Assalamualaikum

TOKOH-TOKOH PENGARANG KARYA AGUNG

TOKOH-TOKOH PENGARANG KARYA AGUNG
Ketokohan merujuk kepada kekuatan dan keistimewaan seseorang tokoh. Pengarang yang akan dibincangkan ialah Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji, Hamzah Fansuri, Sheikh Syamsuddin Al Sumatrani dan Abdullah Munsyi. Tun Seri Lanang terkenal sebagai penulis historiografi, Raja Ali Haji karyawan intelektual, Hamzah Fansuri dalam bidang puisi masnawi, dan Sheikh Syamsuddin Al-Sumatrani anak murid beliau manakala Abdullah Munsyi merupakan tokoh kesusasteraan.

TUN SERI LANANG

Tun Seri Lanang merupakan penulis dan pengarang Sejarah Melayu. Walaupun banyak pandangan yang berbeza daripada kedudukannya sebagai pengumpul, penyusun, penyunting dan pengarang, tetapi Tun Seri Lanang tetap dipersetujui sebagai orang yang bertanggungjawab dalam merealisasikan kehendak Sultan Abdullah Maayah Shah Ibni Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah, dalam suatu majlis di hadapan pembesar negeri menyatakan kewujudan sebuah Hikayat Melayu di Goa, Sulawasi. Baginda memerintahkan didapatkan kitab tersebut, diperbaiki dan dibaca untuk panduan generasi akan datang.

Tun Sri Lanang adalah nama timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Pada ketika itu, ramai bangsawan dan rakyat Johor yang mengikut beliau ke Aceh dan dikatakan seramai ribuan orang yang mengikut beliau ke sana. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’.

Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana. Pada waktu itu, beliau telah berjaya menjadikan negeri Samalanga sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam di timur Aceh dan sehingga kini pun kawasan tersebut masih lagi menjadi tumpuan bagi sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu agama.

Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana karyanya iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)yang merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri, ulama dan penasihat agama Sultan Aceh, telah memperakukan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin kerana beliau kenal rapat dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614 selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan terlengkap yang menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara.

Karya-karya yang dimuatkan dalam kitab ini termasuklah yang berunsur humor dan kisah-kisah cinta serta salasilah raja-raja yang telah disampaikan mesejnya kepada pembaca melalui imaginasi yang kaya, lukisannya yang tepat dan tajam. Pengarang juga berjaya menunjukkan penguasaan beliau dalam pelbagai bahasa  asing seperti bahasa Arab dan Jawa. Penggunaan bahasa Melayunya pula dikarang dengan indah dan sesuai dijadikan panduan penulisan sepanjang zaman. Melalui karya ini, dapat dibuktikan bahawa penulis iaitu Tun Sri Lanang mempunyai minat yang tinggi dengan sejarah dan suasana pergolakan politik Melaka pada waktu itu. Beliau sangat berminat membaca naskhah sastera dan sejarah tertua seperti Hikayat Raja-raja Pasai (Kesultanan Pasai-Samudra) yang sedikit sebanyak menyumbang kepada idea penulisan dalam karya Sulalatus Salatin. Kini, ratusan puisi, drama, filem, lukisan, esei dan karya sejarah adalah diilhamkan daripada kitab Sulalatus Salatin yang juga banyak diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti bahasa Jerman, Russia dan Inggeris.

Sumber : Mohd Rashid Md Idris et. al. (2013). Pengayatan Karya Agung Melayu.Tangjung Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris                                                               :http://bintangpelangiku.blogspot.com/2011/07/tun-sri-lanang-pengarang-danpenyusun.html






            RAJA ALI HAJI

Raja Ali Haji ( 1809 – 70 ). Beliau ialah salah seorang di antara sasterawan yang sezaman dengan Abdullah tetapi mempunyai latar  pendidikan yang berbeza. Raja Ali Haji yang berpendidikan Arab masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik  yang banyak dipengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur bahasa Arab. Perhatikan bahasa yang terdapat di dalam petikan Tuhfat Al-Nafis seperti yang berikut ini:

Bis-mi’llahi’r-rahmani’r-rahim.Maka pada ketika di dalam Hijrat al-Nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam seribu dua ratus delapan puluh dua tahun dan pada tiga haribulan Syaaban yang maha besar dan berbangkitlah hatiku bahawa memperbuat kitab ini yang simpan, dan di dalamnya menyatakan silsilah dan perjalanan dan tawarikh dan segala anak-anak mereka itu. Dan aku namai akan dia “Tuhfat al-Nafis” pada menyatakan kelakuan daripada Raja-raja Melayu serta Bugis.Padahal mengharapkan aku akan Allah yang mengampuni daripada tersalah pada segala tawarikh dan perjalanannya.Ya Tuhanku, perkenankan oleh-Mu akan pinta hamba-Mu intiha.

Walaupun Raja Ali Haji dapat dikatakan sezaman dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi,tetapi bahasa mereka Nampak jauh berbeza. Hal ini tidaklah menghairankan kerana mereka memiliki latar belakang pendidikan yang berbeza, kerjaya yang berbeza dan lingkungan yang berbeza. Abdullah berpendidikan Inggeris, bekerja sebagai penterjemah bahasa Inggeris dan hidup di tengah-tengah masyarakat perdagangan di Singapura.Raja Ali pula berpendidikan Arab, pendakwah dan hidup di tengah-tengah masyarakat pertanian di Riau.

Raja Ali Haji merupakan seorang penulis yang berbakat pada zamannya. Sumbangan beliau dalam lapangan bahasa, persuratan, sejarah dan agama telah menjadi bahan kajian ramai sarjana dan orientalis. Di antara beberapa  karya beliau yang penting ialah sebuah karya yang berjudul Bustanul-Katibin Lissubyanil-Muta’alimi atau dalam bahasa Melayu, Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Menuntut Belajar Akan Dia. Hasilnya merupakan sebuah karya kritis tentang nahu bahasa Melayu. Buku ini dikarang oleh beliau pada 20 Syaaban 1273 bersamaan 15 April 1857.Buku ini diusahakan dengan menggunakan cap batu di penyegat. Karya ini banyak diulas dan diterjemahkan ke dalam bahasa Belanda oleh Van Ronkel dalam Tijdschrift Voor Indische Taal Land-en Volkenkunde pada tahun 1901.

Bustanul-Katibin mengandungi mukadimah (pendahuluan), 31 fasal dan khatimah (penutup) serta tebalnya 70 halaman. Isinya pula boleh dibahagikan  kepada dua bahagian,satu bahagian berkenaan penulisan Melayu dan bahagian-bahagian yang lain berkenaan nahu bahasa Arab yang telah disesuaikan  dengan bahasa Melayu. Mengenai bahagian yang pertama ini dapatlah dikatakan bahawa pengarang agak berjaya, tetapi tidak pada bahagian yang kedua itu. Buku ini dianggap kurang memuaskan oleh sarjana Belanda yang bernama H. Von de Wall. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu pada zaman itu karya tersebut merupakan sebuah karya yang bernilai.Buku itu juga telah digunakan secara meluas di sekolah-sekolah Melayu di Johor dan Singapura. Raja Ali Haji boleh dianggap sebagai ‘pujangga’ bercorak klasik yang akhir sekali, dan fakta ini terdapat dalam karyanya itu. Beliau cuba menggunakan  system penggunaan nahu untuk bahasa Melayu, tetapi apa yang sebenarnya berlaku ialah beliau masih lagi mempertahankan bahasa klasik.

Sebuah lagi karya Raja Ali Haji yang penting berkaitan bahasa Melayu ialah Kitab Pengetahuan Bahasa.Buku ini merupakan usaha yang berkaitan lapangan-lapangan perkamusan. Buku ini ditulis dalam tahun 1858 tetapi diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1928 M oleh percetakan Al-Ahmadiah di Singapura. Dalam memperkatakan perkembangan bahasa Melayu pada abad kesembilan belas, kita tidak boleh lari daripada memperkatakan kegiatan sasteranya. Raja Ali Haji  tidak ketinggalan dalam menghasilkan karya dalam bidang ini. Raja Ali Haji pernah mengarang sejumlah gurindam yang sangat terkenal dalam lapangan sastera lama iaitu Gurindam Dua Belas.Gurindam ini diciptanya dalam dua belas fasal; ada fasal yang bersangkutan dengan soal –soal ibadat perseorangan, kewajipan raja-raja dan sifat-sifat bermasyarakat. Ada pula yang berkaitan dengan tugas orang tua terhadap anak mereka, kewajipan anak kepada orang tua dan lain-lain lagi. Gurindam-gurindam ini pernah disiarkan dalam jurnal berbahasa Belanda iaitu Tijdschrift Voor Indische Taal Land-en Volkenkunde No.2, pada tahun 1853 dengan judul De Twalf Spreukgedichten.

Dalam bidang sejarah, terdapat dua buah karya Raja Ali Haji yang penting iaitu Kitab Salasilah Melayu dan Bugis dan Tuhfat al-Nafis. Kitab Salasilah Melayu dan Bugis telah dihasilkan pada tahun 1860, sementara kitab Tuhfat al-Nafis pula dihasilkan pada tahun 1865. Kedua-dua karya ini membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan raja-raja Bugis, asal usul mereka dan pergolakan politik yang mereka alami sehingga menyebabkan mereka tersingkir daripada kuasa diraja tradisonal dari kepulauan Riau. Tuhfat al-Nafis pula merupakan sebuah hasil sejarah Melayu yang penting. Karya sejarah ini memperlihatkan betapa besarnya Raja Ali Haji sebagai seorang ahli sejarah dan pencatat peristiwa zamannya. Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, kandungannya memperkatakan hal-hal yang berlaku sebelum zamannya yang merangkumi lapan puluh peratus daripada kandungannya. Sementara bahagian kedua, memperkatakan sejarah semasa yang ditulis berlaku ketika hayatnya.

Faktor yang menganggap Raja Ali Haji sebagai pelopor penulisan sejarah Melayu di kalangan tokoh-tokoh ssejarah tradisional yang lain ialah kerana kesedarannya dalam menulis sejarah, serta motif penulisannya adalah untuk kepentingan sejarah. Jika kita tinjau dari sudut nahu pula, kita dapati beliau begitu terpengaruh dengan nahu Arab.Namun begitu kita tidaklah boleh menyamakan kedudukan beliau pada masa itu dengan keadaan yang ada pada zaman ini. Didikan yang beliau perolehi pada masa itu adalah masih bercorak tradisional dan gaya bahasa yang digunakannya adalah bersesuaian dengan gaya bahasa pada masa tersebut.

Raja Ali Haji meninggalkan beberapa banyak karya yang terkenal dan menjadi kajian intelektual baik peringkat alam Melayu mahupun peringkat antarabangsa, iaitu Gurindam Dua Belas, ( 1846 M ), Bustanul- Katibin Lissubyanil-Muta’alimi,(1267 H/1850 M ), Kitab Pengetahuan Bahasa (1865 M), Salasilah Melayu dan Bugis (1860 M) Tuhfat al-Nafis (1865 M), Thamarat al-Muhimmat Li Jafahli al umara Wal Kubara Li Ahli al Mahkamah,Syair Nikah, Syair Gemala Mustika, Syair Abdul Muluk, Jauharat Makmunah, Syair Suluh Pegawai dan lain-lain.
Sumber :http://zaifulzanirisham.blogspot.com/2011/11/2.html



HAMZAH FANSURI
Hamzah Fansuri adalah tokoh ugama yang menggegarkan dunia melalui puisi-puisi sufinya. Menurut sastrawan Abdul Hadi MW, Hamzah Fansuri merupakan pencipta "syair Melayu" yang bercirikan puisi empat baris dengan pola rima akhir "a-a-a-a". Bakatnya sebagai sasterawan besar terserlah dalam kemampuan dan kreativitinya merubah bahasa lama menjadi bahasa baru dengan cara memasukkan ratusan kata Arab, istilah konseptual dari Al Quran dan falsafah Islam. Bahasa ini kemudiannya menjadi sebagai bahasa intelektual yang dihormati sebab dapat menampung gagasan baru yang diperlukan pada zaman itu. Hamzah Fansuri lahir di Barus atau Fansur iaitu sebuah kawasan yang merupakan pusat pendidikan Islam dan melahirkan ramai ulama terkenal.Hamzah mendapat pendidikan di merata tempat seperti Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan negara-negara Arab. 

Sekembalinya ke Barus, beliau menjadi guru agama di Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah ( 1588-1604).  Salah seorang pelajarnya ialah Syamsuddin Al-Sumaterani. Hamzah berkebolehan dalam bidang pendidikan dan pernah menjadi penasihat kepada Sultan Aceh dan banyak membantu Sultan Aceh dalam hal pentadbiran negeri. Hamzah bukan sahaja ulama tetapi juga seorang sasterawan.  Beliau menguasai bidang agama, fikah, tasawuf, mantik, sejarah, falsafah, dan menguasai pelbagai bahasa seperti Urdu, Arab dan Parsi. Dalam bidang sastera, Hamzah terkenal sebagai seorang penyair.  Karangan syairnya banyak mengandungi unsur falsafah yang tinggi. Hamzah telah memperkenalkan sastera sufi atau mistik. Hamzah adalah pengasas dan berpegang kuat kepada Aliran Wahdatul Wujud.  Beliau telah mendirikan madrasah dan mempunyai ramai pelajar atau pengikut dan merupakan pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan. 

Hamzah adalah pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan yang bersifat akhliah atau ilmiah.  Karyanya ditulis dalam Bahasa Melayu.  Kebolehannya dalam pelbagai bahasa membolehkannya menghayati karya-karya dari bahasa lain. Contoh karya Hamzah dalam bentuk puisi yang berunsur agama dan tasawuf ialah Syair Perahu, Syair Dagang, Syair Burung Pingai, dan Syair Sidang Fakir.   Berdasarkan pemikiran beliau yang tinggi dalam karya-karyanya beliau ditempatkan sebagai pelopor kesusasteraan Melayu Moden oleh Syed Naquib Al Attas dan bukannya Munsyi Abdullah seperti yang dikemukakan oleh sarjana Barat.
Pengaruh karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri terhadap masyarakat pada zamannya amat besar terutama fahaman Wahdatul Wujud yang disebarkannya.  Pengikutnya yang terkenal ialah Syamsuddin Al-Sumaterani.




SHEIKH SHAMSUDDIN AL-SUMATRANI

Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani yang hidup abad 16-17 Masihi. Beliau adalah Sheikhul Islam atau Mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil (1589-1604). Beliau juga terkenal sebagai salah seorang pendokong kuat fahaman Martabat Tujuh .

Mungkin ramai yang tidak menyedari ini, ulamak yang termasuk di dalam kumpulan empat orang ulamak agung Aceh ini telah meninggal dunia dan dimakamkan di Melaka, bukannya di Indonesia! Ini kerana beliau dipercayai terlibat sama dalam serangan Aceh ke atas Portugis yang dilakukan tahun 1629, semasa Aceh berada di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Johan Berdaulat (1607-1636). Tarikh wafat nya ada dicatatkan oleh musuh pegangannya,Nuruddin ar-Raniri,iaitu pada malam Isnin,12 Rejab 1039H/1630M. Dikatakan makamnya masih ada lagi di Kampung Ketek, juga dikenali dengan nama Kampung Pali, tidak jauh daripada Masjid Kampung Hulu yang berusia hampir 300 tahun??

Sufi Legendaris dari Nangroe Aceh :
Sejak lama Aceh telah dikenal sebagai satu-satunya daerah yang aksentuasi keislamannya paling menonjol. Selain menonjolnya warna keislaman dalam kehidupan sosio-kultur di sana, ternyata di Serambi Mekah ini pernah tersimpan pula sejumlah Sufi ternama semisal Samsuddin Sumatrani.

Syamsuddin Sumatrani adalah salah satu tokoh sufi terkemuka yang telah turut men corak esoteris pada wajah Islam di Aceh. Sayangnya perjalanan hidup sang sufi ini sulit sekali untuk dirangkai secara utuh. Hal ini selain karena tidak ditemukannya catatan otobiografinya, juga karena sukarnya mendapat sumber-sumber tepat yang dapat dirujuk. Bahkan tidak kurang peneliti seperti Prof. Dr. Azis Dahlan yang pernah mengadakan penelitian untuk disertasinya, merasa kesulitan mencari sumber-sumber mengenai tokoh sufi yang satu ini. Diantara sumber tua yang dapat dijumpai mengenai potret Syamsuddin Sumatrani adalah Hikayat Aceh, Adat Aceh, dan kitab Bustanu al-Salathin. Itupun tidak memotret perjalanan hidupnya secara terperinci. Meski demikian, dari serpihan-serpihan data sejarah yang terbatas itu, cukuplah bagi kita untuk sekedar memperoleh gambaran siapa Syamsuddin Sumatrani dari spektrum pemikirannya.

Mengenai asal-usulnya, tidak diketahui secara pasti bila dan di mana ia lahir. Perihal sebutan Sumatrani yang selalu diiringkan di belakang namanya, itu merupakan penisbahan dirinya kepada “negeri Sumatra” alias Samudra Pasai. Sebab memang di kepulauan Sumatra ini dulunya pernah berdiri sebuah kerajaan yang cukup ternama, yakni Samudra Pasai. Itulah sebabnya ia juga adakalanya disebut Syamsuddin Pasai.
Menurut para sejarawan, penisbahan namanya dengan sebutan Sumatrani ataupun Pasai mengisyaratkan adanya dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, orang tuanya adalah orang Pasai (Sumatra). Dengan demikian maka bisa diduga bahwa ia sendiri dilahirkan dan dibesarkan di Pasai. Jika pun ia tidak lahir di Pasai, maka kemungkinan kedua bahwa sang ulama terkemuka pada zamannya ini telah lama bermukim di Pasai .
Berbicara tentang peranan Sumatra sebagai pusat pengajaran dan pengembangan Islam, Negeri Pasai itu memang lebih dahulu terkemuka daripada Banda Aceh. Paling tidak Samudera Pasai lebih dulu terkemuka pada kisaran abad ke-14 dan 15 M, yakni sebelum akhirnya Pasai dikuasai oleh Portugis pada tahun 1514. Sementara beralihnya tampuk kekuasaan Negeri Pasai kepada Kerajaan Aceh Darussalam baru berlangsung pada tahun 1524.

Peranan dan Pengaruh : 
Pada masa pemerintahan Sayyid Mukammil (1589-1604), Syamsuddin Sumatrani sudah menjadi orang kepercayaan Sultan Aceh. Sayang dalam kitab Bustan al-Salathin sendiri tidak disingkapkan bagaimana perjalanan Syamsuddin Sumatrani sehingga ia menjadi ulama yang paling dipercaya dalam lingkungan istana kerajaan Aceh selama tiga atau empat dasawarsa.

Syamsuddin Sumatrani wafat pada tahun 1039 H/1630 M, dan selama beberapa dasawarsa terakhir dari masa hidupnya ia merupakan tokoh agama terkemuka yang dihormati dan disegani. Ia berada dalam lindungan dan bahkan berhubungan erat dengan penguasa Kerajaan Aceh Darussalam.

Syamsuddin Sumatrani adalah satu dari empat ulama yang paling terkemuka. Ia berpengaruh serta berperan besar dalam sejarah pembentukan dan pengembangan intelektualitas keislaman di Aceh pada kisaran abad ke-l7 dan beberapa dasawarsa sebelumnya. Keempat ulama tersebut adalah Hamzah Fansuri (?-?), Syamsuddin Sumatrani (?-1630), Nuruddin Raniri (?-1658), dan Abdur Rauf Singkel (1615/20-1693). Mengenai ada tidaknya hubungan antara Syamsuddin Sumatrani dengan ketiga ulama lainnya, ada baiknya disinggung seperlunya.

Mengenai hubungan Hamzah Fansuri dengan Syamsuddin Sumatrani, sejarawan A. Hasjmy cenderung memandang Syamsuddin Sumatrani sebagai murid dari Hamzah Fansuri. Pandangannya ini diperkuat dengan ditemukannya dua karya tulis Syamsuddin Sumatrani yang merupakan ulasan (syarah) terhadap pengajaran Hamzah Fansuri. Kedua karya tulis Syamsuddin Sumatrani itu adalah Syarah Ruba’i Hamzah Fansuri dan Syarah Syair Ikan Tongkol.

Adapun hubungannya dengan Nuruddin ar-Raniri, hal ini tidak diketahui secara pasti. Yang jelas adalah bahwa tujuh tahun setelah Syamsuddin Sumatrani wafat, Raniri memperoleh kedudukan seperti sebelumnya diperoleh Syamsuddin Sumatrani. Ia diangkat menjadi mufti Kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 1637 oleh Sultan Iskandar Tsani. Karena fatwanya yang men-zindiq-kan (mengkafirkan) paham wahdatul wujud Syamsuddin Sumatrani, maka para pengikut Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumatrani dihukum oleh pihak penguasa dengan hukuman bunuh. Bahkan literatur-literatur yang mereka miliki dibakar habis. Namun demikian, para pengikut paham Sumatrani itu ternyata tidak punah semuanya.Ada juga pendapat menyebut bahawa Syamsuddin Sumatrani pernah belajar dengan Sunan Bonang, seorang Wali Allah di Tanah Jawa.

Pada kisaran tahun 1644 Raniri disingkirkan dari kedudukannya selaku mufti kerajaan Aceh Darussalam. Ia pun terpaksa pulang ke Ranir, Gujarat. Sebagai penggantinya, Sultanah Tajul Alam Safiatuddin (1641-1675) kemudian mempercayakan jabatan mufti kerajaan kepada Saiful Rijal. Saiful Rijal adalah seorang Minang yang juga penganut faham wahdatul wujud. Pada waktu itu ia baru pulang kembali ke Aceh dari pendalaman kajian agama di India. Dengan demikian, faham tasawuf Syamsuddin Sumatrani itu kembali mewarnai corak keislaman di Kerajaan Aceh Darussalam.
Karya-karya : 

Aktiviti penulisan pengetahuan keislaman di Aceh memang dimulai oleh Hamzah Fansuri, yang dilanjutkan oleh Syamsuddin Sumatrani sebagai murid nya. Apa yang ditulis oleh Syamsuddin Sumatrani adalah senada dan seirama dengan fahaman dan tulisan Hamzah Fansuri. Pengetahuan sufi tahap muntahi kedua tokoh ini tidak pernah ditentang oleh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri (Syiah Kuala) sepertimana diputarbelitkan dari sudut sejarah dan ilmiyah oleh setengah penulis yang mengatakan Abdul Rauf Fansuri memihak kepada Nuruddin ar-Raniri. Pembicaraan Martabat 7 yang dimulai dari Hamzah Fansuri turun kepada Syamsuddin Sumatrani,turun kepada Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri, kemudian kebelakang disokong oleh beberapa orang ulama nusantara seperti Abdus Shamad al-Falimbani. Didalam karya nya ‘Siyarus Salikin’, Abdus Shamad al-Falimbani mengiktiraf karya-karya Syamsuddin Sumatrani sebagai ajaran tasauf peringkat muntahi.

Karya-karya Syamsuddin Sumatrani ditulis sebagian berbahasa Arab, sebagian lagi berbahasa Melayu (Jawi). Diantara karya tulisnya adalah seperti berikut:
1. Jawhar al-Haqa’iq (30 halaman; berbahasa Arab), merupakan karyanya yang paling lengkap yang telah disunting oleb Van Nieuwenhuijze. Kitab ini menyajikan pengajaran tentang martabat tujuh dan jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
2. Risalah Tubayyin Mulahazhat al-Muwahhidin wa al-Mulhidin fi Dzikr Allah (8 balaman; berbahasa Arab). Karya yang telah disunting oleb Van Nieuwenhuijze ini, kendati relatif singkat, cukup penting karena mengandung penjelasan tentang perbedaan pandangan antara kaum yang mulhid dengan yang bukan mulhid.
3. Mir’at al-Mu’minin (70 halaman; berbahasa Melayu). Karyanya ini menjelaskan ajaran tentang keimanan kepada Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, para malaikat-Nya, hari akhirat, dan kadar-Nya. Jadi pengajarannya dalam karya ini membicarakan butir-butir akidah, sejalan dengan paham Ahlus Sunnah wal Jama’ah (tepatnya Asy’ariah-Sanusiah).
4. Syarah Ruba’i Hamzah Fansuri (24 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini merupakan ulasan terhadap 39 bait (156 baris) syair Hamzah Fansuri. Isinya antara lain menjelaskan pengertian kesatuan wujud (wahdat al-wujud). Karya ini bukti yang cukup kuat bahawa Syamsuddin Sumatrani adalah penyambung aktiviti dan bertanggungjawab menyebarkan ajaran guru nya Hamzah Fansuri.
5. Syarah Sya’ir Ikan Tongkol (20 balaman; berbahasa Melayu). Karya ini merupakan ulasan (syarh) terbadap 48 baris sya’ir Hamzah Fansuri yang mengupas soal Nur Muhammad dan cara untuk mencapai fana’ di dalam Allah.
6. Nur al-Daqa’iq (9 halaman berbahasa Arab; 19 halaman berbahasa Me1ayu). Karya tulis yang sudah ditranskripsi oleh AH. Johns ini (1953) mengandung pembicaraan tentang rahasia ilmu makrifah (martabat tujuh).
7. Thariq al-Salikin (18 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini mengandung penjelasan tentang sejumlah istilah, seperti wujud, ‘adam, haqq, bathil, wajib, mumkin, mumtani’ dan sebagainya.
8. Mir’at al-Iman atau Kitab Bahr al-Nur (12 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini berbicara tentang ma’rifah, martabat tujuh dan tentang ruh.
9. Kitab al-Harakah (4 halaman; ada yang berbahasa Arab dan ada pula yang berbahasa Melayu). Karya ini berbicara tentang ma’rifah atau martabat tujuh.

Sumber : http://hikayatmelayu.wordpress.com/2012/12/11/sheiksyamsuddin/


ABDULLAH MUNSYI


Munsyi Abdullah merupakan bapa kesusasteraan moden kerana mampu memperkenal unsur  baru dalam bidang kesusasteraan. Munsyi Abdullah atau nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Beliau dilahirkan pada hari Ahad, 7 Safar tahun 1976 Masihi bersamaan 1211 Hijrah di Kampung Masjid, Melaka iaitu juga dikenali Kampung Pali oleh orang-orang Keling waktu itu. Kelahiran Abdullah ini berlaku setelah lapan bulan selepas Inggeris mengambil Melaka dari tangan Inggeris. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik seibu sebapa dan kesemuanya lelaki. Namun begitu, ketiga-tiga adik beradiknya meninggal dunia semasa kecil. Beliau berketurunan keluarga peranakan Arab dan India. Ibunya bernama Salamah dan bapanya Syeikh Abdul Kadir.

Pada usia 11 tahun, beliau telah menerima gelaran “munsyi” yang membawa maksud “guru” daripada askar Islam di Melaka. Pada usia semuda itu, beliau berjaya melayakkan diri menjadi guru lantaran kepintaran dan keilmuannya. Lantas beliau menjadi guru mengajar pelajaran agama kepada askar-askar Islam di Melaka.
Beliau diberikan nama Abdullah kerana ibunya mengambil nasihat daripada seorang guru agama iaitu Habib Abdullah Hadad. Nasihat tersebut diberikan setelah ketiga adik beradik beliau meninggal dunia sewaktu kecil. Munsyi Abdullah mendirikan rumah tangga sewakru berumur 34 tahun, setelah tujuh tahun belajar dan bekerja dengan orang-orang Inggeris di Melaka.

Abdullah meninggal dunia di Jeddah pada tahun 1854 ketika berusia 58 tahun di Jeddah. Beliau meninggal sewaktu pelayarannya ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji kerana diserang penyakit kolera. Kisah perjalanan perjalanan ini dicatatkan dalam Kisah Pelayaran Abdullah ke Judahyang tidak tamat. Sejak kecil, Munsyi Abdullah dididik supaya mementingkan pelajaran. Antara individu yang memberi pendidikan awal kepada beliau ialah bapa, Neneknya Peri Achi, dan bapa saudara sebelah ibu, Ismail Lebai dan Muhammad Latif. Bapa dan neneknya adalah orang yang berpengetahuan. Bapanya telah menerima pendidikan yang cukup seperti belajar mengaji al-quran, belajar bahasa Tamil dan Arab serta ilmu kira-kira. Lantaran latar belakang ayahnya yang berpendidikan menyebabkan beliau turut diajar dengan pelbagai ilmu.

Menurut Shellabear (1947) Neneknya, Peri Achi seorang guru besar di Pali. Abdullah ketika itu belum berusia 6 tahun sentiasa bergaul dengan anak-anak yang belajar mengaji, menulis dan membaca. Secara langsung mendorong minatnya untuk belajar. Menjelang usia tujuh tahun, Abdullah telah diberikan permainan kalam resam dan papan loh. Hal ini menyebabkan dia cepat pandai menulis dan membaca.

Munsyi Abdullah juga mempelajari ilmu kira-kira atas dasar minat beliau ke atas ilmu tersebut. Abdullah mempunyai minat yang mendalam dalam mempelajari bidang bahasa. Beliau bukan sahaja belajar Melayu tetapi juga bahasa Tamil dan bahasa Arab, Bahasa Inggeris, dan bahasa Hindi. Beliau telah mempelajari bahasa-bahasa tersebut sewaktu beliau sendiri yang mengajar bahasa Melayu kepada paderi-paderi Inggeris spserti paderi Milne, Thompson dan sewaktu bekerja dengan Tuan Raffles serta askar-askar Inggeris,. Dalam tahun 1810, ketika berusia 14 tahun beliau telah menguasai bahasa Melayu, Tamil, Hindustan dan Arab dengan baik. Beliau pernah belajar bahasa Melayu daripada Datok Sulaiman dan Datok Astor. Pelajaran Islam dan al-quran pula didalaminya melalui bimbingan kursus daripada mualim Arab iaitu Mualim Muhyddin.

Beliau amat dikenali dengan penulisan riwayat hidupnya iaitu Hikayat Abdullah.  Menurut Siti Aisah Murad(1996) Abdullah menyelesaikanHikayat Abdullah pada 3 Mei 1843. Kemudian diterbitkan pada bulan Mac 1891 di Singapura. Pada permulaan hikayat Abdullah dapat dilihat sikap dan pemikirannya terhadap kepentingan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan ilmu pengetahuan yang lain. Seterusnya Abdullah mengemukakan pandangan terhadap sikap orang Melayu yang mundur  berbanding dengan Inggeris yang maju dan sikap-sikap raja yang zalim. Persoalan dasar yang mahu diketengahkan oleh Munsyi Abdullah ialah mengutarakan pandangan dan pendapat kehidupan orang Melayu di negeri Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Pada tiga belas hari bulan, iaitu Tahun Baru Cina, pukul 7.30 malam telah berlaku kebakaran di kota. Semua barang-barang miliknya seperti hikayat, buku dan pakaian. Lantaran peristiwa tersebut Munsyi Abdullah menghasilkan Syair Singapura Terbakar. Dalam syair ini, beliau menceritakan berkenaan peristiwa yang dilalui dan dirasai ekoran berlakunya kebakaran tersebut.

Pada tahun tahun 125I Hijrah sewaktu di Melaka di Melaka, beliau telah menterjemahkan Hikayat Panca Tanderan. Hikayat ini merupakan hikayat berbahasa Hindu yang berjudul Hikayat Kalilah dan Daminah. Beliau juga telah menyunting “Injil Yahaya” dalam bahasa Melayu dan menerbitkan sejarah Melayu. Karya penterjemahan yang lain adalah “Perhimpunan Saudagar-saudagar”. Beliau juga telah memperbaiki Sejarah Melayu dan Kitab Adat Segala Raja-Raja Melayu dalam Segala Negeri.
Karyanya dicipta sendiri untuk dinikmati oleh masyarakat. Munsyi Abdullah menggunakan kaedah yang tersendiri semasa mengarang. Karya beliau diciptakan secara kronologi iaitu mengikut urutan peristiwa seperti kelahirannya didahulukan(hikayat Abdullah) dengan perkembangan yang dialami hingga kematiannya. Begitu juga dalam Kisah Pelayaran Abdullah. Plot disusun dengan merujuk kepada siri peristiwa dan kejadian yang berlaku  kepada diri sendiri serta alam sekelilingnya.

Sumber : Siti Aishah bin Murad (1996). Abdullah Munsyi dan masyarakat melayu.                      Kuala Lumpur:Dewan bahasa dan Pustaka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan