Assalamualaikum

NILAI ILMU DAN MAKLUMAT

ILMU PENDUKUNAN
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh, pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.
       Terdapat beberapa istilah untuk orang yang mengamalkan ilmu perdukunan ini seperti kahin, ‘arraf, rammal, munajjim atau ahli nujum, sahir atau tukang sihir dan lain-lain. Bassam Salmah (2004:301) mengatakan bahawa al-kahin merupakan seseorang yang mengkhabarkan sesuatu yang akan terjadi pada masa akan datang. Namun demikian, ada juga yang mengatakan al-kahin adalah individu yang memberitahu apa yang tersirat di dalam hati seseorang. Istilah yang kedua yang berkaitan dengan perdukunan ialah ‘arraf. ‘Arraf dikatakan oleh Al-Baghawi dalam Bassam Salmah (2004:302) sebagai orang yang mengaku tahu akan urusan-urusan tertentu melalui cara yang tertentu dan mungkin juga mengetahui tempat sesuatu barang yang hilang itu disorokkan.


CIRI-CIRI PENDUKUNAN
Pendukunan telah merebak masuk ke dalam masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi. Keadaan ini disebabkan oleh banyak ilmu-ilmu pendukunan (kahanah) dikemas dengan kemasan agama, sehingga masyarakat Islam banyak yang tertipu oleh para dukun. Menurut Niknik M. Kuntarto et. al. (2010:168-172) terdapat beberapa ciri-ciri pendukunan seperti:

i.        Bertanya namanya, nama ayahnya dan nama ibunya untuk dimanterai.
ii.       Menanyakan hari dan waktu lahirnya sama ada siang atau malam.
iii.    Meminta salah satu benda (foto, kain, sapu tangan, baju) sebagai syarat ritual.
iv.       Adakalanya meminta binatang dengan sifat tertentu
v.        Membaca mantera-mantera yang tidak difahami.
vi.    Kadang-kadang menyuruh orang  sakit  menyepi tidak terkena sinar matahari.
vii.   Kadang-kadang tidak boleh menyentuh air atau mandi pada waktu tertentu.
viii.  Memberi benda-benda yang harus ditanam.
ix.      Kadang-kadang sudah tahu masalah sebelum pesakit sempat memberitahu.
x.        Menulis ayat al-Quran dengan songsang.
xi.      Membakar kemenyan.
xii. Memberikan ramalan ghaib tentang sesuatu sudah sedang atau akan terjadi.

Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya. Di Melaka, terdapat orang yang begitu arif tentang gajah, bergelar Penghulu Gajah. Antaranya adalah Seri Wak Raja. Contoh petikan berkaitan dengan ini :


 Sekalian orang pun melihat tahunya Seri Wak Raja; gajah penakut jadi beraninya.
                                                                                                         (Sulalatus Salatin : 209) 
 

Terdapat juga golongan istana yang menggunakan dukun atau ahli nujum terutama sebelum kedatangan Islam atau tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak berbeza dengan bomoh. Dia lebih kepada membuat ramalan. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, keturunan raja Kedah yang memerintah Siam meminta ahli nujumnya mencari pengganti raja Kedah setelah Raja Bersiung hilang dalam perdu buluh betung. Ahli nujum itu melepaskan gajah sakti untuk mencari raja yang baru.
            Istilah lain bagi pendukun ialah rammal. Rammal ini merupakan kata akar bahasa Arab iaitu raml yang diertikan sebagai pasir yang lembut. Rammal pula adalah seorang tukang ramal yang akan menggaris-gariskan sesuatu di pasir untuk mengetahui sesuatu perkara yang diminta oleh orang yang datang berjumpa dengannya. Ilmu ini telah lama dikenali oleh masyarakat Arab dengan nama ilmu raml. Munajjim atau juga disebut sebagai ahli nujum sudah pasti sinonim dengan masyarakat Melayu. Nujum membawa erti bintang-bintang. Ahli nujum ini biasanya akan meramal nasib seseorang menggunakan cara yang tertentu. Sebagai contohnya dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah seperti berikut :


Maka segala ahlul nujum dan sasterawan pun melihat yang di dalam nujum. Setelah sudah dilihatnya, maka masing-masing pun menggerakkan kepalanya. Maka titah baginda, “Apa sebab kamu sekalian mengerakkan kepalamu?” Maka sembah segala ahlul nujum dan sasterawan itu, “ya Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun beribu-ribu ampun dan kurnia ke bawah Duli Syah Alam; adapun patik anakanda ini terlalu amat bahagia beroleh suami anak raja besar,  dan anak cucu paduka anakanda inilah akan raja datang kepada akhir zaman, akan menjadi raja besar. Maka duli tuanku pun hendaklah segera memberi paduka anakanda bersuami, hendaklah paduka anakanda ini ditaruhkan pada suatu pulau yang bernama Biram Dewa itu dengan suatu mahligai dan dayang-dayang. Di sanalah paduka anakanda bersuami raja besar itu.”
                                                                              (Hikayat Hang Tuah: 5)




Berdasarkan petikan di atas, hikayat ini menceritakan perihal Tuanku Syah Alam yang menggunakan khidmat ahli nujum bagi menilik untung nasib anak gadisnya itu iaitu Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam. Melalui tilikan para ahli nujum, mereka mendapati bahawa nasib anak gadisnya itu adalah beroleh keuntungan pada masa akan datang melalui perkahwinannya dengan anak raja besar. Justeru, untuk beroleh keuntungan tersebut ahli nujum menyarankan supaya Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam segera dikahwinkan dan diletakkan di sebuah pulau yang bernama Biram Dewa dengan sebuah istana berserta dayang-dayang.


ILMU FIRASAT
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:412) ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka iaitu anggota badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Ilmu firasat dapat dikatakan sebagai ilmu yang boleh menilik nasib seseorang. Sesiapa yang mempelajari akan ilmu ini akan boleh membaca fikiran seseorang. Dalam Hikayat Hang Tuah, terdapat beberapa peristiwa yang boleh dikaitkan tentang penggunaan ilmu firasat. Antaranya ialah berdasarkan kepada peristiwa mimpin yang telah di alami oleh Hang Mahmud. 


“ Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah. Hang Mahmud pun terkejut lalu bangun daripada tidur, lalu diribanya anaknya Hang Tuah dan diangkatnya, maka diciumnya seluruh tubuh.
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah : 23)



Hang Mahmud telah bermimpi tentang bulan yang turun dari langit dan cahaya bulan tersebut telah mengenai Hang Tuah. Melalui peristiwa tersebut, Hang Mahmud berpendapat bahawa sesuatu akan berlaku kepada Hang Tuah. Dengan itu, beliau telah berpesan kepada isterinya iaitu Dang Merdu agar sentiasa menjaga Hang Tuah. Hang Mahmud juga berfikir bahawa Hang Tuah patut diberikan ajaran yang sempurna. Namun, disebabkan keadaan di Kampung Sungai Duyung tidak mempunyai tempat pengajian yang sesuai untuk Hang Tuah, maka Hang Mahmud berpendapat mereka haruslah berpindah ke Bentan. Di Bentan, Hang Tuah telah diserahkan kepada seorang lebai untuk diajarkan mengaji al-Quran.


“ … Maka dilihatnya seekor pelanduk putih, seperti kambing besarnya, berhadapan dengan anjingnya. Maka oleh pelanduk itu digigitnya akan anjing kedua itu. Maka anjing itu pun berteriak keduanya lalu terjun ke dalam sungai itu. Maka pelanduk itu pun mengusir anjing keduanya. … “ Ya Tuanku Syah Alam, ada patik dengar kata orang tua-tua patik, jika ada pelanduk putih pada hutan atau barang tempat sekalipun, baiklah tempat, patut diperbuat negeri; berdaulat negeri, tuanku.”
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah : 64)



Selain itu, dalam hikayat ini juga peristiwa yang berkaitan dengan ilmu firasat dapat di lihat pada peristiwa penubuhan Kota Melaka. Pada ketika Tuanku Syah Alam sedang berehat di bawah sepohon pokok, Hang Tuah telah mengkhabarkan kepada Tuanku tentang Anjing pemburuannya yang telah dikalahkan oleh seekor pelnduk putih. Tuanku Syah Alam tertarik dengan cerita yang disampaikan dan bertanya kepada salah seorang pembesar tentang peristiwa tersebut. Pada pandangan pembesar, menurut cerita yang di sampaikan oleh orang tua-tua, jika terdapat seekor pelanduk putih, maka tempat itu amat sesuai untuk dibuka sebuah negeri. Berdasarkan kepada peristiwa dan pendapat yang diberikan oleh pembesar, Tuanku Syah Alam berfirasat, jika dibuka sebuah negeri, negeri tersebut akan maju dan kuat.


… “ Apa juga dipakainya maka tiada lut kuparang? Tetapi pada firasatku sebab kerisnya inilah maka ia tiada dapat ditentang lawan dan tiada lut kuparang tubuhnya ini. Jikalau demikian, apa jua kehendaknya? Baiklah kuperdayakan.”
                                                                      (Hikayat Hang Tuah : 155)



Menerusi peristiwa yang berlaku tentang rahsia Keris Taming Sari. Hang Tuah berfirasat bahawa jika seseorang itu mempunyai keris Taming Sari, badannya tidak akan lut jika ditikam. Dengan menggunakan kebijaksanaannya, Hang Tuah telah berjaya merampas keris tersebut dari tangan Taming Sari. Dengan itu, dapat dikatakan bahawa, untuk memperoleh keris Taming Sari tersebut. Firasat awal Hang Tuah tentang keris tersebut sememangnya betul, kerana sepanjang beliau menggunakan keris tersebut, beliau tidak pernah tercedera dalam pertarungan.


                                                               ILMU JAMPI

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), jampi bermaksud kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit dan lain-lain. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Masyarakat melayu telah lama mengamalkan jampi dalam kehidupan seharian namun kebanyakkan orang zaman sekarang tidak percaya pada jampi lagi. Mana Sikana (1996) menyatakan bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi namun mempunyai hubungan dengan jiwa dan kepercayaan. Jampi lebih kepada bacaan untuk memberI kesaktian terutama dalam perubatan. Pawang, dukun dan sebagainya adalah pembaca jampi yang merupakan  golongan manusia yang dikatakan luar biasa dan dikatakan perantaraan makhluk dengan Khaliq.
            Mana Sikana (1996) telah mengelaskan jampi kepada tiga jenis, iaitu jampi menolak syaitan. jampi tawar bisa dan jampi pendinding. Menurut Rushdi Raml (2003), jampi merujuk kepada bacaan-bacaan yang memiliki ciri-ciri berdoa dan memohon perlindungan dan pertolongan yang dibacakan terhadap mereka yang sakit dengan tujuan untuk merawat daripada penyakit yang menimpa mereka seperti penyakit demam, disengat ular dan kala jengking,dirasuk syaitan dan sebagainya Jampi biasanya disampaikan dalam bahasa banjar (Mana Sikana, 1996:65). Berikut merupakan contoh tiga jenis jampi menurut Mana Sikana :





Contoh jampi di dalam Hikayat Hang Tuah :
Contoh 1:
Setelah Tun Tuah melihat kelakuan Tun Teja itu, maka Tun Tuah pun fikir dalam hatinya, ‘Adapun jika selaku ini juga kelakuan Tun Teja ini nescaya gilalah akan aku. Jika demikian, baiklah kuperbuat suatu hikmat pembenci.’ setelah sudah Tun Tuah fikir demikian itu, maka Tun Tuah pun membaca pustakanya, lalu ditiupnya ke dalam karung itu. Maka Tun Teja pun bencikanlah hatinya akan Tun Tuah dan jangankan melihat rupanya, menengar suaranya pun benci serta menutup akan telinganya.

(Hikayat Hang Tuah : 234)
Maksudnya:
Ayat di atas menunjukan bahawa Hang Tuah menggunakan jampi bagi membuatkan Tun Teja membencinya. Hang Tuah membacakan jampi tersebut supaya Tun Teja tidak suka padanya.
Setelah terkena jampi tersebut Tun Teja membenci Hang Tuah dan akhirnya berkahwin dengan Raja Melaka walaupun pernah menolak pinangan raja tersebut.


Contoh 2:
Sebermula maka Kertala Sari pun masuk ke dalam. Maka dilihatnya oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu banyak dengan alat senjatanya. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu berjalan di tengah orang banyak itu. Maka ia pun pergi ke rumah seorang kaya. Maka dicurinya harta yang kemas-kemas itu lalu dibawanya kembali dan bini orang-orang kaya itu dicabulinya. Maka ia pun kembali ke tempatnya.
(Hikayat Hang Tuah : 375)
Maksudnya:
Hikayat Hang Tuah juga menyelitkan ilmu jampi  seperti petikan di atas yang menunjukan Kertala Sari membaca jampi untuk membuatkan dirinya tidak dilihat oleh pengawal-pengawal. Kertala Sari tetap boleh melakukan rompakan walaupun banyak pengawal sedang mengawal. Pengawal-pengawal ini tidak dapat melihat Kertala Sari kerana beliau menggunakan ilmu jampi untuk terus merompak tanpa dikesan sehingga mendatangkan kemusykilan.


                                              ILMU PENGASIH

Pengasih bermaksud ilmu pengasih, jampi (azimat,doa,guna-guna dan sebaginya) untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih (Kamus Dewan Edisi Keempat: 2010,682). Menurut Simorangkir (Mana Sikana,1996:70) Ilmu pengasih digunakan untuk mendapatkan pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain seperti seorang lelaki telah jatuh hati kepada seorang perempuan yang dikenalinya tetapi perempuan tersebut menolak cintanya atau sengaja “jual mahal”.Oleh demikian, lelaki tersebut boleh menggunakan ilmu pengasih untuk membuatkan perempuan tersebut menyukainya. Ilmu pengasih boleh digunakan dengan pelbagi cara seperti mencalik minyak, menjampi gambar, menjampi bendak dan sebagainya. Ilmu pengasih juga digunakan untuk bertemu orang tertentu dengan tujuan yang baik seperti ketika hendak temu duga pekerjaan, meminta pertolongan dan sebagainya. Contoh jampi pengasih :



Contoh ilmu pengasih dalam Hikayat Hang Tuah
Setelah Tun Tuah beroleh jebat itu, maka Tun Tuah pun kembali ke rumahnya berbuat sesuatu guna pengasih namanya. Setelah sudah diperbuat guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga membaca pustakanya datang siang.
…“Pergilah bonda bawa guna ini kenakan pada barang tempat Tun Teja duduk itu;apabila bonda bubuh guna ini maka bonda pulang.
(Hikayat Hang Tuah : 217)


Maksudnya :
Ayat di atas jelas menunjukan bahawa Hang Tuah menggunakan ilmu pengasih dengan meminta bondanya mencalik minyak yang telah dijampi di tempat duduk Tun Teja. Tun Teja tidak menerima Hang Tuah menyebabkan Hang Tuah menggunakan ilmu pengasih terhadap Tun Teja.  Setelah Tun Teja terkena ilmu ini, Tun Teja terus memuja dan menyukai Hang Tuah sehingga sanggup mengikut Hang Tuah pulang ke Melaka.

                                                    KESIMPULAN

Kesimpulannya, masyarakat Melayu telah lama mengamalkan ilmu-ilmu ini sepertimana yang terdapat dalam karya agung yang dibincangkan sebelum ini. Namun, tidak semua orang boleh mengamalkan ilmu-ilmu tersebut kerana hanya orang yang  tertentu sahaja yang mempunyai kemahiran dalam mengamalkan ilmu-ilmu iniPerkembangan agama Islam  di Nusantara  sedikit sebanyak mempengaruhi ilmu-ilmu tersebut.



Rujukan
1.Armansyah (2008). Ramalan Imam Mahdi: Akankah ia datang pad 2015?. Bandung: Penerbit Serambi.
2.Bassam Salamah (2004). Penampakan dari dunia lain. Jakarta: Penerbit Hikmah.
3.Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka
4.Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
5.Hasan Asy Sharqawi (1994). Manhaj ilmiah Islami. Indonesia: Gedung Gema Insani.

6.Haron Daud (2009).Mantera dan unsur luar biasa dalam Masyarakat Melayu. Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia
7.Harun Mat Piah (2006). Kitab Tib : Ilmu Perubatan Melayu. Kuala Lumpur : Perpustakaan Negara Malaysia
8.Mana Sikana (1996). Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
9.Mana Sikana et al. (2013). Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjung Malim :Universiti Pendidikan Sultan Idris
10.Niknik M. Kuntarto, Mira Rainavati & Anna Ervita Dewi (2010). Saatirah: Man-women relationship. Indonesia: PT GramediaWidiasarana.
11. Rusdi Ramli (2003). Azimat, jampi, sihir dan berubat. Selangor: Intel Multimedia and Publication Sdn. Bhd.
12. Wolfang Bock SJ. (2007). Menafsir mimpi: Bahasa sandi Tuhan. Yogyakarta: Penerbit Kanisius.








2 ulasan: