Assalamualaikum

PANDANGAN & KRITIKAN ABDULLAH MUNSYI TERHADAP ORANG MELAYU

Abstrak
Oleh: Mohd Alif Bin Sapri
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 alifsapri90@gmail.com

Munshi Abdullah dalam buku-buku Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah turut membuat kritikan yang pedas terhadap orang Melayu pada penghujung abad ke-19. Beliau menegur kelemahan orang Melayu, sikap malas mereka, kurangnya ilmu pengetahuan di kalangan mereka, cara hidup mereka, sehinggalah episod perpecahan di kalangan mereka. Abdullah tidak sahaja mengkritik tetapi memberikan cadangan bagaimana kehidupan orang Melayu dapat diperbaiki. Munsyi Abdullah memberikan pandangan bagaimana mahu mengeluarkan orang Melayu daripada kelemahan mereka. Abdullah turun ke lapangan, belayar ke negeri-negeri Melayu, melawan ombak, mengharungi ancaman lanun dan perang saudara bagi mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu ketika itu. Kisah Pelayaran Abdullah bukan sekadar catatan perjalanan tetapi juga dimuatkan keinsafan dan nasihat tentang nasib orang Melayu. Abdullah menjadi pengkritik bangsa yang berterus-terang dan konstruktif. Malangnya hari ini ada di kalangan orang Melayu sendiri, mereka yang duduk dalam keselesaan dan kemewahan, yang tidak pernah merasa kesusahan dan penderitaan rakyat, mahu menjadi juara bagi pihak rakyat.

1.0 Pengenalan
Nama sebenar Abdullah Munsyi ialah Abdullah bin Abdul Kadir. Beliau dilahirkan di Kampung Masjid yang juga disebut Kampung Pali oleh orang –orang keling pada tahun 1976 dan meninngal di Jeddah pada tahun 1854. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat adik- beradik seibu sebapa. Ketiga- tiga abangnya telah meninggal sewaktu kecil iaitu semasa berumur setahun, dua tahun dan tiga tahun. Semasa kecil Abdullah sering sakit terutama selepas usianya menjangkau empat bulan. Lantaran kesihatannya yang tidak pernah memuaskan dan ibu bapanya dikatakan tidak serasi membelanya, Abdullah dijual kepada orang lain beberapa kali. Hal demikian menyebabkan kesihatan ibunya terjejas dan menyebabkan dia tidak dapat menyusuinya. Lantaran itu, Abdullah disusui oleh orang lain.    Riwayat hidup Abdullah dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu iaitu sewaktu kecil, sehingga Abdullah belajar mengaji di Melaka kira-kira usia 7 tahun. Peringkat kedua sewaktu Abdullah mula bekerja sebagai guru agama, guru bahasa, jurutulis Tuan Raffles dan masih berulang alik ke Melaka. Abdullah Munsyi berasal daripada keturunan Arab dan India serta keluarga yang terpelajar. Bapa Abdullah merupakan seorang yang sangat mementingkan pelajaran. Dia amat bimbang dengan kebolehan Abdullah mengaji dan membaca kerana pada usia 7 tahun Abdullah masih belum dapat menghabiskan satu juz mengaji al- Quran. Abdullah sering memprotes dengan tindakan bapanya itu kerana dia tidak dapat bermain seperti kanak- kanak yang lain namun tidak dipedulikan oleh bapanya. Walaupun Abdullah anak tunggal ibu bapanya, namun dia tidak pernah dimanjakan oleh kedua ibu bapanya. Bapanya tidak pernah memuji perbuatan Abdullah walaupun perkara tersebut memuaskan hatinya.
          Abdullah juga merupakan seorang yang pandai dan cepat dalam memahami pelajaran yang diajar oleh gurunya. Beliau juga pandai dalam mengaji al- Quran melebihi kepandaian rakan- rakannya yang lain. Disebabkan kepandaian yang dimiliki tersebut, beliau dijadikan sebagai khalifah di tempat mengaji. Gelaran “Munsyi” yang membawa makna “guru” itu diperoleh sewaktu dia berusia sebelas tahun. Beliau juga mendapat gelaran ‘munsyi’ sewaktu mengajar bahasa Melayu kepada askar- askar Kerajaan Inggeris berbangsa India di Melaka. Selain menjadi guru bahasa, Abdullah Munsyi juga menjadi guru agama, penterjemah, wartawan dan jurutulis kepada pemerintah Inggeris. Pada usia yang muda itu, beliau menerima upah menulis surat dan menyalin naskah al- Quran dan melayakkan beliau menjadi guru dan mengajar pelajaran agama kepada askar- askar Islam di Melaka.
          Abdullah mempunyai minat yang mendalam dalam bidang bahasa. Beliau juga mempelajari bahasa Tamil dan bahasa Arab selain daripada mempelajari bahasa Melayu. Abdullah juga mempelajari bahasa Inggeris daripada paderi- paderi Inggeris. Beliau merupakan seorang yang gigih dalam mempelajari seuatu ilmu. Dia telah mendalami al- Quran dengan seorang yang berbangsa Arab dan mendalami bahasa Melayu dengan seorang yang juga berbangsa Arab. Semasa berusia 27 tahun, Abdullah telah mengajarkan bahasa Melayu kepada Tuan Milne yang merupakan  seorang paderi Inggeris yang datang ke Melaka. Selain itu, Abdullah juga belajar dengan Tuan Doktor Marrison yang pandai berbahasa Cina. Abdullah telah belajar menggunakan alat cap huruf dengan Tuan Medhurst dan Tuan Thomsen ketika menjadi guru bahasa. Buku yang pertama yang dicap dengan menggunakan alat ini ialah Sepuluh Hukuman yang Diberikan Allah kepada Nabi Musa dan Vocabulary Melayu- Inggeris.
         Selain itu, Abdullah juga telah mengikuti pelajaran di maktab yang telah didirikan oleh Tuan Milne yang diberikan nama Anglo Chinese College. Beliau juga telah berusaha untuk mendorong orang lain untuk bersama- sama belajar di maktab tersebut. Namun, mereka tidak menghiraukan ajakan Abdullah, malah mereka menggelarkan Abdullah sebagai “Abdullah Paderi” bagi menyakiti hati Abdullah. Walaupun begitu, beliau tetap dengan pendiriannya untuk terus belajar. Abdullah Munsyi telah mendirikan rumah tangga sewaktu beliau berusia 34 tahun iaitu setelah lebih kurang tujuh tahun dia belajar dan bekerja dengan orang- orang Inggeris. Beliau kemudian telah dikurniakan seorang cahaya mata setelah beberapa tahun mendirikan rumah tangga.
         Abdullah meneruskan kerjanya mengajar bahasa Melayu kepada Tuan Thomsen dan orang Inggeris yang lain disamping menterjemahkan Injil Matius ke dalam bahasa Melayu. Tuan Thomsen telah dilantik menjadi pengetua Anglo Chinese College apabila Tuan Milne meninggal dunia. Abdullah pernah diberi kepercayaan untuk memangku tugas Pengetua Anglo- Chinese College setelah pengetua kolej ketika itu pulang ke England untuk menghantar isterinya. Abdullah telah memulakan hidupnya di Singapura setelah pembukaan Singapura. Beliau telah bekerja sebagai jurutulis dan jurubahasa kepada Tuan Raffles. Selain itu, beliau juga bertanggungjawab menulis undang- undang di Singapura atas arahan daripada Tuan Raffles terutama undang- undang tentang judi dan arak. Abdullah juga menjadi jurubahasa kepada saudagar- saudagar dari Inggeris dan Cina. Abdullah tidak membawa isterinya untuk tinggal di Singapura bersama- sama beliau. Isteri beliau tetap menetap di Melaka dan Abdullah akan pulang 6 bulan sekali untuk berjumpa isteri dan anaknya.
         Selain itu, Abdullah juga dipertanggungjawabkan untuk mengumpul bahan- bahan sastera Melayu lama seperti kitab- kitab, hikayat- hikayat, dan syair- syair untuk dibawa pulang oleh Tuan Raffles ke England. Sewaktu di Singapura telah berlaku kejadian kebakaran. Pada ketika itu, Abdullah masih menetap di pulau tersebut dan beliau telah merakamkan pengalaman ketika berlakunya bencana kebakaran tersebut dalam karyanya yang berjudul Syair Singapura Terbakar. Abdullah telah mengarang sebuah kitab ringkas yang bertajuk Dewa ul- Kulub yang bererti “Ubat Hati” sebagai pengubat hatinya yang sedih kerana kematian anaknya. Sewaktu bekerja dengan Tuan North iaitu semasa berusia 42 tahun, Abdullah telah pergi ke Pahang, Terengganu dan Kelantan. Berdasarkan catatan pengalaman perjalanan beliau inilah yang telah menghasilkan karya unggulnya yang berjudul Kisah Pelayaran Abdullah.
         Walaupun dilahirkan di Malaysia, beliau banyak menghabiskan masa di Singapura. Abdullah Munsyi digelar “Bapa Kesusasteraan Melayu Moden” berdasarkan hasil karya pentingnya. Beliau merupakan seorang yang gemar mengembara dan beliau telah berjaya menghasilkan karya yang hebat seperti Kisah Pelayaran Abdullah dan Hikayat Abdullah hasil daripada pengamatan dan pemerhatiannya semasa pengembaraan. Beliau juga dibesarkan dalam zaman peralihan dan pertembungan kebudayaan Barat dan kebudayaan Melayu.
         Abdullah membandingkan kedua- dua cara pemikiran iaitu semangat perubahan, kemajuan dan dinamisme Barat dengan kelembapan pemikiran dan cara hidup orang Melayu yang statik serta tidak mampu membebaskan diri daripada belenggu adat istiadat yang kolot. Pada waktu itu sedang berlaku keruntuhan kuasa politik golongan bangsawan Melayu dan kebangkitan pengaruh asing terutama Inggeris dan hal ehwal pentadbiran negeri- negeri Melayu. Peristiwa pergolakan inilah yang dicatatkan dalam kedua- dua karyanya. Hikayat Abdullah juga telah karya sejarah yang penting tentang sejarah social dan politik di Singapura dan Melaka. Banyak pembaharuan yang telah dibawa oleh Abdullah Munsyi dalam Sastera Melayu. Antaranya ialah menjadi penulis Melayu pertama yang memperkenalkan banyak autobiografi dalam tulisannya.
         Beliau juga telah membawa pembaharuan dari segi isi dan bentuk penulisan dengan menggunakan pengalaman dan pemerhatiannya dalam masyarakat dan meninggalkan kisah dongeng dan mitos seperti yang terdapat dalam karya sastera Melayu tradisional lain. Selain keberaniannya mengkritik raja- raja Melayu, golongan pembesar Melayu dan susunan masyarakat Melayu dalam zaman serta adat istiadat serta kebiasaan orang Melayu, ketokohan beliau terserlah sebagai pelopor pembaharuan dalam bidang kesusasteraan Melayu terutamanya dari segi minat dan kesungguhannya mendalami bahasa Melayu. Tujuan beliau melakukan semua perkara berikut adalah untuk menyedarkan bangsa , berilmu, sentiasa mengejar kemajuan moden serta bersifat dinamik. Malah beliau sendiri telah mempelajari pelbagai bahasa dan cabang ilmu seperti bahasa Tamil, Arab, Inggeris, Hindi dan ilmu Matematik. beliau dianggap sasterawan moden berdasarkan karya- karya yang telah dihasilkannya. Hal ini  telah diakui oleh Professor Ismail Hussein seperti berikut :
“Abdullah Munshi adalah sasterawan moden Melayu pertama yang menulis untuk alat cetak dan beliau yang pertama menyoal dan mengkritik sikap- sikap feudalismen yang telah mejadi dasar kebudayaan Melayu berabad-abad.”

2.0 Objektif Kajian
Kajian ini cuba meninjau mengenai pengalaman Abdullah Musnsyi dalam hikayat Abdullah dan yang dikarang sendiri olehnya. Secara ringkasnya, objektif kajian ini adalah seperti berikut:
·         Mengenal pasti pandangan Abdullah Munsyi terhadap bangsa Melayu dalam hikayat Abdullah.
·         Menganalisis kritikan Abdullah Munsyi terhadap bangsa Melayu dalam hikayat Abdullah.
3.0 Persoalan Kajian
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan ini, persoalan kajian yang telah timbul ekoran daripada kajian terhadap buku Hikayat Abdullah ini dapat dilihat seperti berikut:
·         Bagaimanakah kehidupan  bangsa Melayu semasa Abdullah Munsyi mengembara untuk menulis Hikayat ini.
·         Bagaimanakah sikap orang melayu pada masa itu mengikut pandangan Abdullah Munsyi.


4.0 Kepentingan Kajian
Menerusi telahan yang telah dibuat terhadap buku Hikayat Abdullah ini, dapat dilihat bahawa terdapat pelbagai perkara yang dicatat dalam hikayat Abdullah Mushi tentang sikap Orang Melayu yang dilihat sepanjang pengembaraannya, diantaranya, Abdullah Munshi pernah mengkritik orang lelaki melayu kelantan yang bersikap pemalas, hanya duduk di wakaf- wakaf sedangkan wanitanya yang mengangkat barang- barang yang berat, nyata apa yang dinyatakan Mushi Abdullah suatu ketika dahulu berada dalam sikap segelintir orang- orang lelaki melayu masakini, tidak perlu dihidang bukti, nyata, ia dapat dilihat dengan jelas..
Abdullah Mushi juga dikritik kerana rapat dengan penjajah, mungkin inilah yang menyebabkan dia dikecam hebat, beliau juga dikatakan ingin keluar dari agama islam kerana beliau telah bertindak menterjemahkan bible kedalam Bahasa Melayu, namun ramai pemikir hari ini menyifatkan Abdullah Mushi berfikiran 'lain dari yang lain' sewaktu zamannya, beliau juga telah mengkritik keras golongan yang menyatakannya begitu yang turut dicatatkan didalam hikayatnya.
Analisis yang dilakukan ini boleh dikatakan sangat penting oleh kerana disini kita dapat mengetahui bagaimana kehidupan orang melayu pada ketika itu dan bagaimana pula sikap orang melayu pada masa itu mengikut pandangan Abdullah Munsyi.

5.0 Metodologi Kajian
Metodologi kajian menjelaskan bentuk rangka kerja untuk menjalankan sesuatu kajian. Metodologi kajian merupakan bahagian penting yang digunakan untuk memastikan kajian yang dijalan menggunakan kaedah, prosedur atau cara yang betul. Selain itu, metologi kajian ini juga boleh digunakan untuk memastikan objektif kajian dapat dicapai berdasarkan data dan sumber yang sah dan boleh dipercayai (Mohd Najib Abdul Ghaffar, 1999).
Perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam kertas kerja ini ialah terdiri daripada kaedah menjalankan kajian, kaedah pengumpulan data dan penganalisisan data.



6.0 Dapatan Kajian
Menurut Sulaiman Masri  (2006), dalam bahagian dapatan kajian, bahagian ini melaporkan keputusan atau dapatan daripada analisis data yang telah dikutip dalam kajiannya. Pada bahagian ini, pengkaji akan memberi tumpuan kepada analisis dapatan kajian, iaitu membincangkan analisis kajian berdasarkan persoalan kajian yang telah dikemukakan dalam bahagian 3.0 diatas. Pengkaji akan memetik beberapa petikan dalam Hikayat Abdullah yang mengkritik bangsa Melayu semasa zaman hayatnya.

6.1 Pandangan dan Kritikan Abdullah Munsyi terhadap Orang Melayu dalam Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah
Hikayat Abdullah merupakan sebuah hikayat yang berkisarkan kisah pengembaraan Abdullah Munsyi. Hikayat Abdullah ini selesai dikarang pada tahun 1845 dan pertama kali diterbitkan pada tahun 1849. Bagi Hikayat Abdullah yang diterbitkan dalam bahasa rumi telah diterbitkan pada tahun 1907 sebagai kegunaan teks di sekolah- sekolah Melayu. Hikayat yang dihasilkan oleh Abdullah Munsyi ini berkisar tentang realisme dan tidak seperti karya- karya klasik sastera Melayu yang yang kebiasaannya mengandungi unsur fantasi dan cerita legenda. Karya ini juga dikelaskan sebagai autobiografi Abdullah dan mengandungi pandangan peribadi tentang masyarakat Singapura dan Melaka pada awal abad ke 19. Selain itu, dalam hikayat ini juga menceritakan sekilas mengenai zaman kanak- kanak Abdullah Munsyi di Melakadan pengalamannya sendiri seperti pembedahan yang dilakukan terhadapnya oleh seorang ahli bedah Inggeris.
Kisah Pelayaran Abdullah merupakan sebuah karya sastera Melayu yang diterbitkan pada tahun 1938 di Singapura. Karya ini juga dianggap sebagai teks sastera Melayu pertama yang diterbitkan secara komersil. Karya ini menceritakan pelayaran dari Singapura ke Kelantan bersama- sama temannya, Grandpre dan Baba Ko An untuk menyerahkan surat dari Sir George Bonham yang merupakan Gabenor Negeri- Negeri Selat kepada Sultan Kelantan. Karya tersebut merangkumi pengalaman beliau mengenai kehidupan orang Melayu yang dilihat ketika singgah di Pahang dan Terengganu serta perkara yang dialami beliau semasa berada di Kelantan. Karya ini juga mengandungi nasihat- nasihat yang diberikan kepada raja- raja Melayu dan juga perbandingan antara sistem pemerintahan Inggeris dan sistem pemerintahan tradisional Melayu.
         Berdasarkan kepada karyanya iaitu Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah, beliau banyak mengkritik mengenai sikap orang Melayu pada ketika itu. Abdullah bukanlah membenci orang- orang Melayu pada ketika itu, tetapi sikap yang mereka miliki yang menyebabkan beliau tidak bersetuju dengan pandangan dan perlakuan mereka. Pengalamannya yang bergaul dengan orang Melayu yang suka mengabaikan bahasa Melayu menyedarkan beliau betapa pentingnya mempelajari bahasa Melayu dengan mendalam sebelum mempelajari bahasa orang lain. Hal ini dapat dilihat jelas dalam Kisah Pelayaran Abdullah. Beliau menghargai hikayat- hikayat lama dan sikap ini diperlihatkan dengan usahanya mencari dan membaca hikayat- hikayat tersebut. Gambaran rasa sayang terhadap hikayat tersebut dapat dilihat sewaktu mendapat khabar kapal yang dinaiki Raffles yang membawa kitab dan hikayat lama terbakar. Tergambar betapa kecewanya dia apabila segala khazanah Melayu, kitab dan hikayat lama itu musnah.
Maka apabila aku mendengar khabar yang demikian itu, terbanglah arwahku sebab  terkenangkan sekalian kitab- kitab Melayu dan lain- lain daripada beberapa zaman…
Beliau juga berasa kurang senang dengan sikap orang Melayu yang tidak mahu mempelajari ilmu baru seperti yang terkandung dalam Hikayat Abdullah pada halaman 257 dan 258:
Maka jikalau kiranya kukhabarkan sekalian itu (tentang ilmu- ilmu baru seperti kemajuan elektrik) kepada orang- orang Melayu nescaya ditutup telinganya serta menampar mukaku, katanya, “Terlalu besar bohong.”
Pada halaman 120 juga ada dinyatakan:
…bukanlah berguna kepada kamu sekalian ilmu kira- kira itu? Maka jikalau tidak tahu kira- kira kelak, bagaimana engkau hendak berniada jual beli? Dan lagi pula beberapa banyak nasihat yang kuberi, tiada juga mereka itu endahkan.
Walaupun berbagai usaha yang dilakukan oleh Abdullah untuk cuba menyedarkan orang Melayu tentang pentingnya ilmu- ilmu baru dalam kemajuan hidup, namun segala usaha beliau hanya sia- sia malah beliau telah ditempelak serta dipulaukan oleh orang- orang Melayu kerana sikapnya itu serta hubungan baik yang ditunjukkan dengan orang- orang Inggeris.
         Selain itu, pengalamannya yang dirakam dalam Kisah Pelayaran Abdullah juga menggambarkan sikapnya yang tidak suka kepada budaya raja Melayu seperti apabila lalu di kampung raja tidak boleh berpayung, memakai kasut dan berpakaian kuning. Beliau juga sangat akrab dengan orang-orang Inggeris pada ketika itu dan menyebabkan beliau sering membandingkan kelebihan orang Inggeris berbanding orang Melayu. Abdullah juga sering mengeji perbuatan orang Melayu walaupun berkaitan dengan sultan seperti katanya:
Bahawa sesungguhnya adalah pada fikiranku, maka nyatalah kebodohan dan kekurangan fikiran sultan itu: maka alangkah baik dan besar tolongan Tuan Raffles itu hendak mengajarkan anak- anak mereka itu supaya kemudian kelak ia boleh mengerti dan menadapat beberapa kepandaian dan hikmat akan menambahkan akal dan pengetahuan.
Abdullah berfikiran bahawa perkara tersebut hanyalan sesuatu yang sia- sia kerana terdapat hal yang dilarang tetapi dibenarkan pula seperti orang berjudi di hadapan istana raja dan menghisap candu. Pengalaman melihat orang menghisap candu juga dicatatkan dalam Kisah Pelayarannya.
Maka lalu saya kata, “Janganlah Tengku minum, kerana ia itu mendatangkan beberapa celaka dan kebinasaan, dan kerugian adanya.” Maka jawabnya, “Itu betul tuan; tetapi sudah menjadi adat kepada saya, tiada boleh saya buangkan.”
Dalam catatan Kisah Pelayaran Abdullah juga, dia dikatakan mengkritik sikap raja- raja Melayu. Beliau membicarakan mengenai kezaliman raja, kehendaknya yang tidak boleh dihalang dan dilarang, serta pantang larang yang tidak boleh dilanggar oleh rakyat. Kezaliman raja menjadikan rakyat berasa takut untuk melakukan apa saja yang dapat memajukan diri mereka seperti takut untuk membuat rumah, takut untuk menambah ilmu, takut untuk mencari harta dan takut untuk melakukan perkara yang menyalahi adat kerana akan dihukum oleh orang- orang raja. Kenyataan ini dapat dilihat dalam Kisah Pelayaran Abdullah pada halaman 88.
Dan lagi dijauhkan Allah berdekatan raja- raja; kerana orang yang hampir kepada raja itu seperti bersahabat- sahabat dengan ular yang bias; makasalah sedikit dipagutnya biji mata.
Hal ini juga dapat dilihat dalam hikayat Abdullah yang menyentuh tentang kehendak raja yang tidak boleh dihalang yang dapat dilihat pada halaman 86:
Dan lagi, kalau ada berharta dan anak perempuan yang baik- baik, jikalau berkenan raja, diambilnya juga; tiada boleh ditahankan atau tiada diberi, disuruhnya tikam mati- mati sahaja.
Abdullah bukan sahaja membenci perangai raja pada ketika itu, malah fizikal raja juga dituliskan dengan segala kebodohannya. Hal ini dapat dilihat dalam Hikayat Abdullah yang menggambarkan kehodohan Sultan Hussain pada halaman 238:
…tubuhnya tambun…kelihatan empat persegi…pendeknya…tiada ketahuan rupa…kepalanya kecil…lehernya tenggelam…mukanya lebar…matanya juling…mulutnya luas…perutnya gendut berlipat-lipat…suaranya garau…dimana ia duduk ia berdengkur…bila berkata menengking- nengking…tiada kuasa membawa dirinya.
Kebodohan raja ini digambarkan ketika Sultan Hussain menyerahkan Singapura serta perintahnya kepada Inggeris dan semasa raja- raja Melayu menolak tawaran Tuan Raffles untuk mengajar anak- anak baginda.
         Orang- orang Melayu pada ketika itu dikatakan terlalu memuliakan adat tradisi yang diturunkan oleh nenek moyang mereka. Oleh hal demikain, mereka tidak mehu menerima pembahruan terutama yang dibawa oleh Inggeris. Masyarakat Melayu pada ketika itu juga dikatakan malas. Golongan raja juga langsung tidak memberikan galakan supaya rakyat berusaha dan belajar untuk maju. Pandangan ini banyak dikisarkan dalam Kisah Pelayaran Abdullah yang memperlihatkan kritikan yang hebat dilemparkan kepada orang- orang Melayu. Orang Melayu dikatakan pemalas, lalai dan pengotor.
           Selain itu, bahasa percakapan mereka juga dikatakan terlalu buruk serta pakaian  dan rumah mereka dikatakan buruk dan tidak sempurna. Abdullah berharap agar orang- orang Melayu akan maju ke hadapan dengan mempelajari ilmu- ilmu baru yang dibawa oleh Inggeris. Dengan ini dapat meninggalkan sedikit demi sedikit fahaman kolot yang dipegang oleh mereka. Abdullah juga ada menyatakan mengenai rasa kurang senangnya mengenai sikap orang Melayu yang dengki serta iri hati. Menurut beliau, sikap dengki inilah yang akan menghalang untuk mencapai kemajuan dalam apa jua bidang sekalipun.
         Abdullah juga mengemukakan pandangan beliau terhadap orang Melayu yang mempunyai kepercayaan terhadap hal- hal yang ganjil. Contohnya cerita untuk merobohkan kota Melaka ini tersebar luas. Mereka percaya kota itu dijaga oleh penunggu atau hantu syaitan dan siapa yang memecahkannya akan menerima bala. Dia juga mengecam kepercayaan orang Melayu pada hal- hal yang dianggap karut seperti kepercayaan orang Melayu tentang kejadian bumi, gerhana matahari dan bulan. Abdullah memperlihatkan sikap tidak setujunya terhadap kepercayaan tersebut dan menganggap itu adalah perkara yang karut yang tidak patut diikuti. Menurut beliau, adat dan kepercayaan menjadi halangan bagi kemajuan bangsa Melayu. Dalam Kisah Pelayaran Abdullah juga dapat dilihat beliau mengkritik adat meminta hutang yang diamalkan oleh orang Melayu seperti yang terkandung pada halaman 18.
“Adalah sekalian adat dan pekerjaan ini, semuanya daripada adat purbakala;jikalau barang siapa mengubah atau memecahkan itu, nescaya ditimpa daulat marhum yang tua- tua”. Maka adalah fikiran saya yang bodoh lagi yang tiada mempunyai ilmu ini, jikalau kekal adat dan pekerjaan dan kelakuan yang telah tersebut itu, maka dapat tiada lama- kelamaannya kelak sunyi dan rosak juga negeri Pahang itu, sebab mereka itu sekalian mengaku dirinya sahaja pandai. Adapun sebabnya fikiran itu datang kerana tiada mereka itu mahu menurut adat orang, lagipun tiada ia mempunyai ilmu, menjadi semakin hari makin bodohya bertambah; seperti katak dibawah tempurung adanya, maka adalah pada sangka katak itu tempurung itu langit”.
Kemajuan yang dibawa oleh Inggeris telah meresap ke dalam diri Abdullah lantas membuatkan dia mengeji adat- adat yang diamalkan oleh orang Melayu. Karya- karya yang telah dihasilkannya secara tidak langsung telah menunjukkan kemunduran orang Melayu disebabkan oleh kepercayaan serta kemalasan orang Melayu itu sendiri. Pendedahan ini paling banyak terdapat dalam Kisah Pelayaran Abdullah seperti yang disebut beliau pada halaman 33:
…tetapi laki- lakinya semuanya malas, dengan makan tidur dan membaiki senjata, itulah kerjanya orang yang dalam negeri itu.
Beliau juga ada menyebut mengenai orang Terengganu yang malas pada halaman yang sama seperti yang diperkatakannya :
Bermula saya lihat hal orang- orang dalam negeri itu miskin belaka, lagi dengan kelakuan malas dan  malas sepanjang hari.
Abdullah Munsyi mengetengahkan keadaan hidup orang- orang Melayu di Pahang, Kelantan dan Terengganu dalam karyanya Kisah Pelayaran Abdullah. Beliau menceritakan mengenai keadaan orang- orang Melayu di negeri- negeri tersebut berkaitan dengan tempat tinggal mereka, pekerjaan mereka, dan cara hidup mereka. Abdullah menulis dengan jelas tentang kehidupan mereka sehingga mereka yang membaca berasa jijik dengan keadaan tempat tinggal orang- orang Melayu pada waktu itu. Hal ini diceritakan beliau semasa melawat negeri Pahang yang diceritakan pada halaman 11:
Syahadan lagi adalah rumah- rumah tempat diam mereka itu semuanya rumah atap; ada yang kecil ada yang besar; semuanya rumah itu di atas darat. Maka terlalu banyak semak- semak pada keliling rumahnya, lagi tiada dengan peraturan rumah- rumahnya, sebuah di sini dan sebuah di sana; ada yang dalam hutan, ada yang di pantai; ada yang berpagar, ada yang tiada; masing- masing dengan sukanya. Demikianlah sepanjang sungai itu, setompok di sini, setompok di sana. Dan lagi terlalu banyak kotor di bawahnya; maka tiap- tiap rumah itu adalah limbahan dibawahnya, dan sampah bertimbun- timbun. Serta masuk, maka penuhlah bau busuk ke dalam hidung.
Abdullah bukan sahaja menceritakan perihal kehidupan serta tempat tinggal orang- orang Melayu di Pahang, malah dalam Kisah Pelayaran Abdullah juga ada menceritakan mengenai keadaan tempat tinggal orang- orang Melayu di Kelantan seperti yang terdapat pada halaman 65 dan 66:
Syahadan, adalah rumah- rumah mereka itu atap lagi perbuatannya tidak senonoh. Maka di bawah rumahnya itu penuhlah dengan longkang dan sampah- sampah. Maka adalah beberapa rumah yang saya masuk ke dalamnya sebab handak melihat peraturannya. Maka saya lihat darihal tempat tidur mereka itu dan perkakas mereka itu, dan daripada makan minum mereka itu, sekaliannya dengan kekotoran adanya; lagi tiap- tiap rumah itu busuk baunya.
Abdullah juga mengamati suasana rumah- rumah orang Melayu di setiap tempat yang dikunjunginya. Pengamatannya diceritakan lagi pada halaman 77 dalam Kisah Pelayaran Abdullah:
Maka adalah darihal rumah- rumah mereka itu, sekaliannya pondok- pondok atap; dan dindingnya pun atap juga, dan lantainya jongket- jongketan, dan atapnya bintang- bintangan, dan bau busuk rumah- rumah itu, janganlah dikata lagi- penuh engan bau ikan busuk, dan bau longkang, dan sampah pun bertimbun- timbun sepanjang rumahnya. Maka adalah darihal badan mereka itu dan rumah- rumah mereka itu dan pakaian mereka itu, sekalian kkotoran belaka.
Beliau mengulangi lagi perkara yang sama berkaitan dengan kehidupan serta tempat tinggal orang- orang Melayu di Kelantan pada halaman 89:
Maka sebab itulah ia menaruh limbahan dan jamban di bawah rumahnya, bertentangan dengan tempat diam dan tidur, supaya naik betul meruap busuk itu masuk ke dalam otaknya, dan jangan menyimpang bau itu ke kiri ke kanan lagi. Maka sebab perbuatan yang demikian itulah ia tinggal sepanjang umurnya dalam busuk dan berbagai- bagai penyakit.
Walaupun demikian ada sarjana Melayu yang menyifatkan Abdullah sebagai seorang yang kacau dan tidak mempunyai jati diri. Konsep pemikiran beliau sebenarnya telah keluar dari acuan sastera klasik lalu masuk kepada pembaharuan alam pemikiran Melayu Moden yang lebih progresif.
Dalam Kisal Pelayaran Abdullah, abdullah mengkritik orang Melayu dengan berkata “Dan lagi, sepanjang jalan dan lorong penuh dengan sampah dan kotor dan becak dan semak-semak, penuh dengan ular, hampir-hampir harimau pun boleh tinggal; itu tidak mengapa?”
Ada lagi kritikan beliau ketika melawat Kelantan dengan mengatakan bahawa orang Kelantan tidak mementingkan kebersihan, suka bermain judi, tidak berilmu pengetahuan dan malas. Kritikan yang dibuat itu tidak disenangi dan dipandang rendah oleh kebanyakanpengkaji sastera dan budaya.
Dalam situasi yang lain, Abdullah mengkritik Raja-raja Melayu yang bersikap zalim terhadap rakyat. Tulisan begini telah didapati menyimpang dari sastera Melayu Klasik yang sentiasa mengagungkan Raja-raja. Sebagai contohnya. “Maka pada sangka sahaya,inilah sebabnya menjadi miskin negeri Pahang itu. Maka sekalian orang yang duduk dalam negeri itu sentiasa dengan ketakutan akan aniaya dan loba raja-raja dan orang-orang besar. Maka adalah fikiran mereka itu, ‘Apa guna rajin kita itu? Maka jikalau mendapati sedikit wang atau makanan, nescaya dilobakan dan dirampas oleh orang besar itu”
Beliau mengutuk sikap dan perbuatan orang Melayu yang tidak membawa manafaat seperti malas, membuang masa, bergaduh dan tidak mementingkan bahasa sendiri.
Memang benar jika dilihat keadaan orang-orang Melayu pada ketika itu rata-ratanya berperangai dan bersifat negatif yang tidak sepatutnya ada pada Manusia Melayu beragama Islam. Keadaan demikian juga berlaku sehingga kini, tetapi mungkin dalam bentuk yang lain.
Abdullah cuba menerapkan perubahan dalammasyarakat Melayu dengan cara yang kasar lalu beliau dianggap sebagai melakukan kesalahan besar.
Beliau mempunyai hubungan yang amat rapat dengan penjajah sehinggakan beliau ingin menterjemahkan kitab Injil kedalam Bahasa Melayu. Disebabkan itu, beliau telah digelar ‘Paderi Abdullah’.
lebih mengeruhkan suasana, Abdullah telah memuji Sir Stamford Raffles yang dikatakan sebagai mempunyai kepeibadian mulia yang tidak ada pada pembesar Melayu. Malahan beliau menggambarkan Raja-raja Melayu sebagai tidak berilmu dan sering berebut kuasa.
Jika difikirkan secara positif, kritikan beliau itu mempunyai nasihat yang amat baik kerana akibat dari perebutan kuasa Raja-raja Melayu telah memudaratkan rakyat jelata. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa akibat dari peperangan dan gilakuasa itu telah menjadikan Tanah Melayu dengan mudah dijajah oleh kuasa-kuasa Eropah.
Satu pembaharuan yang dilakukan oleh Abdullah adalah menerusi bahasa. Beliau telah meninggalkan pengaruh bahasa Klasik ke bahasa Moden. Beliau juga telah membuat terjemahan karya dari bahasa asing ke bahasa Melayu. Abdullah sebenarnya memberi ruang kepada orang orang Melayu Islam untuk membuat perbandingan antara kebenaran Islam dan kekhilafan Kristian.
Tanggapan orang yang mengatakan bahawa Abdullah terlalu taksub dengan budaya Barat boleh dipertikaikan kerana beliau juga turut mengkritik Barat dengan mengisahkan kerendahan moral orang Eropah yang ditemuinya termasuk Raffles dan kuncu-kuncunya yang gemar mabuk.
Kecaman beliau tidak mengenal sesiapa seperti “Bermula, maka diantara seratus orang tiada dua orang yang mengerjakan pekerjaan agama seperti sembahyang yang mana pekerjaan yang di fardhukan Allah keatasnya”. Bukankah itu satu kritikan berupa dakwah kepada umat Islam yang lalai mengerjakan kefardhuan Allah atasnya.


7.0 Kesimpulan
Kemunculan Abdullah bin Abdul kadir, seorang peranakan Keling dan berketurunan Arab yang fasih membaca dan menulis dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Cina dan bahasa Hindustan membuka lembaran baru dalam dunia penulisan dan persuratan di Nusantara.
Ini kerana, hikayat yang ditulis beliau merupakan suatu rakaman pengamalan sebenar kehidupan social pada zamannya. Malah banyak peristiwa besar dan sikap sosial terakam dalam hikayat tersebut sekali gus mencarikkan adat kebiasaan sebuah hikayat yang penuh dengan fantasi, kesaktian dan lagenda ketokohan individu.
 Jenis penulisan beliau ini pada hari ini popular sebagai memoir atau autobiografi. Hikayat Abdullah siap dikarang 1845 dan diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1849. Namun apa yang paling ketara dalam autobiografi ini adalah, sikap Abdullah dan kritikan tajam beliau terhadap suasana sosial pada zaman itu, hasil daripada pemikiran dan ketajaman akal yang mendahului zaman hasil didikan secara paksa rela oleh ayahnya sendiri.
Tidak benar jika dikatakan beliau hanya mengkritik bangsa Melayu kerana jika sesiapa membaca keseluruhan hikayat tersebut, pasti jelas bahawa orang Inggeris, Amerika, Cina, India, Jerman, Belanda, pendek kata apa yang dilalui dan dijumpai serta dilihat sendiri oleh beliau di Melaka dan Singapura, tidak terlepas daripada kritikan dan komentar jujur Abdullah.




Bibiliografi

Hamzah Hamdani (2007). Hikayat Abdullah. Batu Caves : PTS Utusan  Publication And               distributors.

Ismail Hamid (1998). Masyarakat dan Budaya Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa                 dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2007). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah (Munshi) (Karya lengkap Abdullah Abdul Kadir Munsyi: Kisah pelayaran Abdullah ke Kelantan. Kisah pelayaran Abdullah ke Mekah, Kepustakaan Populer Gramedia.

Sumber Internet





2 ulasan:

  1. Syahid, jauhilah WAHABI!! itulah pegangan fahaman radikal puak pemecahbelah umat yg asal usulnya dari khawarij. si abdulah pemakan daging pemfitnah ni lah contoh seorang pengganut wahabi yg berjaya, segala buruk bodoh jahil keji cela hina yg dikisahkan dalam semua "karyanya" itu sebenarnya adalah perangai, perbuatan, dan keadaan dirinya sendiri iaitu penulis itu sendiri, si abdulah paria attarturk.

    sebab apa xda sorg pun yg dengar nasihat si abdulah paria ni, sebab abdula belajar kepada org2 kafir, jika pengetahuannya tentang agama Islam pun diperolehi dari org2 kafir, maka tiadalah bermanfaat akan ilmunya kepada sesiapa pun dan dikeranakan itulah segala tutur lidahnya syok sendiri ja, puak kafir gelak sakan nengok si dulla atarturk syok angkat teloq dia sendiri. naudzubillah

    BalasPadam
  2. Bagus artikel ini, semoga orang islam dan melayu khususnya rajin membaca

    BalasPadam