abdullah memperlihatkan sikap tidak setujunya terhadap kepercayaan tersebut dan menganggap itu adalah perkara yang karut yang tidak patut diikuti. Menurut beliau, adat dan kepercayaan menjadi halangan bagi kemajuan bangsa Melayu. Dalam Kisah Pelayaran Abdullah juga dapat dilihat beliau mengkritik adat meminta hutang yang diamalkan oleh orang Melayu seperti yang terkandung pada halaman 18.
“Adalah sekalian adat dan pekerjaan ini, semuanya daripada adat purbakala;jikalau barang siapa mengubah atau memecahkan itu, nescaya ditimpa daulat marhum yang tua- tua”. Maka adalah fikiran saya yang bodoh lagi yang tiada mempunyai ilmu ini, jikalau kekal adat dan pekerjaan dan kelakuan yang telah tersebut itu, maka dapat tiada lama- kelamaannya kelak sunyi dan rosak juga negeri Pahang itu, sebab mereka itu sekalian mengaku dirinya sahaja pandai. Adapun sebabnya fikiran itu datang kerana tiada mereka itu mahu menurut adat orang, lagipun tiada ia mempunyai ilmu, menjadi semakin hari makin bodohya bertambah; seperti katak dibawah tempurung adanya, maka adalah pada sangka katak itu tempurung itu langit”.
Kemajuan yang dibawa oleh Inggeris telah meresap ke dalam diri Abdullah lantas membuatkan dia mengeji adat- adat yang diamalkan oleh orang Melayu. Karya- karya yang telah dihasilkannya secara tidak langsung telah menunjukkan kemunduran orang Melayu disebabkan oleh kepercayaan serta kemalasan orang Melayu itu sendiri. Pendedahan ini paling banyak terdapat dalam Kisah Pelayaran Abdullah seperti yang disebut beliau pada halaman 33:
…tetapi laki- lakinya semuanya malas, dengan makan tidur dan membaiki senjata, itulah kerjanya orang yang dalam negeri itu.
Beliau juga ada menyebut mengenai orang Terengganu yang malas pada halaman yang sama seperti yang diperkatakannya :
Bermula saya lihat hal orang- orang dalam negeri itu miskin belaka, lagi dengan kelakuan malas dan malas sepanjang hari.
Abdullah Munsyi mengetengahkan keadaan hidup orang- orang Melayu di Pahang, Kelantan dan Terengganu dalam karyanya Kisah Pelayaran Abdullah. Beliau menceritakan mengenai keadaan orang- orang Melayu di negeri- negeri tersebut berkaitan dengan tempat tinggal mereka, pekerjaan mereka, dan cara hidup mereka. Abdullah menulis dengan jelas tentang kehidupan mereka sehingga mereka yang membaca berasa jijik dengan keadaan tempat tinggal orang- orang Melayu pada waktu itu. Hal ini diceritakan beliau semasa melawat negeri Pahang yang diceritakan pada halaman 11:
Syahadan lagi adalah rumah- rumah tempat diam mereka itu semuanya rumah atap; ada yang kecil ada yang besar; semuanya rumah itu di atas darat. Maka terlalu banyak semak- semak pada keliling rumahnya, lagi tiada dengan peraturan rumah- rumahnya, sebuah di sini dan sebuah di sana; ada yang dalam hutan, ada yang di pantai; ada yang berpagar, ada yang tiada; masing- masing dengan sukanya. Demikianlah sepanjang sungai itu, setompok di sini, setompok di sana. Dan lagi terlalu banyak kotor di bawahnya; maka tiap- tiap rumah itu adalah limbahan dibawahnya, dan sampah bertimbun- timbun. Serta masuk, maka penuhlah bau busuk ke dalam hidung.
Abdullah bukan sahaja menceritakan perihal kehidupan serta tempat tinggal orang- orang Melayu di Pahang, malah dalam Kisah Pelayaran Abdullah juga ada menceritakan mengenai keadaan tempat tinggal orang- orang Melayu di Kelantan seperti yang terdapat pada halaman 65 dan 66:
Syahadan, adalah rumah- rumah mereka itu atap lagi perbuatannya tidak senonoh. Maka di bawah rumahnya itu penuhlah dengan longkang dan sampah- sampah. Maka adalah beberapa rumah yang saya masuk ke dalamnya sebab handak melihat peraturannya. Maka saya lihat darihal tempat tidur mereka itu dan perkakas mereka itu, dan daripada makan minum mereka itu, sekaliannya dengan kekotoran adanya; lagi tiap- tiap rumah itu busuk baunya.
Abdullah juga mengamati suasana rumah- rumah orang Melayu di setiap tempat yang dikunjunginya. Pengamatannya diceritakan lagi pada halaman 77 dalam Kisah Pelayaran Abdullah:
Maka adalah darihal rumah- rumah mereka itu, sekaliannya pondok- pondok atap; dan dindingnya pun atap juga, dan lantainya jongket- jongketan, dan atapnya bintang- bintangan, dan bau busuk rumah- rumah itu, janganlah dikata lagi- penuh engan bau ikan busuk, dan bau longkang, dan sampah pun bertimbun- timbun sepanjang rumahnya. Maka adalah darihal badan mereka itu dan rumah- rumah mereka itu dan pakaian mereka itu, sekalian kkotoran belaka.
Beliau mengulangi lagi perkara yang sama berkaitan dengan kehidupan serta tempat tinggal orang- orang Melayu di Kelantan pada halaman 89:
Maka sebab itulah ia menaruh limbahan dan jamban di bawah rumahnya, bertentangan dengan tempat diam dan tidur, supaya naik betul meruap busuk itu masuk ke dalam otaknya, dan jangan menyimpang bau itu ke kiri ke kanan lagi. Maka sebab perbuatan yang demikian itulah ia tinggal sepanjang umurnya dalam busuk dan berbagai- bagai penyakit.
Walaupun demikian ada sarjana Melayu yang menyifatkan Abdullah sebagai seorang yang kacau dan tidak mempunyai jati diri. Konsep pemikiran beliau sebenarnya telah keluar dari acuan sastera klasik lalu masuk kepada pembaharuan alam pemikiran Melayu Moden yang lebih progresif.
Dalam Kisal Pelayaran Abdullah, abdullah mengkritik orang Melayu dengan berkata “Dan lagi, sepanjang jalan dan lorong penuh dengan sampah dan kotor dan becak dan semak-semak, penuh dengan ular, hampir-hampir harimau pun boleh tinggal; itu tidak mengapa?”
Ada lagi kritikan beliau ketika melawat Kelantan dengan mengatakan bahawa orang Kelantan tidak mementingkan kebersihan, suka bermain judi, tidak berilmu pengetahuan dan malas. Kritikan yang dibuat itu tidak disenangi dan dipandang rendah oleh kebanyakanpengkaji sastera dan budaya.
Dalam situasi yang lain, Abdullah mengkritik Raja-raja Melayu yang bersikap zalim terhadap rakyat. Tulisan begini telah didapati menyimpang dari sastera Melayu Klasik yang sentiasa mengagungkan Raja-raja. Sebagai contohnya. “Maka pada sangka sahaya,inilah sebabnya menjadi miskin negeri Pahang itu. Maka sekalian orang yang duduk dalam negeri itu sentiasa dengan ketakutan akan aniaya dan loba raja-raja dan orang-orang besar. Maka adalah fikiran mereka itu, ‘Apa guna rajin kita itu? Maka jikalau mendapati sedikit wang atau makanan, nescaya dilobakan dan dirampas oleh orang besar itu”
Beliau mengutuk sikap dan perbuatan orang Melayu yang tidak membawa manafaat seperti malas, membuang masa, bergaduh dan tidak mementingkan bahasa sendiri.
Memang benar jika dilihat keadaan orang-orang Melayu pada ketika itu rata-ratanya berperangai dan bersifat negatif yang tidak sepatutnya ada pada Manusia Melayu beragama Islam. Keadaan demikian juga berlaku sehingga kini, tetapi mungkin dalam bentuk yang lain.
Abdullah cuba menerapkan perubahan dalammasyarakat Melayu dengan cara yang kasar lalu beliau dianggap sebagai melakukan kesalahan besar.
Beliau mempunyai hubungan yang amat rapat dengan penjajah sehinggakan beliau ingin menterjemahkan kitab Injil kedalam Bahasa Melayu. Disebabkan itu, beliau telah digelar ‘Paderi Abdullah’.
lebih mengeruhkan suasana, Abdullah telah memuji Sir Stamford Raffles yang dikatakan sebagai mempunyai kepeibadian mulia yang tidak ada pada pembesar Melayu. Malahan beliau menggambarkan Raja-raja Melayu sebagai tidak berilmu dan sering berebut kuasa.
Jika difikirkan secara positif, kritikan beliau itu mempunyai nasihat yang amat baik kerana akibat dari perebutan kuasa Raja-raja Melayu telah memudaratkan rakyat jelata. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa akibat dari peperangan dan gilakuasa itu telah menjadikan Tanah Melayu dengan mudah dijajah oleh kuasa-kuasa Eropah.
Satu pembaharuan yang dilakukan oleh Abdullah adalah menerusi bahasa. Beliau telah meninggalkan pengaruh bahasa Klasik ke bahasa Moden. Beliau juga telah membuat terjemahan karya dari bahasa asing ke bahasa Melayu. Abdullah sebenarnya memberi ruang kepada orang orang Melayu Islam untuk membuat perbandingan antara kebenaran Islam dan kekhilafan Kristian.
Tanggapan orang yang mengatakan bahawa Abdullah terlalu taksub dengan budaya Barat boleh dipertikaikan kerana beliau juga turut mengkritik Barat dengan mengisahkan kerendahan moral orang Eropah yang ditemuinya termasuk Raffles dan kuncu-kuncunya yang gemar mabuk.
Kecaman beliau tidak mengenal sesiapa seperti “Bermula, maka diantara seratus orang tiada dua orang yang mengerjakan pekerjaan agama seperti sembahyang yang mana pekerjaan yang di fardhukan Allah keatasnya”. Bukankah itu satu kritikan berupa dakwah kepada umat Islam yang lalai mengerjakan kefardhuan Allah atasnya.
7.0 Kesimpulan
Kemunculan Abdullah bin Abdul kadir, seorang peranakan Keling dan berketurunan Arab yang fasih membaca dan menulis dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Cina dan bahasa Hindustan membuka lembaran baru dalam dunia penulisan dan persuratan di Nusantara.
Ini kerana, hikayat yang ditulis beliau merupakan suatu rakaman pengamalan sebenar kehidupan social pada zamannya. Malah banyak peristiwa besar dan sikap sosial terakam dalam hikayat tersebut sekali gus mencarikkan adat kebiasaan sebuah hikayat yang penuh dengan fantasi, kesaktian dan lagenda ketokohan individu.
Jenis penulisan beliau ini pada hari ini popular sebagai memoir atau autobiografi. Hikayat Abdullah siap dikarang 1845 dan diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1849. Namun apa yang paling ketara dalam autobiografi ini adalah, sikap Abdullah dan kritikan tajam beliau terhadap suasana sosial pada zaman itu, hasil daripada pemikiran dan ketajaman akal yang mendahului zaman hasil didikan secara paksa rela oleh ayahnya sendiri.
Tidak benar jika dikatakan beliau hanya mengkritik bangsa Melayu kerana jika sesiapa membaca keseluruhan hikayat tersebut, pasti jelas bahawa orang Inggeris, Amerika, Cina, India, Jerman, Belanda, pendek kata apa yang dilalui dan dijumpai serta dilihat sendiri oleh beliau di Melaka dan Singapura, tidak terlepas daripada kritikan dan komentar jujur Abdullah.
NILAI KEBIJAKSANAAN DALAM PANTUN
MELAYU : BINGKISAN PERMATA
NOR
HIDAYU BINTI ZAINON
UNIVERSITI
PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
Abstrak
Kajian ini menggunakan salah satu
daripada karya agung Melayu, iaitu Pantun Melayu : Bingkisan Permata untuk
melihat nilai kebijaksanaan yang terdapat dalam karya ini. Penelitian dilakukan
terhadap 4000 rangkap pantun yang meliputi tema dan isi yang luas dan pelbagai.
Karya ini mengandungi nilai kebijaksanaan yang dilihat secara tersurat dan
tersirat di dalam pantun. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah
kaedah penyelidikan kepustakaan. Penggunaan kaedah penyelidikan keperpustakaan
ini dilaksanakan bagi mendapatkan data-data yang terdapat dalam karya agung
Pantun Melayu : Bingkisan Permata oleh Harun Mat Piah (2001). Dapatan kajian
menunjukan terdapat lapan nilai kebijaksanaan dalam karya ini, iaitu nilai
kebijaksanaan ketika mendidik, nilai kebijaksanaan ketika berkasih sayang,
nilai kebijaksanaan ketika berhibur, nilai kebijaksanaan ketika merantau, nilai
kebijaksanaan menguji minda, nilai kebijaksanaan ketika bekerja, nilai
kebijaksanaan ketika berhibur dan nilai kebijaksanaan dalam pengajaran agama.
Kajian menggunakan pantun sebagai bahan kajian perlu diperluaskan kerana pantun
mempunyai keistimewaan yang tersendiri di samping menjadi cermin kehidupan, budaya
dan intelek masyarakat Melayu tradisional.
Kata kunci : pantun, masyarakat Melayu
tradisional, nilai kebijaksanaan
1.0 PENGENALAN
Pantun merupakan puisi
tradisional Melayu turun-temurun yang tertua di dalam Budaya Melayu (Mokhtar
Yasin, 2004). Pantun adalah akar budi dan daya rasa yang selalu membijaksanakan
fikiran serta mengindahkan perasaan. Pandangan R.O. Winsterdt dalam kajian
beliau yang bertajuk Pantun Melayu (1961) menyatakan bahawa seseorang itu tidak
dapat menduga aliran fikiran masyarakat Melayu sekiranya tidak cuba memahami
pantunnya.
Masyarakan Melayu tradisional kaya dengan aspek pengucapan
lisan yang kini masih ada tetapi dalam bentuknya yang unik. Pengalaman dan
pengetahuan yang dimiliki oleh masyarakat Melayu tradisional diterjemahkan ke
dalam ungkapan pantun yang indah didengar serta mempunyai nilai estetiknya yang tersendiri. Pantun
Melayu juga dapat dianggap sebagai cerminan
budaya di samping menonjolkan kemantapan daya inovasi, kreativiti dan
mentaliti masyarakat Melayu. Pantun juga
mencerminkan kehidupan masyarakat Melayu yang berkaitan dengan alam sekeliling.
Pantun sentiasa digubah dengan pelbagai cara untuk kelihatan lebih menarik dan
mengikuti peredaran masa.
Pantun menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1137) ialah
sejenis puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap
rangkap (dua baris pertama merupakan pembanyang maksud dan yang selainnya
mengandungi maksudnya). Menurut Za’ba (1961), pantun merupakan karangan
berangkap yang jati, selalu digunakan oleh orang Melayu kampung terutama untuk
menggambarkan fikiran yang hiba, sayu, dan sesuatu perasaan yang indah-indah.
Pantun menurut Aripin Said (1994 ) dalam Mohd Rashid Md Idris (2011) pula
adalah puisi Melayu lama yang menggambarkan kehalusan budi dan keprihatinan
masyarakat pada waktu itu terhadap alam dan ruang lingkup budayanya. Budaya
Melayu merangkumi diri, ekonomi dan sebagainya.
Oleh demikian, bahan kajian menggunakan pantun bagi kajian ini,
iaitu Pantun Melayu : Bingkisan Permata bertepatan bagi menyingkap kehidupan
masyarakat Melayu melalui rangkap-rangkap pantun yang mempunyai nilai kebijaksanaan yang tersurat atau tersirat
yang akan diteliti. Pantun yang terhasil bukti kebijaksanaan masyarakat Melayu
dalam pelbagai aspek sama ada untuk mendidik, berhibur, dan sebagainya.
2.0 OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini dijalankan
untuk mencapai objektif yang berikut :
2.1 mengenalpasti
kewujudan nilai kebijaksanaan dalam Pantun Melayu : Bingkisan Permata
2.2 mengenalpasti nilai
kebijaksanaan yang terdapat dalam Pantun Melayu : Bingkisan Permata
3.0 PERSOALAN KAJIAN
Dalam kajian ini,
persoalan yang dikenal pasti seperti
berikut :
3.1 Adakah nilai
kebijaksanaan terdapat dalam Pantun Melayu : Bingkisan Permata?
3.2 Apakah nilai
kebijaksanaan yang terdapat dalam Pantun Melayu : Bingkisan Permata?
4.0 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian untuk
mengenalpasti nilai-nilai kebijaksanaan yang terdapat dalam Pantun Melayu :
Bingkisan Permata adalah penting berdasarkan sebab – sebab yang berikut :
i.
Bahan kajian menggunakan pantun amat
kurang dijalankan.
ii.
Pantun yang terkandung dalam Pantun Melayu
: Bingkisan Permata mengandungi maksud yang tersirat merupakan bukti
kebijaksanaan masyarakat Melayu dalam pelbagai aspek sama ada untuk mendidik,
berhibur, dan sebagainya.
iii.
Nilai-nilai kebijaksanaan yang
terkandung dalam pantun merupakan cerminan hidup masyarakat Melayu tradisional
yang wajar dijadikan contoh dan tauladan.
5.0 METODOLOGI KAJIAN
Metodologi yang
digunakan dalam kajian ini ialah kaedah penyelidikan keperpustakaan. Penggunaan
kaedah penyelidikan keperpustakaan ini dilaksanakan bagi mendapatkan data-data
yang terdapat dalam karya agung yang dipilih. Karya agung yang dipilih untuk
kajian ini ialah Pantun Melayu : Bingkisan Permata oleh Harun Mat Piah(2001).
Karya ini terdiri daripada 4000 pantun daripada berbagai-bagai
jenis dan bentuk, yang meliputi tema dan isi yang luas dan pelbagai. Pantun-pantun
yang dipersembahkan ini telah dipilih daripada sampel yang cukup besar meliputi
sekitar lima belas ribu rangkap yang terdapat dalam lebih lapan puluh sumber.
Pemilihan pantun ini dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang sesuai dengan
tanggapan umum masyarakat Melayu terhadap apa yang dimaksudkan dengan “pantun
yang baik dan indah”.
Bingkisan Permata yang menjadi tajuk daripada judul koleksi ini
disesuaikan dengan konsep “bingkisan” dalam tradisi dan budaya Melayu.
Bingkisan bermakna hadiah atau cenderamata yang disampaikan bersama-sama surat
atau warkah. Gubahan permata adalah
pantun-pantun yang diwarisi oleh masyarakat dan tradisi Melayu, masa lampau dan
masa kini.
Bingkisan Permata ini menghimpunkan rakaman kebijaksanaan
masyarakat Melayu lama dalam membuat pengamatan yang tajam terhadap keadaaan
dan perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Pantun-pantun yang dicipta
mempunyai pemikiran dan falsafah yang tersendiri sebagai medium komunikasi dan
berhibur dan juga mendidik khalayak pembaca dengan nilai-nilai yang positif.
6.0 DAPATAN KAJIAN
Pantun dikatakan
jelmaan pemikiran yang amat arif, bijaksana dan tajam lahir hasil daripada
pengamatan mata yang peka dan rinci. Malah pantun bukan sahaja menjadi cermin
untuk kita membaca minda Melayu, tetapi sama seperti bentuk –bentuk sastera
yang lain, pantun menjadi cermin kepada seluruh adab kehidupan masyarakat
dahulu, termasuk persekitarannya. Oleh
demikian pantun dapat dikatakan cerminan
nilai kebijaksanaan masyarakat Melayu dalam menguruskan kehidupan mereka agar
lebih bermakna. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011), kehidupan masyarakat
Melayu tradisi digambarkan dalam bentuk puisi kesan daripada sistem nilai yang
halus dan bersemi dalam masyarakat. Nilai kebijaksanaan ini akan dibincangkan
berdasarkan karya agung Pantun Melayu: Bingkisan Permata. Berikut merupakan
nilai kebijaksanaan yang terdapat dalam karya ini :
i.
Nilai
Kebijaksanaan Ketika Mendidik
Masyarakat Melayu
tradisional terutamanya golongan tua kaya dengan pelbagai nasihat. Sebagai
golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai pelbagai
pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara. Justeru,
jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau bertujuan untuk
memberikan peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan
menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan didikan.
Pantun menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu tradisional
yang bersopan santun dan berpekerti mulia. Perkara yang sensitif yang berlaku
dalam masyarakat tidak akan disampaikan secara langsung untuk mengelakkan salah
faham atau pergaduhan. Oleh demikian, pantun akan digunakan untuk menyedapkan
pendengar disamping menyampaikan pesanan secara berhemah dan difahami. Jelaslah
bahawa masyarakat Melayu tradisional bijak
untuk memikirkan secara mendalam serta bijak menimbangkan dahulu sebelum
menyatakan sesuatu agar pendengar tidak tersinggung atau berkecil hati. Berikut
merupakan gambaran nilai kebijaksanaan ketika mendidik dalam Pantun Melayu :
Bingkisan Permata.
Kanak-kanan riang gembira
Ketupat palas sedap rasanya
Ditangkap buaya nampak riaknya
Ditangkap malas mati kelaparan
Harimau belang mengejar rusa
Rusa makan di daun muda
Sebab pulut santan binasa
Sebab mulut badan merasa
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :206-207,1303-1310)
Keterangan :
Pantun di atas
merupakan nasihat supaya rajin untuk mencari rezeki agar tidak kelaparan dan
menjaga percakap agar tidak mendatangkan keburukan pada kemudian hari.
Di samping itu, masyarakat Melayu tradisional juga melagukan
pantun untuk mendidik (Mohd Rashid Md Idris Et.
al., 2010). Anak-anak kecil akan ditidurkan sambil didendangkan dengan
lagu-lagu berbentuk pantun yang mempunyai nilai didikan tersendiri. Secara
tidak langsung, anak kecil akan beransur-ansur terdidik dengan penghayatan lagu
tersebut. Keindahan lagu puisi yang terhasil diseiringkan dengan ayunan buaian
oleh si ibu. Lagu-lagu ini diambil daripada pantun yang terdiri daripada
pelbagai bentuk antaranya berunsur nasihat, jenaka, teguran dan sebagainya.
Antara lagu kanak-kanak terdahulu ialah rasa sayang, burung kakak tua, tanya
sama pokok dan sebagainya. Lagu-lagu pantun ini tetap masih diingati masyarakat
sekarang sama ada kanak-kanak, warga muda mahupun warga tua. Berikut merupakan
contoh pantun yang dilagukan untuk anak kecil dalam Pantun Melayu : Bingkisan
Permata yang sarat dengan nilai didikan sekali gus menunjukan nilai
kebijaksanaan ketika mendidik anak kecil sejak dari dalam buaian lagi.
Buai laju-laju
Sampai balik sana
Apa dalam baju
Sekuntum bunga cina
Buai laju-laju
Sampai balik sana
Beli baju baru
Dari kedai Cina
(Pantun Melayu : Bingkisan Permata
:23,124-125)
ii.
Nilai
Kebijaksanaan Menguji Minda Atau Ketangkasan Fikiran
Kebijaksanaan
masyarakat Melayu tradisional menggunakan pantun sebagai alat untuk menguji
kebijaksanaan seseorang melalui pantun teka teki. Menurut Harun Mat Piah (1989)
dalam Mohd Rashid Md Idris (2011), jumlah pantun teka teki adalah dikatakan
agak terhad berbanding bentuk prosa, ungkapan-ungkapan bersajak atau bentuk
syair. Pantun teka teki yang dicipta oleh masyarakat Melayu Tradisional
digunakan untuk menguji ketangkasan seseorang untuk berfikir berdasarkan makna tersirat
pada setiap perkataan yang digunaka.
Pantun teka teki merupakan gabungan daripada pelbagai genre,
iaitu genre kanak-kanak, orang muda dan orang tua. Pantun teka teki mengandungi
senda gurau,keseriusan berfikir hingga kebijakkan. Seseorang itu perlu cergas
untuk memahami dan membalas pantun jenis ini. Pantun teka teki dibahagikan
mengikut jenis pantun berdasarkan pantun alam sekitar dan pantun pelengkap
kehidupan manusia sekitarnya seperti laut, cangkul, nyamuk dan sebagainya.
Pentun teka teki amat digemari kanak-kanak dan digunakan oleh ibu bapa
masyarakat Melayu tradisional untuk menguji kepintaran anak mereka.
Pantun teka teki kebiasaanya menggunakan ayat yang mudah.
Pantun ini memerlukan jawapan serta merta sehingga menyebabkan seseorang itu akan
berfikir secara spontan dan secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran
berfikir. Orang yang menjawab teka teki akan berfikir secara teliti dan
berhati-hati sebelum mengemukakan jawapan. Oleh demikian, seseorang yang
diajukan pantun ini akan meneliti pembayangnya dan makna yang terdapat dalam
pantun dan menyebabkan akal fikirannya teruji. Pantun ini juga sering
menimbulkan keseronokan dan mencetuskan suasana yang riang. Berikut merupakan
contoh pantun teka teki yang terkandung dalam Pantun Melayu : Bingkisan Permata
yang jelas menunjukan nilai kebijaksanaan masyarakat Melayu tradisional dalam
menguji minda seseorang.
Ada ikan masak gulai
Bulan terang pagi hari
Kalau tuan bijak pandai
Apa binatang keris di kaki?
Ada seekor burung pekaka
Hinggap turun di atas batu
Kalau tuan bijak meneka
Apa binatang tulangnya satu?
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :53,342-343)
Banyak buah di dalam guni
Buah asam serta manis
Apakah buah sifat begini
Masak masam, muda manis?
Bawa kerakap dengan
batasnya
Buat bekal pergi ke bendang
Cuba teka apa
binatangnya
Berbunyi seperti gong dan gendang?
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :55,357-358)
iii.
Nilai
Kebijaksanaan Ketika Berkasih Sayang
Pantun Melayu :
Bingkisan Permata juga menyelitkan kebijaksanaan ketika berkasih sayang. Hal
ini dapat dilihat dalam pantun percintaan. Perasaan sayang selalunya akan
disampaikan melalui pantun oleh masyarakat Melayu tradisional dalam
menyampaikan hasrat mereka. Hal ini telah memperlihatkan bahawa masyarakat
tradisional sangat mementingkan kesopanan dan kesantunan terutamanya dalam
berkasih sayang. Perasaan kasih sayang merupakan hukum alam yang tidak dapat
dihalang oleh manusia daripada terus berlaku kerana ianya sudah ditakdirkan
oleh Ilahi. Pantun-pantun sebegini akan disulami dengan
kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan perasaan
kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam.
Mayarakat melayu tradisional yang dilamun cinta pandai berpantun
tanpa diajar kerana dididik dengan persekitaran yang menjadikan pantun sebagai
amalan kehidupan. Masyarakat Melayu tradisional bijak menyatakan hasrat hati
dengan ungkapan pantun-pantun yang indah. Malah, cinta yang tidak kesampaian
juga dizahirkan dalam bentuk pantun. Walaupun kecewa, masyarakat Melayu
tradisional akan meluahkan rasa kecewa melalui pantun dan tidak melakukan
perkara yang sia-sia. Berikut merupakan gambaran yang terdapat dalam Pantun
Melayu : Bingkisan Permata tentang kebijaksanaan ketika berkasih sayang dan
cinta yang tidak kesampaian.
Pantun
berkasih sayang :
Anak beruk mahu terjun
Turun mandi di dalam paya
Hodoh buruk di mata orang
Cantik manis di mata saya
Anak Islam main pedati
Burung merak hinggap di jati
Kalau sungguh cinta di hati
Sampai kubur saya menanti
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :281, 1781 & 1789)
Pantun
Kasih tidak kesampaian :
Kuda di dalam lebuh
Air diharung hingga ke pinggang
Mulut luka sudah sembuh
Parutnya bila akan hilang
Makan ketupat di bakul
baru
Kulit tercampak ke laut Siam
Tuan dapat sahabat baru
Saya dibuang dalam diam.
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :489,3215 & 3254)
Selain itu, terdapat pantun yang menggambarkan kebijaksanaan
masyarakat Melayu tradisional ketika ingin menyunting pilihan hatinya.
Pantun-pantun ini menggambarkan beberapa peringkat yang dilakukan sehingga
terbinanya mahligai impian. Masyarakat Melayu tradisional akan melakukan majlis
merisik, meminang dan akhirnya perkahwinan yang menggunakan pantun sebagai madah.
Oleh demikian, jelaslah bahawa masyarakat Melayu tradisional bijak untuk
menjadikan hubungan kasih sayang sehingga ke alam rumah tangga. Berikut
merupakan gambaran majlis merisik, meminang dan perkahwinan yang terdapat dalam
pantun.
Pantun
meminang:
Pihak perempuan : Kayu
ara tinggi sebatang
Dahan lampai pucuk putih
Apa fasal lambat datang
Kami memandang mata dah putih
Pihak Perempuan : Cempedak di tengah laman
Dijolok di umpu api
Usah lama tegak di laman
Ambil cebok basuhlah kaki
Pihak lelaki : Putih pauh dari permatang
Sayang
selasih saya lurutkan
Dari
jauh saya datang
Tegal
dek kasih turutkan
Pihak Perempuan : Pitik pauh dari permatang
Sayang
selasih masak minyak
Dari jauh tuan-tuan datang
Terima
kasih banyak-banyak
Pihak Lelaki : Rumah kecil papannya lima
Tempat
menyalai ikan kerisi
Ayuhai encik kami bertnya
Berapa
harga intan di sini?
Pihak Perempuan : Tali kail panjangnya lima
Akan
pengail ikan tenggiri
Tujuh tahil sekati lima
Itulah
harga intan di sini.
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :599-600,3936-3952)
Pantun
majlis perkahwinan :
Tatang puan tatang
cerana
Tatang biduk Seri Rama
Datanglah tuan
datanglah nyawa
Datanglah duduk bersama-sama
Nak tajuk, tajuklah
puan
Ramunggai batang berduri
Nak masuk masuklah tuan
Timbanglah cukai adat negeri
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :601-602,3957-3958)
Keterangan:
Pantun di atas
menunjukan pantun-pantun yang digunakan dalam istiadat perkahwinan. Kebijaksanaan
masyarakat Melayu tradisional dalam menyunting anak gadis amat jelas. Adat
istiadat amat diutamakan demi menjaga maruah kelurga sama ada ketika berkasih
mahupun ingin mendirikan rumah tangga yang direstui keluarga.
iv.
Nilai
Kebijaksanaan Ketika Berinteraksi Dengan Alam
Masyarakat Melayu tradisional
amat menghargai unsur alam. Mereka peka terhadap persekitaran. Mereka juga
sedar bahawa alam kaya dengan flora dan fauna yang memberi manfaat dalam
kehidupan mereka.Contohnya, tumbuh-tumbuhan dapat dijadikan penawar tertentu
manakala haiwan-haiwan tertentu dapat dijadikan makanan untuk keluarga. Selain
itu, matahari dan bintang dapat memberikan petunjuk kepada mereka dalam
menentukan arah atau peredaran masa tanpa menggunakan alatan canggih seperti yang
digunakan pada zaman kini.
Oleh demikian, unsur alam banyak digunakan dalam karya agung,
khususnya pantun kerana kecintaan terhadap alam sekitar yang tinggi. Hal ini
bertepatan dengan pendapat Muhammad Haji Salleh yang dipetik oleh Azmi Rahman
(2008) di dalam artikelnya yang mengatakan bahawa “manusia Melayu amat peka dan
setia kepada alam raya”. Kesensitivitian
dan kesetiaan mereka terhadap alam telah melahirkan karya sastera yang diwarisi
sehingga kini.
Masyarakat Melayu tradisional akan berinteraksi dengan alam
untuk mewujudkan proses pentafsiran. Pentafsiran bermakna setiap unsur alam
dianggap mempunyai makna yang lebih besar. mereka akan mengamati atau
menginteprestasi alam sebagai keserupaan dengan dirinya atau masyarakat.
Pengamatan dan penghayatan yang tersirat dari unsur alam tersebut tercapai
setelah memerhati, merenung dan menggunakan akal fikiran. Imaginasi dicetuskan
pada pembayang menggunakan unsur alam untuk menggambarkan sesuatu. Jelaslah
bahawa masyarakat Melayu tradisional menggunakan kebijaksanaan akal untuk
menyampaikan maksud tertentu dan mencerminkan diri dan masyarakat dengan
menggunakan unsur alam di dalam pantun.
Tengku Muda raja di Linggi
Pergi berniaga ke negeri Palembang
Biar ambil resmi padi
Jangan diikut resmi lalang
Tetak keranji buatkan pintu
Pintu gerbang tidak berselak
Abang janji tidak begitu
Lidah bercabang bagai biawak
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :236, 1510 &1513)
Keterangan :
Pantun di atas
berkaitan dengan penggunaan unsur alam yang tepat bagi membawa maksud tertentu
seperti penggunaan padi yang kita tahu apabila semakin berisi akan semakin
rendah bertepatan dengan nasihat agar kita sentiasa merendah diri walaupun kita
semakin berilmu atau sebagainya manakala menjauhi sifat seperti lalang kerana
lalang sifatnya yang semakin meninggi. Sifat biawak yang mempunyai lidah
bercabang dikaitkan dengan seseorang yang berubah-rubah kata-katanya.
v.
Nilai
Kebijaksanaan Ketika Bekerja
Masyarakat Melayu tradisional
melakukan pekerjaan seperti penanaman padi dan menangkap ikan. Pertanian padi
dalam masyarakat Melayu tradisional dibuat secara gotong-royong, iaitu bermula
dari proses membuka hutan sehinggalah mendapatkan hasil. Teknologi direka
sendiri seperti membuat baji untuk menebang pokok serta membelah kayu dan memasang
pelita dan unggun api digunakan untuk meluruskan tali air dan batas sawah atau
bendang. Mereka juga membuat lesung bagi mengisar padi dan sebagainya. Banyak
lagi contoh-contoh teknologi masyarakat Melayu tradisional yang telah direka dan digunakan seperti panduan arah angin,
persenjataan dan alat pertukangan, alat memasak dan tenunan hingga kepada
pembinaan kapal layar untuk perdagangan.
Konsep gotong royong ini amat penting kerana masyarakat tidak
mampu melaksanakan sebarang kerja secara bersendirian. Contohnya bagi membuka
sebuah kawasan sawah padi misalnya pengusahaan sawah padi dikendalikan oleh
seluruh penduduk kampung kerana melibatkan kerja menebas dan menebang pokok,
membakar atau memerun, menggali parit dan tali air, membuat batas atau ban bagi
takungan air mahupun untuk tujuan sempadan antara tuan punya, ataupun bagi
membina pagar dari ancaman babi hutan atau menghalang ternakan memakan pokok
padi. Melalui konsep kerjasama, bukan sahaja saling membantu, malahan dapat menyelaraskan
kerja. Tali air dan parit tidak boleh dibuat bersendirian kerana melibatkan
luas dan kedalaman yang berbeza dari sebelah hulu ke hilir. Begitu juga dengan
batas atau ban yang hendak dibina harus mengambil kira kedudukannya agar tidak
memasuki ke bahagian orang lain. Menuai padi juga mesti bersama-sama supaya
dapat mengelakkan dari terkeluar dari musim panas kerana padi yang telah dituai
harus dijemurkan pada panas matahari supaya mudah semasa memprosesnya menjadi
beras. Jika musim hujan tiba, sedangkan kerja mengambil buah padi belum
selesai, maka petani akan kerugian. Oleh yang demikian, masyarakat Melayu tradisional
akan bekerjasama sehingga pekerjaan ini selesai.
Masyarakat Melayu tradisional melagukan puisi yang diselitkan
pantun ketika melakukan pekerjaan untuk mengurangkan kepenatan. Nilai
kebijaksanaan ini jelas tergambar apabila masyarakat mengamalkan semangat
gotong royong dan saling membantu. Berikut merupakan contoh yang terdapat dalam
Karya Agung Melayu Pantun Melayu : Bingkisan Permata tentang pekerjaan yang
dilakukan masyarakat Melayu tradisional serta gambaran suasana gotong royong.
Hari redup menyemai padi
Wak Dolah menanam padi
Kalau hidup tidak berbudi
Duduk salah berdiri canggung
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata : 113,718)
Ikan sepat lemak rasanya
Lebih lemak dari gelama
Pisang seikat gulai sebelanga
Tanda muafakat bersama-sama
Hendak belayar Teluk Betung
Sambil mencuba melabuh pukat
Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :207-209,1314 & 1326)
Keterangan :
Pantun di atas
menggambarkan pekerjaan masyarakat Melayu tradisional, iaitu menanam padi serta
belayar menangkap ikan dan semangat gotong-royong yang diamalkan dan
dipentingkan. Semangat kerjasama ini penting dalam masyarakat Melayu
tradisional dalam pelbagai bidang termasuklah pekerjaan. Mereka saling membantu
dan tidak mengharapkan balasan serta menjauhi sikap pentingkan diri.
vi.
Nilai
Kebijaksanaan Ketika Berhibur
Pada zaman dahulu
banyak terdapat cerita-cerita dongeng rakyat dalam bentuk lisan yang diceritaka
dari mulut ke mulut.. Cerita-cerita ini diceritakan kepada anak cucu mereka
pada waktu yang tertentu seperti ketika hendak tidur dan diceritakan oleh
tukang-tukang cerita dalam maslis-majlis tertentu seperti ketika menunggu nasi
dan lauk masak di majlis perkahwinan. Tukang-tukang cerita digelar tok
penglipur lara, tok selampit, awing batil, tok jubang dan tok dalang (Mustafa
Mohd Isa, 1984). Panglipur lara pada waktu itu merupakan orang yang penting,
berpengaruh, dihormati serta dianggap istimewa. Mereka menyampaikan prosa
tersebut dengan mengingatinya atau secara hafalan. Mereka menggunakan alat
bunyi-bunyian seperti rebana, rebah, gendang serta lain-Iainnya. Khalayaknya pula
ialah kalangan masyarakat kampung dari segala peringkat. Baik muda mahupun tua
malah kanak-kanak juga. Baik lelaki mahupun perempuan berminat untuk mendengar
malah kadang-kadang acara bercerita atau seumpamanya memakan masa dua tiga
malam baru selesai.
Panglipur
lara merupakan sebuah institusi pendidikan dalam masyarakat Melayu tradisional.
Cerita serta puisi yang mereka sampaikan menjadi alat kawalan sosial yang
membentuk tingkah laku masyarakat pada waktu itu. Cerita-cerita ini akan
diselitkan dengan puisi yang indah termasuklah pantun seperti cerita Malim
Deman, Hikayat Malim Dewa dan sebagainya. Secara tidak langsung, cerita yang
disampaikan menjadi lebih menarik dan diminati pendengar. Selain itu,
penyampaian akan teratur dan berkesan. Tukang-tukang cerita ini menjadi tumpuan
dalam masyarakat Melayu tradisional. Mereka dihormati dan mendapat kedudukan
yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
Melalui puisi termasuk pantun telah diilhamkan menjadi
nyanyian-nyanyian rakyat yang dicipta masyarakat Melayu tradisional.
Kebanyakkan lagu puisi yang menyelitkan pantun juga disusun rapi sebagai
hiburan semata-mata atau mengisi masa lapang setelah penat bekerja seperti lagu
rakyat “Pantun Klasik”. Pantun yang diselitkan dalam nyanyian ini kebiasaannya
mempunyai pesanan dan nasihat terutama tentang adat dan budi. Hal ini
menunjukan bahawa kepentingan budi dalam masyarakat tardisional.
Nyanyian lagu ini biasanya pada malam hari dan juga terdapat
dalam upacara-upacara tertentu seperti sewaktu menumbuk emping, mengirik padi (menceraikan
padi dengan tangkainya) atau sewaktu upacara mencukur rambut bayi. Upacara
sebegini lebih meriah kerana khalayak lebih ramai dan disertai dengan jamuan
dan sebagainya. Lagu-lagu rakyat ini cukup wajar dalam masyarakat Melayu
tradisional khususnya.
Berikut merupakan contoh pantun yang menggambarkan kepentingan
budi dan pengabaian budi. Pantun tersebut menjelaskan tentang kepentingan budi
dan budi akan sentiasa dikenang. Secara amnya, jelaslah bahawa nilai
kebijaksanaan ketika berhibur yang digambarkan dalam masyarakat Melayu
tradisional yang tidak mengabaikan aspek pendidikan, nasihat dan pengajaran
ketika berhibur.
Anak beruk di tepi pantai
Pandai
melompat pandai belari
Biar buruk kain dipakai
Asal hidup
pandai berbudi
Anak Cina memburis wangkang
Tengah laut
patah kemudi
Kalau ada bulan dan bintang
Kami tiada
lupakan budi
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :98,615-616)
vii.
Nilai
Kebijaksanaan Ketika Merantau
Nilai kebijaksanaan
juga dapat dilihat ketika masayarakat Melayu tradisional merantau yang terdapat
dalam Pantun Melayu : Bingkisan Permata. Masyarakat Melayu tradisional gemar
merantau, iaitu berhijrah ke tempat lain untuk mencari pengalaman atau
menjalani kehidupan baharu. Tradisi merantau ini merupakan sebahagian daripada
sosial dan ekonomi masyarakat Melayu.
Kebijaksanaan yang digambarkan dalam pantun tentang pembawakan
diri seorang perantau adalah jelas. Masyarakat Melayu tradisional menggunakan
pelbagai kaedah untuk merantau, iaitu menaiki kapal, berjalan dan lain-lain.
tempat yang dituju juga kebiasaanya tidak diketahui dan bergantung pada
kehendak diri serta akan melalui banyak tempat. Menjadi anak perantauan pada
masa dahulu juga adalah perkara biasa dan kehendak diri sendiri serta
kebiasaannya merantau secara sendiriaan. Namun, perantau akan kembali juga ke
tempat asal setelah puas merantau.
Segala pengalaman pahit dan manis yang ditempuhi akan dikongsi
apabila pulang kelak malah perantau juga tidak menjanjikan bahawa dia akan
selamat untuk pulang semula. Walaupun keselamatan tidak terjamin, masyarakat
Melayu tradisional tetap merantau untuk kepntingan diri serta keluarganya.
Pelbagai pesanan akan dititipka kepada perantau seperti menjaga diri, merendah
diri, dan sebagainya. Perantau bijak
menyesuaikan diri di tempat orang dan mengamalkan pesanan-pesanan seperti
menjaga kelakuan, merendah diri dan lain-lain agar disenangi orang lain. Walaupun
perasaan rindu tempat asal sentiasa hadir, perantau tetap tabah dan redha semasa
menjadi perantau malah tabah hidup dalam serba kekurangan. Kehidupan sebagai
perantau tidak mudah, banyak halangan yang ditempuhi. Masyarakat melayu bijak
memainkan peranan sebagai seorang perantau malah sentiasa menunjukkan nilai
yang positif semasa merantau.
Oleh demikian, jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu
tradisional bijak ketika merantau dengan mengamalkan nilai-nilai yang baik
serta redha dengan ketentuan. Berikut merupakan gambaran tentang merantau yang
terdapat dalam Pantun Melayu : Bingkisan Permata.
Ke pekan sekali ini
Entah membeli entah tidak
Entah membeli limau kapas
Berjalan sekali ini
Entah kembali entah tidak
Entah mengharung lautan lepas
Ikan pelata ikan tuna
Mari diisi dalam sampan
Ibarat kata ayam betina
Merendah diri beradab sopan
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :256-258,1637 & 1653)
Keterangan :
Pantun di atas
menjelaskan tentang kehidupan seorang perantau. Perantau juga tidak mengetahui
nasibnya pada masa hadapan. Pantun ini juga menyelitkan tentang perantau yang
mengamalkan nilai merendah diri serta menjaga adab agar kehadiran di tempat
orang akan diterima.
viii.
Nilai
Kebijaksanaan Dalam Pengajaran Agama
Gambaran dalam pantun
juga menunjukan bahawa masyarakat Melayu tradisional bijak dalam pengajaran
agama. Pengajaran agama ini jelas dinyatakan dalam pantun. Hal ini juga
menunjukan bahawa masyarakat Melayu mengamalkan pengajaran agama dalam
kehidupan seharian. Pantun ini dilahirkan untuk menyampaikan amanat,nasihat dan
perutusan yang bersifat didaktik, membincang adat dan membimbing manusia ke
jalan yang benar agar berjaya dunia dan akhirat. Tema-tema yang dikemukakan
biasanya berkisar tentang persoalan iman, ibadat, kepentingan menuntut ilmu,
berbuat baik sesama manusia dan menjauhi larangan agama.
Penggunaan ayat dan kata dalam pembayang dipilih dan disusun
dengan baik agar pesanan yang ditujukan itu sampai. Pembayang dan maksud mempunyai
maksud yang mendalam.pembanyang biasanya mengandungi nilai-nilai luhur agama
yang berkaitan dengan isinya. Pantun yang menceritakan tentang nilai agama ini
menunjukan kebijaksanaan penciptanya khususnya pada masyarakat Melayu
tradisional kerana diperkaya dengan budi bahasa serta nilai moral yang ingin
ditonjolkan. Pantun jenis ini juga membangkitkan perhatian dan mengajak untuk
berfikir, merenung, menghayati dan mengamalkannya.
Oleh demikian, jelaslah bahawa nilai kebijaksanaan dalam
pengajaran agama terdapat dalam Pantun Melayu :Bingkisan Permata seperti contoh
pantun yang berikut.
Anak ayam turun Sembilan
Mati seekor tinggallah lapan
Akan bekalan di hari kemudian
Di dalam kubur berdinding papan
Anak ayam turunnya tujuh
Mati seekor tinggallah enam
Hancur luluh seluruh tubuh
Dijilat oleh neraka jahanam
(Pantun Melayu :
Bingkisan Permata :134,851 & 854)
Keterangan :
Pantun di atas
mengingatkan, memberi nasihat serta mengajak untuk berfikir tentang kehidupan
selepas mati. Pantun ini juga menunjukan bahawa masyarakat Melayu tradisional
bijak dalam soal agama malah mementingkan nilai agama dalam kehidupan dan
menerapkan dalam diri agar sentiasa berada di landasan yang benar.
7.0 KESIMPULAN
Pemilihan pantun amat
bersesuaian untuk melihat nilai kebijaksanaan. Berdasarkan dapatan kajian jelas
menunjukan bahawa karya agung Pantun Melayu : Bingkisan Permata mengandungi
nilai kebijaksanaan yang tersurat atau tersirat. Penelitian yang dilakukan
menunjukan bahawa pantun menjadi cermin kepada masyarakat Melayu tradisional
dalam kehidupan mereka. Malah, pantun ini juga mempamerkan ketinggian serta
kehalusan budaya Melayu. Hakikatnya, pantun merupakan khazanak masyarakat
Melayu yang sentiasa diingati sehingga ke hari ini. Peranan pantun kepada
masyarakat Melayu tradisional amat besar dalam mewarnai kehidupan mereka. Oleh demikian, kajian menggunakan pantun
sebagai bahan kajian perlu diperluaskan kerana pantun mempunyai keistimewaan
yang tersendiri di samping menjadi cermin kehidupan, bidaya dan intelek
masyarakat tradisional.
Rujukan
:
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Mokhtar Yasin (2004). Pantun. Melaka : Institut Kajian Sejarah
dan Patriotisme Malaysia (IKSEP)
Mustafa Mohd. Isa (1984). Penglipur Lara Melayu. Petaling Jaya :
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd
Mohd Rashid Md Idris, Siti Khariah Mohd
Zubir & Abdullah Yusof (2010). Nilai Estetik dan Interlek dalam Pantun.
Tanjung Malim : Emiritus Publications
Mohd Rashid Md Idris (2011). Nilai Melayu dalam Pantun. Tanjung Malim
: Universiti Pendidikan Sultan
Idris
Harun Mat Piah (2001). Pantun Melayu :
Bingkisan Permata. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan
Seri Lanang Jaya, Mana Sikana, Mohd
Rashid Md Idris & Naffi Mat (2013). Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjung
Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris
Wilkinson R.J. dan Wisterdt R.O. (1961).
Pantun Melayu. Singapura : Malaya Publishing House Limited
Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) (1961). Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
KRITIKAN
TERHADAP SISTEM FEUDAL DALAM HIKAYAT ABDULLAH MUNSYI
Oleh : Rohaidzad
bin Hamdn
Universiti
Pendidikan Sultan Idris
robinha_90415@yahoo.com
PENGENALAN
Abdullah Munsyi merupakan seorang yang
berketurunan Arab dan India. Namun demikian, beliau menganggap dirinya sebagai
orang Melayu. Gelaran Munsyi diberikan kepadanya oleh Sir Stamford Raffles yang
bermaksud guru. Abdullah mula bekerja dengan bapanya iaitu menyalin
dokumen-dokumen penting. Kemudian, beliau mengajar bahasa ibunda kepada
askar-askar India dan British. Selain itu, beliau juga bekerja sebagai
pentafsir dan jurutulis kepada Sir Stamford Raffles. Sepanjang hayat beliau,
beliau pernah bekerja sebagai guru bahasa, wartawan, sejarawan, penterjemah,
dan sebagainya. Selain itu, beliau juga dapat menguasai banyak bahasa. Selain
Arab dan Melayu, beliau juga boleh bercakap bahasa Hindi, Tamil, Kantonis dan
Inggeris.
Abdullah Munsyi sangat terkenal dengan
hasil penulisan riwayat hidupnya yang bertajuk Hikayat Abdullah. Abdullah ialah
penulis Melayu yang pertama yang telah melakukan sesuatu yang menyimpang
daripada adat resam dan kesusasteraan Melayu dalam bahasa surat. Dalam karyanya
juga, terutamanya dalam Hikayat Abdullah, beliau banyak mengkritik orang
Melayu. Dialah yang memulakan zaman moden dalam masyarakat Melayu.
Karya-karyanya lebih menjurus kepada kehidupan realistik dan berbeza daripada
karya-karya sebelumnya, seperti karya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang
banyak mengandungi unsur-unsur magis dan mitos yang tidak masuk akal. Oleh itu,
beliau dianggap sebagai pemula kepada kesusasteraan Melayu moden.
Beliau ada mengkritik
kepercayaan-kepercayaan tahyul dan khurafat yang terdapat dalam kalangan
masyarakat Melayu. Selain itu, beliau juga mengkritik tentang sistem kerajaan
feudal Melayu yang menurut pandangannya sebagai zalim. Hal ini demikian kerana,
pemikiran Abdullah Munsyi dipengaruhi oleh orang barat yang lebih moden. Beliau
juga mengkritik cara hidup orang Melayu. Sebagai contoh, dia mengkritik makanan
orang Melayu kotor dan orang Melayu juga mempunyai pemikiran kolot, dan
lain-lain. Hal ini kerana Abdullah Munsyi bukanlah orang Melayu asli dan beliau
ingin menyedarkan orang Melayu supaya meninggalkan segala kepercayaan yang
tidak benar itu dan lebih bersikap terbuka.
Di samping itu, Abdullah Munsyi juga
mengkritik sistem perundangan timur yang zalim dan mengutamakan golongan
bangsawan, menyindir golongan pemerintah tempatan, dan sebagainya. Abdullah
Munsyi juga mendakwa bahawa orang-orang Melayu tidak mempunyai
pendirian dalam hal politik dan kebudayaan. Oleh itu, beliau menyarankan
orang Melayu mencontohi orang Inggeris untuk mencapai kemerdekaan. Mengikut
Abdullah Munsyi, kemunduran orang-orang Melayu bukanlah disebabkan malas tetapi
kerana sikap raja dan golongan bangsawan yang selalu mendera dan menghukum
mereka.
Dari segi gaya bahasa penulisannya,
Abdullah Munsyi sudah meninggalkan ungkapan-ungkapan yang usang
dan bahasa berirama yang sering digunakan dalam karya sastera lama.
Sebagai ganti, beliau telah menggunakan ungkapan yang spontan dan agak
terpengaruh dengan bahasa pertuturan sehari-hari. Susunan ayatnya juga tidak
berbelit-belit. Tulisan Abdullah Munsyi
juga berdasarkan kepada peristiwa yang benar-benar berlaku. Begitu juga dengan
watak yang dilukiskan dalam karya beliau. Beliau menggunakan watak manusia yang
betul-betul hidup, bukan watak dewa-dewi, jin dan mambang. Watak dalam karya
beliau lebih kepada orang Melayu di pasar, orang Inggeris, India dan
sebagainya. Melalui unsur kritikan dalam karyanya, Abdullah Munsyi mengharapkan
orang Melayu sedar bahawa mereka dapat meningkatkan cara hidup mereka daripada
sistem feudal kepada moden, selain mengangkat martabat kesusasteraan Melayu itu
sendiri.
2.0 OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian penulisan ini ialah untuk menganalisis
dan menilai kritikan yang dilakukan oleh Abdullah Munsyi dalam karya Hikayat
Abdullah daripada aspek sistem feudal. Pengkaji mengelaskan aspek feudal ini
kepada beberapa aspek kecil, iaitu :
a)
Mengkaji
kritikan-kritikan yang dilakukan oleh Abdullah Munsyi terhadap sistem feudal
daripada aspek pentadbiran dan perundangan.
b)
Mengkaji
kritikan-kritikan yang dilakukan oleh Abdullah Munsyi terhadap sistem feudal
daripada aspek sosiobudaya.
3.0
PERSOALAN
KAJIAN
Penulisan ini dijalankan bagi menjawab soalan-soalan seperti
yang berikut, iaitu:
a) Bagaimanakah
bentuk pentadbiran dan perundangan yang dilaksanakan dalam masyarakat Melayu
sewaktu kehidupan Abdullah Munsyi sebagai penulis?
b) Bagaimanakah
sosiobudaya masyarakat di Tanah Melayu sewaktu hayat Abdullah Munsyi sebagai
penulis?
4.0
KEPENTINGAN KAJIAN
Sistem
feudal begitu sinonim dengan masyarakat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2007:410), sistem feudal atau feudalisme bermaksud sistem kemasyarakatan yang
dikuasai oleh kaum bangsawan. Hal ini bermaksud sistem feudal adalah suatu
lapisan masyarakat yang bersistem, iaitu jurang-jurang yang wujud antara
golongan masyarakat, seperti golongan istana, golongan bangsawan, golongan
rakyat biasa, dan golongan hamba. Setiap peringkat ini ada peranannya masing-masing
dalam membentuk sebuah tamadun manusia itu.
Menurut
Ismail Hamid (1988), sistem politik Melayu (sistem feudal Melayu) adalah
berbentuk piramid. Raja diletakkan di atas puncak dan diikuti oleh golongan
bangsawan yang terdiri daripada keluarga diraja, diikuti pada peringkat bawahan
oleh pegawai-pegawai kerajaan yang lain, kemudian diikuti oleh rakyat biasa
seterusnya golongan hamba. Jika dibuat perbandingan sistem masyarakat dahulu
dengan sistem masyarakat kini, sebenarnya banyak perbezaan yang telah berlaku.
Berdasarkan cerita yang disampaikan dalam Hikayat Abdullah, masyarakat lebih
mengalami penderitaan kerana jurang yang wujud antara golongan bangsawan,
rakyat, dan hamba itu seolah-olah menimbulkan jurang hubungan antara mereka.
Walaupun dalam sistem feudal Melayu tidak mungkin muafakat atau perbincangan
atas asas persamaan taraf di antara raja dengan rakyat, namun muafakat sering
berlaku di kalangan sesama rakyat (Husin Ali, 2006:314).
Oleh
hal yang demikian, kepentingan kajian ini ialah untuk mengetahui bentuk atau
sistem masyarakat pada zaman dahulu terutamanya sistem feudal Melayu, sama ada
dari segi pentadbiran, perundangan, serta mengkaji tentang gaya hidup
masyarakat. Pengetahuan ini amat penting agar masyarakat kini sedar tentang
asal usul nenek moyang mereka dahulu, selain menjadikannya sebagai kesedaran
untuk melindungi dan mengekalkan ketamadunan masyarakat, terutamanya tamadun
Melayu.
5.0
METADOLOGI
KAJIAN
Sesuatu kajian yang hendak
dijalankan perlulah dirancang dengan sebaik-baiknya supaya kajian tersebut
berjaya mencapai tujuan sebenar. Tanpa perancangan yang baik, matlamat sesuatu
kajian akan terbantut dan seterusnya kajian tersebut tidak memberi manfaat dan
kepentingan kepada semua pihak.
Dalam
subtajuk ini, pengkaji akan membincangkan kaedah yang digunakan dalam kajian.
Bentuk kajian dalam penulisan ini ialah berbentuk kajian kepustakaan, iaitu
menggunakan buku karya agung Hikayat Abdullah versi Hamzah Hamdani (menggunakan
bahasa Melayu moden). Hikayat versi ini merupakan adaptasi daripada Hikayat
Abdullah karya asal yang menggunakan bahasa Melayu lama, namun isi, bab, dan
jalan cerita dalam hikayat tersebut masih sama, cuma perubahan dari segi
morfologi dan sintaksis sahaja. Pengkaji akan mengkaji beberapa petikan ayat
dalam Hikayat Abdullah melalui pembacaan skala 1.
6.0
DAPATAN
KAJIAN
Menurut
Sulaiman Masri et. al (2006), dalam
bahagian dapatan kajian, bahagian ini melaporkan keputusan atau dapatan
daripada analisis terhadap data yang telah dikutip dalam kajiannya. Pada
bahagian ini, pengkaji akan memberi tumpuan kepada analisis dapatan kajian,
iaitu membincangkan analisis kajian berdasarkan persoalan kajian yang telah
dikemukakan dalam bahagian 3.0 di atas. Pengkaji akan memetik beberapa petikan
dalam Hikayat Abdullah yang mengkritik tentang sistem feudal semasa zaman
hayatnya. Pengkaji mengelaskan kritikan-kritikan tersebut kepada tiga bahagian,
iaitu aspek bentuk pentadbiran, gaya hidup masyarakat, dan sikap masyarakat.
6.1
ASPEK
PENTADBIRAN DAN PERUNDANGAN
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), pentadbiran bermaksud perbuatan mentadbirkan,
pengelolaan, pengurusan, pemerintahan. Hal ini bermaksud cara atau kaedah untuk
mengendalikan sesuatu organisasi, persatuan, atau unit gerak kerja. Berdasarkan
aspek ini, pengkaji akan mengaitkan dengan beberapa perkara yang berkaitan
seperti bentuk hukuman, undang-undang dan perkara lain yang berkaitan dengan
aspek tersebut. Jika dipetik dalam teks Hikayat Abdullah ini, terdapat beberapa
petikan ayat yang mengkritik terhadap sistem pentadbiran semasa zaman hayatnya.
Sebagai
contoh, bentuk pemerintahan yang diterapkan oleh Belanda. Sewaktu zaman hayat
Abdullah, beliau ada menceritakan tentang perubahan drastik yang dilakukan oleh
Belanda setelah mengambil alih pemerintahan yang diterajui oleh Inggeris sebelumnya.
Perkara ini ada diceritakan dalam bab 12 dalam Hikayat Abdullah, iaitu:
Setelah
negeri Melaka diserahkan oleh Inggeris kepada Belanda, setiap hari ditukarnya
segala adat, perintah, dan hukuman Inggeris. Banyak berlaku aniaya kepada
orang miskin. Setiap hari ada orang kena denda. Cukai-cukai ditambah… Siapa
yang membuat perigi baru, dikenakan cukai. Membangunkan rumah pun bercukai
juga… Segala sekoci yang pergi ke laut pun dikenakan cukai. (Hikayat
Abdullah : 165)
|
Berdasarkan
petikan ini, jelas sekali menunjukkan bahawa bentuk pentadbiran yang diterapkan
oleh Belanda begitu teruk sehingga membebankan rakyat. Sewaktu Inggeris
mentadbir Melaka, Raffles dan Farquhar amat mementingkan kesejahteraan
masyarakat. Menurut Abdullah, bentuk pentadbiran Inggeris pada waktu itu yang
ditadbir oleh Raffles dan Farquhar tidaklah begitu membebankan dan masyarakat
Melaka tiada masalah di bawah pemerintahan Inggeris, malah masyarakat cukup
selesa di bawah pemerintahan Inggeris pada waktu itu. Hal ini sebenarnya turut
dibuktikan dengan pengakuan masyarakat di Singapura ketika Farquhar hendak
pulang ke Eropah, seperti yang diceritakan dalam bab 19, iaitu:
Tidak
berapa lama kemudian, Tuan Farquhar pun hendak pulang ke Eropah. Pecahlah
berita itu. Apabila orang Singapura terdengar berita itu, masing-masing
berasa sedih… Hukumannya adil. Dalam Pekerjaan mahupun hukuman, sikapnya
sama, baik kepada orang kaya mahupun orang miskin.
(Hikayat Abdullah : 232)
|
Berdasarkan
Hikayat ini, Abdullah tidak hanya menceritakan tentang bentuk pentadbiran yang
diamalkan oleh Inggeris, malah beliau juga ada menceritakan tentang pentadbiran
yang dilaksanakan dalam sistem feudal Melayu. Beliau ada menceritakan tentang Raffles
yang mengkritik sistem pentadbiran Melayu yang dijelaskan oleh Tengku Long
(Sultan Husin Syah) yang baru diangkat menjadi sultan pada waktu itu. Hal ini
dapat dijelaskan melalui petikan ayat yang berikut:
Tuan
Raffles duduk di tempatnya. Katanya, “Tuanku dan Temenggung, apakah
hukumannya mengikut undang-undang orang Melayu jika rakyat menderhaka kepada
rajanya?” Jawab Sultan, “Tuan, kalau adat Melayu, orang itu dihukum bunuh
bersama anak isteri dan kaum keluarganya. Tiang rumahnya dibalikkan ke atas
dan bumbung rumahnya dibuang ke laut.”
Setelah
mendengar kata-kata sultan itu, kata Tuan Raffles. “Hukuman itu tidak adil.
Sesiapa yang bersalah, dialah yang patut dihukum. Mengapa anak dan isterinya
turut dibunuh? Sekarang…” (Hikayat Abdullah : 197-198)
|
Berdasarkan
petikan di atas, Raffles begitu tidak bersetuju dengan bentuk hukuman atau
denda yang dilaksanakan dalam sistem feudal atau pentadbiran orang Melayu.
Raffles berpendapat bahawa hukuman tersebut sangat tidak adil kerana hanya
kesilapan seseorang, orang lain turut menanggungnya. Hal ini boleh diibaratkan
seperti kata pepatah “disebabkan nila
setitik, rosak susu sebelanga”. Pengkaji berpendapat bahawa hukuman
tersebut dilaksanakan oleh pembesar-pembesar Melayu disebabkan hukuman tersebut
telah menjadi warisan sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Pengkaji
berpendapat juga bahawa pada waktu itu mungkin penerapan budaya Islam masih
lagi kurang utuh dalam masyarakat. Jika hukuman tersebut dilaksanakan pada
zaman ini, sememangnya pengkaji bersetuju bahawa hukuman tersebut sangat tidak
wajar untuk dilaksanakan kerana hal ini bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Selain
itu, hikayat ini juga ada menceritakan tentang Singapura, iaitu ketika Raffles
mengambil alih tampuk pemerintahan di sana. Setelah negeri Singapura pada waktu
itu bertambah maju dan penduduknya pula semakin ramai, Raffles mula merangka
undang-undang dan membina pentadbiran baru. Perkara ini ada diceritakan dalam
bab 17 Hikayat Abdullah, seperti dalam petikan berikut:
Sesudah
undang-undang itu ditampalkan, segala hukum dan peraturan di Singapura
dikuatkuasakan. Semua bangsa amat sukacita dengan undang-undang yang
dikeluarkan oleh Tuan Raffles, kecuali orang Cina. Dalam undang-undang itu
dilarang bermain judi. Kebanyakan orang Cina mengumpat dan memaki Tuan
Raffles kerana melarang mereka bermain judi.
(Hikayat Abdullah : 220)
|
Berdasarkan
petikan ini, Abdullah menceritakan tentang rasa tidak puas hati dalam kalangan
orang Cina di Singapura tentang undang-undang yang diperkenalkan oleh Raffles
yang tidak membenarkan aktiviti berjudi. Orang Cina menentang undang-undang ini
kerana aktiviti berjudi merupakan sebahagian daripada aktiviti seharian mereka
dan ada sebahagian daripada mereka menganggap judi itu sumber pendapatannya.
Dalam konteks ini, pengkaji berpendapat bahawa undang-undang larangan berjudi
itu seharusnya dilakukan kerana aktiviti judi cenderung untuk terjadinya
perkara-perkara yang tidak diingini seperti pergaduhan, rompakan, peperangan,
dan sebagainya. Pengkaji juga yang berlatar belakangkan agama Islam, sama
seperti Abdullah Munsyi sememangnya tidak bersetuju dengan amalan judi ini yang
bertentangan ajaran agama.
Selain
perkara di atas, Abdullah juga ada menceritakan sedikit tentang Sultan Mahmud,
iaitu sewaktu beliau mangkat. Setelah Sultan Mahmud mangkat, sistem
pemerintahan di Padang menjadi semakin teruk. Pada waktu itu, datang beberapa
orang anak raja secara berperingkat datang ke Padang untuk melakukan
pengkhianatan terhadap rakyat. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan beberapa
ayat yang berikut:
Setelah
Sultan Mahmud mangkat, entah dari mana datangnya, dalam dua tiga hari
singgahlah dua tiga orang anak raja di Padang. Setelah sampai di pantai,
disuruhnya orang membawa tombaknya ke darat untuk meminta beras, ayam, dan barang-barang
lain yang dikehendakinya. Kasihan orang Padang kerana kebodohannya. Apabila
mereka mendengar nama raja atau anak raja, dihormatinya seperti Allah. Dengan
gementar tulangnya, mereka serahkan sebarang kehendaknya tanpa bayaran.
Sepuluh lima belas hari kemudian, datang pula empat lima anak-anak raja.
Mereka pun meminta juga… (Hikayat Abdullah : 334)
|
6.2
ASPEK
SOSIOBUDAYA
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007 : 1519), sosiobudaya bermaksud hubungan masyarakat dengan budaya (seperti cara
hidup, adat istiadat, dan lain-lain). Oleh hal yang demikian, sosiobudaya
merupakan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan budaya masyarakat, seperti gaya
hidup masyarakat, sikap dan perwatakan masyarakat, aktiviti harian, dan
sebagainya. Berdasarkan cerita-cerita yang ditulis dalam hikayat ini, Abdullah
juga turut menceritakan dan mengkritik sistem feudal daripada aspek sosial.
Melalui
pembacaan skala 1 dalam Hikayat Abdullah, pengkaji berpendapat bahawa
kebanyakan kritikan yang dilakukan atau cerita yang ditulis dalam hikayat ini
ialah berkenaan sikap atau budaya orang Melayu di Melaka. Abdullah lebih
cenderung untuk mengkritik orang Melayu kerana sikap mereka yang pemalas. Hal
ini telah diceritakan pada bab penutup hikayat ini yang menjelaskan bahawa
orang Melayu kurang kesedaran untuk memelihara bahasa mereka sendiri, iaitu
bahasa Melayu:
Adakah
semua manusia di dunia ini membuang bahasanya sendiri, dan tidak menyediakan
tempat untuk belajar bahasanya? Orang Melayulah yang tidak mengendahkan
bahasanya sendiri… Hairan aku! Setiap hari dia bertutur dalam bahasa Melayu,
semua yang dibuatnya menggunakan bahasa Melayu, dan dia berkirim surat pun
menggunakan bahasa Melayu. Namun dia tidak mahu belajar bahasa itu.
(Hikayat Abdullah: 388-389)
|
Berdasarkan
petikan ini, Abdullah melahirkan perasaan kecewanya terhadap orang Melayu yang
tidak mahu mempelajari mereka sendiri, seolah-olah mereka cuma menggunakannya
sebagai alat perhubungan semata-mata, tidak mengkajinya secara mendalam.
Tambahan pula, beliau yang bukan berketurunan Melayu membuatkan rasa kecewa
tersebut begitu menebal dalam dirinya. Selain petikan di atas, terdapat petikan
yang menunjukkan sikap atau budaya orang Melayu yang tidak suka belajar ini,
seperti petikan ayat berikut:
Kata
Tuan Raffles, “Tuanku dan Tengku Temenggung, ada satu perkara penting yang
hendak saya khabarkan kepada Tuanku dan tuan-tuan.” Jawab sultan, “Apa dia,
tuan?” Kata Tuan Raffles, “Seorang anak Tuanku, seorang anak Temenggung, dan
dua tiga orang anak menteri sebagai pengiring, saya mahu hantar ke Benggala
kepada Tuan Jeneral Benggala supaya mereka boleh belajar bahasa Inggeris…
supaya mereka tidak menjadi bodoh seperti orang Melayu yang tidak suka
belajar. Sementara mereka masih keci, senang belajar. Dalam masa empat lima
tahun, mereka boleh menjadi orang pandai. (Hikayat
Abdullah:205)
|
Pada
zaman dahulu, Melaka sememangnya menjadi pusat perdagangan dan pelabuhan
entrepot kerana Melaka terletak di pertengahan laluan pelayaran antara timur
dan barat. Ramai pedagang yang berdagang di Melaka pada waktu itu. Namun
begitu, pedagang-pedagang yang wujud pada waktu itu kebanyakannya berasal dari
negeri luar, bukan daripada pedagang tempatan. Hal ini dapat dikaitkan dengan
sistem feudal Melayu, yang menjurus kepada sikap masyarakat tempatan yang tidak
suka berniaga, terutamanya golongan raja atau sultan. Golongan raja tempatan
menganggap aktiviti berniaga itu seperti mengaibkan mereka. Hal in dapat
dijelaskan melalui petikan yang berikut:
Apabila
didengar oleh Sultan dan Temenggung cadangan Tuan Raffles, dia pun tertawa.
Katanya, “Bukan adat raja-raja untuk berniaga, menjadi aib di mata raja-raja
lain.” Demi didengar oleh Tuan Raffles… (Hikayat
Abdullah: 185)
|
Selain
perkara di atas, Abdullah Munsyi juga ada menceritakan tentang aspek sosiobudaya
masyarakat Melayu. Berdasarkan hikayat ini, Abdullah mengkritik sistem feudal
masyarakat Melayu yang menjadikan budaya menyimpan alat-alat senjata oleh
setiap masyarakat. Hal ini menurut Abdullah sangat tidak disukai oleh mereka
kerana perkara ini dianggap membahayakan nyawa mereka. Perkara ini dapat
digambarkan melalui petikan dalam bab 14 yang berikut :
Semenjak
Temenggung berpindah ke Teluk Belanga, reda pergaduhan di Singapura. Namun,
semua orang Sultan, orang Temenggung, dan orang Melayu yang lainnya
masing-masing bersenjata. Apabila mereka bergaduh, segera mencabut senjata
dan bertikam sama sendiri… Pada suatu hari, Tuan Raffles berkata kepada
Sultan dan Temenggung. “Tuanku dan Temenggung, adat memakai senjata ini
terlalu jahat, menjadi kebencian semua bangsa, terutama bagi bahasa Inggeris.
(Hikayat Abdullah : 202)
|
Berdasarkan
petikan di atas, jelas sekali bahawa Abdullah begitu menentang budaya ini
kerana perkara ini sememangnya tidak diterapkan dalam ajaran agama Islam.
Pengkaji juga berpendapat hal ini hanya akan membahayakan nyawa setiap manusia.
Sekiranya berlaku sesuatu perselisihan faham atau pergaduhan sesama mereka,
alat-alat senjata yang menjadi jalan penyelesaiannya. Hal ini sepatutnya boleh
diatasi dengan cara berunding, memberi teguran, nasihat, dan seumpamanya yang
mampu menjaga hubungan sesama manusia (hablum minannas).
Selain
menceritakan perihal golongan pembesar dan rakyat jelata, hikayat ini juga ada
menceritakan tentang kehidupan golongan hamba. Dari segi etimologi, perkataan
hamba berasal daripada perkataan Mesir Purba, iatu hem (hm) yang bermaksud ‘tubuh’. Sistem perhambaan ini sebenarnya
sudah terlalu lama dilaksanakan. Sejak zaman dahulu lagi, sistem hamba ini
diwujudkan atas kepentingan-kepentingan tertentu, antaranya digunakan untuk
melakukan kerja-kerja berat, tempat untuk melepaskan kemarahan bagi
pemilik-pemilik hamba yang jahat, dan sebagainya. Hal ini ada diceritakan dalam
bab 15 Hikayat Abdullah tentang golongan hamba yang diiringi oleh orang Bugis
ke Singapura, seperti petikan di bawah:
Pada
suatu hari, ketika musim orang Bugis datang ke Singapura, ku lihat kira-kira
enam puluh orang hamba, laki-laki dan perempuan, dibawa oleh orang Bugis
berjalan berkeliling negeri Singapura… Tidak lama kemudian, ku lihat
beratus-ratus orang Cina hendak membeli hamba-hamba itu… Aku sedih melihat
hamba-hamba itu diseksa: makan nasi dalam tempurung dan minum air dalam
bambu, seperti orang memberi makan anjing… Pemilik-pemilik hamba itu
kelakuannya seperti binatang yang tidak tahu malu dan tidak takut kepada
Allah. Budak-budak perempuan yang muda-muda itu duduk berdekatan dengan dia.
Kelakuan mereka memalukan, tidak sanggup aku menuliskannya di sini.
(Hikayat Abdullah : 211-212)
|
Petikan
di atas menceritakan tentang orang Bugis yang membawa sekumpulan hamba daripada
sebuah kawasan (tidak dinyatakan kawasan) ke Singapura untuk dijual kepada
orang di sana, seperti orang Cina. Golongan hamba di atas boleh dikategorikan
sebagai hamba abdi. Berdasarkan petikan di atas, pengkaji berpendapat bahawa
hamba ini sememangnya tidak lari dengan layanan yang teruk oleh golongan
atasan. Mereka ini dijadikan sebagai tempat melepaskan marah, tempat untuk
melepaskan nafsu, dan sebagainya.
Hal ini tidak sama sebagai mana yang
berlaku ajaran Islam. Apabila Islam datang ke dalam masyarakat Jahiliah,
Islam telah membantah sebarang bentuk penindasan terhadap hamba abdi. Ajaran Islam menyamaratakan
status manusia, sama ada dari kalangan atasan, hamba, bangsa atau kaum,
semuanya sama di sisi Islam. Oleh itu ramai antara mereka yang mula memeluk
agama Islam adalah dari golongan yang miskin dan ditindas. Antara orang pertama
yang memasuki Islam ialah Bilal bin Rabah, seorang hamba abdi. Kehebatan cara
Islam menangani permasalahan hamba sahaya turut mendapat sanjungan
pejuang-pejuang salib Eropah. Pejuang-pejuang ini menyatakan bahawa layanan
terhadap hamba abdi di zaman permulaan Islam tidak pernah berlaku di
tempat-tempat lain sebelum ini di mana hamba yang telah mendapat kemerdekaan
enggan berpisah dengan tuan mereka kerana telah menganggap diri mereka sebagai
sebahagian daripada anggota keluarga tuan mereka. Rasulullah S.A.W. sendiri
melarang pemilik hamba mengungkit-ungkit status hamba mereka, malah disuruh
dilayani dengan cara yang lembut.
Dalam
Hikayat Abdullah, selain hamba abdi, Abdullah juga ada menceritakan tentang
kehidupan hamba sultan. Hamba sultan atau hamba raja ialah hamba yang tinggal
di istana untuk tujuan-tujuan tertentu. Kebiasaannya, hamba raja ini berada di
istana, seperti gundik raja. Abdullah juga ada menceritakan tentang konflik
yang berlaku dalam sistem feudal, iaitu antara golongan pembesar dan golongan
hamba. Hal ini dapat dijelaskan melalui petikan ayat yang berikut:
Kira-kira
sebulan kemudian, pada suatu pagi pukul lima setengah, seramai dua puluh
tujuh orang budak-budak perempuan yang muda-muda dan baik-baik rupanya,
datang membuat aduan kepada polis. Seorang membukakan belakangnya, ada tanda
bersilang bekas rotan. Ada yang bekas digantung, ada yang bekas dibakar
dengan damar, dan ada yang berkata, “Setiap hari kami diseksa, tiada cukup
makan dan pakai, dam ada pula yang dibakar anu dengan damar.” Ada pula yang
berkata, “Ada tiga empat orang kawan saya yang disuruh oleh Encik Perempuan
(Wan Esah, isteri kedua Sultan Husin) kerana cemburu, takut tuanku
menjadikannya gundik.” (Hikayat Abdullah : 268)
|
Berdasarkan
petikan di atas, ada dua situasi yang dijelaskan tentang hamba raja atau hamba
sultan ini. Pertama, ialah tentang layanan terhadap hamba sultan. Berdasarkan
aduan hamba-hamba tersebut, jelas sekali bahawa golongan pembesar dan golongan
raja memberi layanan yang begitu buruk kepada mereka. Hal ini ditambah lagi
dengan situasi kedua, iaitu tentang rasa cemburu isteri sultan terhadap hamba
sultan. Kebiasaannya, hamba sultan terdiri daripada golongan wanita muda yang
cantik. Hal ini akan menyebabkan kerisauan golongan isteri-isteri raja
sekiranya seseorang sultan itu mahu menjadikan sebahagian daripada hamba mereka
sebagai gundik.
Kezaliman
raja-raja Melayu ini juga sebenarnya ada diceritakan dalam bab lain. Abdullah
begitu lantang mengkritik raja-raja Melayu yang zalim terhadap masyarakat di
bawah mereka. Begitu banyak perkara keji yang dilakukan, seperti yang
dijelaskan dalam petikan berikut:
Kezaliman
raja-raja Melayu bukanlah kecil. Umpamanya mengambil anak isteri orang yang
disukainya seperti menangkap ayam tanpa ingat takut kepada Allah dan malukan makhluk.
Apa lagi membunuh orang… Dia juga merompak harta dan membunuh orang, dan
mengambil tawanan… Raja-raja sangat suka berjudi, menyabung, menghisap candu,
dan menyimpan banyak hamba… Dia juga mengambil tunangan orang dengan paksa…
Mereka menghinakan hamba Allah yang
sama kejadian dengannya yang dipandangnya seperti seekor anjing… Dia
menyimpan berpuluh-puluh anak perempuan sebagai gundik di istana. (Hikayat
Abdullah: 330-331)
|
Dalam
aspek sosiobudaya ini juga, pengkaji turut mengkritik beberapa kenyataan
Abdullah Munsyi tentang sistem feudal daripada sudut sikap, iaitu sikap
pemimpin atau pembesar. Pemimpin ialah nadi kepada pembentukan sesebuah
tamadun. Jika pemimpin menunjukkan gaya kepimpinan yang tidak baik, masyarakat
pun akan mengikut sama. Berdasarkan hikayat ini, Abdullah ada menceritakan
tentang jalinan hubungan baik antara pembesar dalam mentadbir sesebuah
kerajaan. Hal ini dapat dijelaskan melalui petikan dalam bab ke-27 seperti yang
berikut:
Tuan
Gabenor Butterworth sangat baik dengan Temenggung Seri Maharaja. Mereka
menjadi sahabat yang setia di antara satu dengan lain sehingga Temenggung
taat di bawah pemerintahannya. Tuan Gabenor menerima Temenggung itu seperti
bapa memeliharakan anaknya. Kerana hubungan yang amat baik itu, Gabenor
mendapat maklumat mengenai nama semua ketua perompak. Tempat-tempat
persembunyian para perompak yang sukar ditemui oleh kapal-kapal perang dan
kapal asap, Temenggung akan disuruh oleh Gabenor menangkap perompak-perompak
itu…
Atas kebaktian Temenggung membantu
pemerintah, Tuan Gabenor Butterworth telah memberitahu kepada Tuan Besar
Jeneral di Benggala. Tuan Jeneral sangat suka, dan menghantar suatu
alamatulhayat daripada Kompeni Inggeris kepada Tuan Gabenor Butterworth.
Minta disampaikan kepada Temenggung Seri Maharaja. Berita mengenai anugerah
kebesaran dari Benggala kepada temenggung tersebar di Singapura.
(Hikayat Abdullah: 370-371)
|
Hubungan
yang baik sesama ahli dalam sesuatu pentadbiran itu sememangnya memberi manfaat
yang berguna kepada mereka. Apabila wujudnya kolaborasi hubungan yang baik
antara setiap golongan, sudah pasti segala gerak kerja, masalah-masalah dalam
pentadbiran, semuanya dapat diatasi dengan baik. Berdasarkan petikan di atas
ini, wujudnya kerjasama dan hubungan yang baik antara Temenggung dan Tuan
Gabenor tersebut kerana hubungan mereka yang sudah terjalin dengan begitu baik.
Apabila wujudnya hubungan sebegini, secara tidak langsung kolaborasi antara
peranan mereka dalam organisasi atau pentadbiran berjalan seiring tanpa
sebarang masalah.
Selain
perkara di atas, Abdullah juga ada menceritakan tentang sikap pemimpin yang
kurang disenangi, sama ada dalam kalangan pembesar itu sendiri mahupun golongan
rakyat. Sebagai seorang pemimpin, sikap atau perwatakannya sebagai pemimpin
perlu diambil serius kerana orang bawahannya akan mengikut contoh teladan yang
dilakukan oleh pemimpin mereka. Dalam hikayat ini, Abdullah menceritakan salah
satu sikap Sultan Husin Syah yang tidak memberi layanan sama rata terhadap
golongan pembesar dalam pentadbirannya, dalam erti lain, layanannya terhadap
orang bawahan berat sebelah. Hal ini dapat dinyatakan seperti dalam petikan
berikut:
Aku
mendengar berbagai-bagai khabar mengenai istana Sultan Singapura. Khabarnya
Sultan sangat menyayangi seorang peranakan India di Melaka bernama Abdul
Kadir bin Ahmad Sahib, asalnya dari Muhammad Bandar. Abdul Kadir sangat
dipercayai, dan tinggal di istana seperti ahli keluarga Sultan. Keadaan itu
sangat sumbang pada pandangan orang-orang besar dan kaum keluarga Sultan.
Mereka berasa cemburu kepada Abdul Kadir… Sejak ada Abdul Kadir, dialah yang
dilebih-lebihkan dibandingkan menteri dan orang-orangnya… Apa katanya, itulah
kata Sultan… Barangkali mereka sangat dengki kepada Abdul Kadir kerana amat
dikasihi Sultan. Mungkin kerana sejak adanya Abdul Kadir, mereka semua tidak
berguna kepada Sultan. (Hikayat Abdullah: 324-325)
|
7.0
KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, banyak kritikan, penjelasan, dan situasi yang diceritakan oleh
Abdullah dalam Hikayat Abdullah ini. Sepanjang hidup beliau, beliau sudah masak
dengan rencam hidup masyarakat di Tanah Melayu, terutamanya di Melaka dan
Singapura. Abdullah banyak melakukan kritikan yang tegas terhadap sikap bangsa
Melayu. Namun begitu, beliau juga lantang mengkritik sikap dan perwatakan
beberapa pemimpin Barat yang turut kurang disenangi oleh orang Melayu.
Menurut
Abdullah dalam Hamzani Hamdani (2007:382), beliau berpendapat bahawa ada
beberapa sebab berlakunya kecelakaan terhadap orang Melayu khususnya. Sebab
utamanya ialah kerana kecelakaan dan aniaya raja-rajanya terhadap segala
rakyatnya, sehingga hati rakyatnya gersang umpama tanah yang tidak berbaja.
Hidupnya seperti pohoh kayu di hutan, ke mana ditiup angin, di sanalah ia
rebah. Dia selalu diperintah oleh bangsa lain. Orang Melayu itu seperti ikan
kecil yang menjadi makanan ikan yang besar. Jadi, bolehlah disimpulkan di sini
bahawa orang Melayu ini banyak dikritik oleh Abdullah kerana sikap mereka
sendiri.
Sepanjang
penganalisisan terhadap karya agung ini, pengkaji berpendapat bahawa Abdullah begitu
tegas mengkritik orang Melayu dari segi sistem feudal masyarakat Melayu.
Walaupun kebanyakan kritikannya ditujukan kepada Melayu, beliau juga tidak ketinggalan
mengkritik beberapa keburukan pihak Barat terutamanya sikap mereka dalam
mentadbir di Tanah Melayu. Pengkaji juga berpendapat bahawa penulisan dalam
Hikayat Abdullah ini sebenarnya menjadi titik kesedaran terhadap orang Melayu
kini supaya mereka tidak lagi menjadi orang Melayu yang dahulu. Abdullah
bukanlah berketurunan Melayu dan beliau kurang bergaul dengan masyarakat, malah
segala perkara yang berlaku di sekelilingnya hanyalah berlaku secara sekali
imbas dan beliau kurang memahami cara kehidupan orang Melayu. Walau
bagaimanapun, sekurang-kurangnya kita sedar bahawa cara kehidupan orang Melayu
dulu sememangnya lebih banyak yang terseksa kerana sistem feudal yang diamalkan
oleh mereka yang tidak berlandaskan ajaran Islam. Pengkaji yakin sekiranya sistem
tersebut diteruskan sehingga hari ini, orang Melayu pastinya tidak mencapai
kemajuan sebagaimana yang diperoleh hari ini.
BIBLIOGRAFI
Husin Ali (2006). Merdeka, Rakyat, Dan Keadilan.
Petaling Jaya : Strategic Information
Research Development
Hamzah Hamdani
(2007). Hikayat Abdullah. Batu caves
: PTS Utusan Publications And
Distributors
Sdn. Bhd
Ismail hamid (1988). Masyarakat dan budaya Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007). Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka
Sulaiman Masri et.al (2006). Bahasa Melayu: Dimensi Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala
Lumpur
: Utusan Publications And Distributors Sdn. Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan